Sabtu, 19 Jun 2010

Bercuti di Turki (Keunikan Bumi Nevşehir) Part 4

Perjalanan Ke Nevşehir


   Perjalanan dari Istanbul ke Nevsehir mengambil masa yang sangat panjang iaitu 11 jam dan bermulalah perjalanan kami tanpa bantuan Faiz Ali. Aku dan rakan-rakan menaiki bas jam 10.00 malam dan cuaca pada malam itu sangat baik. Apa yang menariknya, perkhidmatan bas menyediakan pelayan untuk penumpang dan makanan ringan dan jus disediakan. Aku perlu rehat kerana setibanya di Cappadocia kami tidak boleh buang masa kerana kami menginap di sana cuma satu malam sahaja dan dalam masa yang singkat kami perlu meneroka keunikan bumi Cappadocia.


   Ketika dalam perjalanan, aku terjaga bas mula dipandu perlahan dan menyusur masuk ke suatu tempat, dari tingkap aku melihat dan aku dapat jangkakan yang sekarang ini bas memasuki kawasan rehat, R&R istilah yang digunakan di Malaysia. Uniknya bas yang kami naiki mempunyai kawasan rehatnya sendiri tidak seperti di Malaysia dan kawasan rehat (Metro Bus) menyediakan kemudahan yang terbaik, kawasan rehatnya yang besar dan tandas yang banyak. Kami tidak berhenti lama di perhentian bas.




Jendela Nevşehir

   Hari makin terang di tingkap aku dapat melihat ladang gandum kiri dan kanan, Akashah dan Ariff masih lagi tidur, aku dan Faiz masing-masing terpesona melihat ladang gandum yang luas. Kegembiraan aku sedikit terusik kerana aku mengharapkan cuaca yang elok tetapi suasana mendung yang menyelubungi pagi di Nevshehir, namun Allah sudah mengatur apa yang baik bagi makhluknya. Sebaik saja tiba di stesen bas, kami kemudiannya bergerak menuju ke Goreme National Park dengan menaiki bas kecil dan di sanalah terletaknya Cappadocia iaitu sebuah penempatan purba yang sangat unik keadaan bentuk muka buminya. 

 Replika. Replika Cappadocia ini membuatkan aku tertanya-tanya tentang gambaran sebenar yang aku akan lihat, gambar ini aku ambil dari dalam bas.

Meneroka Keunikan Nevşehir

   Cuaca yang mendung kini mula bertukar menjadi cerah langit kelihatan biru ditemani awan putih menggantikan awan kelabu. Dari stesen bas kecil Goreme, kami berjalan kaki untuk ke hostel, perasaan teruja mengubati keletihan yang aku rasai. Kami tiba di Hostel, sungguh unik, rumah di dalam gua. Kami meletakkan beg di ruang legar dan menikmati sarapan yang disediakan kepada kami, sarapan pagi yang sungguh berkhasiat, baik untuk kesihatan.


Roti


Memang berkhasiat. Telur, timun, tomato dan buah zaitun, sarapan yang mudah tetapi enak!

Setelah bersarapan kami ke hostel untuk menyimpan beg, dan apa yang paling penting adalah untuk berehat walaupun sekejap. Kami memulakan perjalanan selepas solat zuhur. Di Cappadocia tidak susah untuk mencari masjid, di sana terdapat dua buah masjid. Kami bersolat di masjid besar. Selepas kami selesai solat, kami di sapa oleh seorang lelaki tua, dia boleh berbahasa Inggeris, katanya "Can I help you? I can help you..." Dia membawa seorang lagi kawannya yang merupakan bekas ketua Bandar Nevsehir. 

Kami dijemput untuk minum teh, kami bertukar-tukar cerita. Banyak juga cerita mengenai sejarah negara Turki yang kami dapat daripada mereka. Masa kami yang singkat di Cappadocia, menyebabkan kami tidak dapat nak berbual panjang dengan mereka. Kami bergerak ke Open Museum.

   Kami tiba di Open Musem untuk melihat lebih dekat lagi rumah-rumah dan gereja-gereja yang diukir daripada batu. Cuaca cerah kemudiannya betukar mendung yang akhirnya membawa kepada hujan yang sangat lebat dan pergerakkan kami amat terbatas. Keutusan di ambil untuk bergerak ke sebuah Gereja di luar Open Museum. Kami berlari di dalam hujan dan akhirnya tiba di gereja tersebut. Di dalam gereja tersebut aku dapat lihat lukisan Jesus (Nabi Isa a.s) yang wajahnya dipadam setelah kedatangan Islam sebagai tanda hormat kepada Nabi Isa.

   Kami berbual-bual dengan penjaga Gereja tersebut sambil menunggu hujan reda kami turut dihidangkan dengan teh panas, sangatlah sesuai ketika dalam kesejukkan hujan. Sempat juga pengawal gereja bercerita kepada kami mengenai kisah bagaimana gereja tersebut dibina, katanya gereja tersebut dibina dangan mememahat batu-batu, sangat menakjubkan. Hujan masih lagi lebat, dan tempat penginapan kami agak jauh, akhirnya semua mengambil keputusan untuk menaiki teksi. Setelah tiba di tempat penginapan aku yang kesejukkan terus tertidur.

Malam di Cappadocia



   Malam pun telah tiba, cuaca pada malam itu sejuk dan tidaklah hujan. Kami bersolat di masjid berdekatan, selepas solat aku dan rakan-rakan memulakan perjalanan untuk mengisi perut, sedihnya hampir kesemua kedai menjual makanan turut menjual arak, kalau boleh kami nak cari kedai yang tidak menjual arak. Ke hulu hilir kami berjalan namun menemui jalan buntu. Kami bergerak ke masjid untuk solat Isyak dan dengan harapan ada jemaah yang boleh berbahasa Inggeris dan tahu di mana restoran yang menjual makanan dan tidak menjual arak.

   Selepas selesai solat kami mencari-cari jemaah yang tahu berbahasa Inggeris, tapi tak juga jumpa. Aku dan rakan keluar dari masjid dan menunggu orang yang terakhir yang akan keluar dari masjid tersebut. Setelah selang beberapa minit, imam masjid keluar dan dia orang terakhir, bila ditanya dia tidak tahu berbahasa inggeris. Kamu cuba memberitahu " Food, no alcohol," Alhamdulillah dia dapat menangkap apa yang kami cuba sampaikan. Dia memanggil pekerja restoran tersebut untuk menjemput kami. Kami menuju ke restoran tersebut dengan rasa senang hati. Setelah beberapa minit berjalan, tibalah kami di Royal Cappi Restaurant, kedudukannya agak jauh sedikit namun harga yang ditawarkan berpatutan.


Bersama pemilik kedai Restoran Cappi

   Selepas menikmati juadah makan malam, kami pulang untuk tidur dan esok kami akan bergerak ke Konya iaitu sebuah bandar yang terkenal dengan seorang tokoh sufi iaitu Maulana Jalalluddin ar-Rumi.

Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Cappadocia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tolong letak nama, ok??

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...