Perang Krimea Oktober 1853
Suasana pagi di Istanbul sibuk seperti hari-hari biasa. Kapal-kapal berlabuh di pelabuhan selat Bosphorus yang menjadi laluan penting perdagangan sejak dahulu lagi, malah menjadi saksi pertempuran hebat Sultan Fateh semasa menawan kota Konstantine. Kini Islambul menjadi ibu kota negara Turki. Orang ramai berpusu-pusu ke bazaar besar atau Kapali Carsisi, untuk membeli barang keperluan harian.
Sibuk. Suasana di Istanbul suatu ketika dahulu
“Assalamualaikum Dermihan” tegur Rahmet yang datang dari suatu arah.
“Waalaikumussalam, silakan duduk wahai sahabat” pelawa Dermihan sambil menghirup secawan teh, dia seorang peniaga di bazar besar.
“Aku dengar Istana Dolmabache sudah siap, apa engkau dah melihatnya?” soal Rahmet membuka perbualan mereka hari itu.
“Ya, aku sempat melihat istana itu dari jauh semasa aku singgah di Taksim, aku rasa sultan tidak sempat tinggal dan menikmati keindahan istana, kerana Sultan terlibat dengan perang Krimea” beritahu Dermihan.
“Perang lagi? Ini sesuatu yang merugikan, berapa banyak wang akan dihabiskan? Pembinaan Istana Dolmabache pun sudah menelan belanja yang besar.” Keluh Rahmet.
~*~
“Tuan, hari ini saya mendapat berita kita terpaksa untuk terlibat dalam peperangan Krimea, ini sebab desakan Perancis supaya kita memihak kepada mereka, Palestin juga berada dibawah pemerintahan kita” Khabar pegawai Istana Sultan.
“Dahulu Napoleon III pernah menghantar dutanya ke sini untuk medesak Uthmaniyyah supaya memberi kuasa berdaulat ke atas Palestin. Russia pula membantah tindakan Perancis. Jika dirujuk kembali kepada perjanjian Küçük Kaynarca pada tahun 1757 dan 1774 ia menafikan perjanjian Perancis dan mengiktiraf Rusia sebagai pelindung orang-orang Kristian Ortodoks di Empayar Uthmaniyyah” balas sultan dengan penuh dilema.
Napoleon III
“Tuan, kita tidak boleh lagi memihak kepada Rusia, Perancis mengugut supaya kita memihak kepada mereka. Mereka mahu perjanjian baru diterima dan mengiktiraf Gereja Roman Katolik sebagai pemerintah tertinggi Kristian di Tanah Suci. Paling penting mereka mahukan kuasa menjaga tempat-tempat suci terutamanya Gereja Nativiti. Pihak Rusia pula memegang kunci gereja tersebut, ini menambahkan lagi keinginan Perancis untuk berperang dengan Rusia dan menggunakan kita supaya cita-cita mereka tercapai.” Jelas pegawai Istana dengan panjang lebar.
“Baiklah, kita terpaksa terlibat dalam peperangan ini. Beta lantik Omar Pasha dan Antoni Aleksander* sebagai komander dan perintahkan mereka untuk bersiap sedia, adakan perjumpaan tergempar pada malam ini. Maklumkan kepada Perancis yang kita memihak kepada mereka” Perintah Sultan Abdul Majid
Akhirnya sultan membuat keputusan untuk menyertai peperangan tersebut. Sultan Abdul Majid mengistiharkan perang ke atas Rusia pada Oktober 1853. Selepas perjumpaan dengan Omar Pasha dan Aleksander, sultan mengarahkan tentera untuk bersiap sedia. Peperangan pertama, Tentera Turki menyeberangi Sungai Danube, sungai kedua terpanjang di Eropah untuk menentang Rusia.
“Aku ditugaskan untuk memimpin kalian dalam peperangan ini, dan kita akan kalahkan tentera Rusia habis-habisan. Kini mereka berada di sempadan, kita akan berhadapan dengan mereka” Seru Omar Pasha yang mengetuai peperangan.
“ Baik tuan!” balas 10 000 orang tentera pimpinan Omar Pasha.
“Kita akan menawan Bandar Oletnitza, tetapi kita terpaksa merentasi Sungai Danube untuk melakukan serangan” kata Omar Pasha.
Sungai Danube merupakan sungai kedua terpanjang di Eropah yang menjadi sempadan geografi Kerajaan Uthmaniyyah. Tentera pimpinan Omar Pasha terpaksa mengharungi hutan tebal dan kedinginan musim luruh yang baru tiba. Selepas dua minggu, tentera Turki berjaya merentasi Sungai Danube dan mereka berjaya mengusir tentera Rusia dari Bandar Oletniza pada 2 November 1853.
“Cis! Ini sesuatu yang memalukan, apa kamu semua tidur? Jumlah tentera kita lebih ramai dari mereka, kamu semua bodoh!” Sergah Jeneral Dannenberg kepada pegawai kanan pasukan tentera Rusia sambil menumpukan tumbukan di atas meja.
“Kami tidak sedar yang musuh sudah pun berjaya mengharungi Sungai Danube walaupun pemantauan telah dilakukan, tuan!” jawab salah seorang pegawai kanan yang berada di situ.
“Aku tidak mahu mendengar sebarang alasan bodoh dari kamu semua. Uthmaniyyah menyertai Perancis dan ini menggugat kedudukan kita di Tanah Suci Palestin. Arahan aku mudah, kalahkan mereka!” kata Jeneral Dannenberg.
“ Baik tuan! Balas pegawai kanan tentera dengan serentak. Mereka akur dengan perintah Jeneral dan merancang strategi yang berikutnya.
Daun-daun kuning mula gugur ke tanah menandakan musim sejuk bakal menjelma tidak lama lagi. Kedinginan bulan November sangat sejuk. Namun di Bandar Oletniza suasana tegang menghangatkan lagi ketengangan Rusia terhadap Uthmaniyyah. Tentera Uthmaniyyah kelihatan di merata-rata tempat di Bandar tersebut selepas mereka berjaya menguasaiya.
Pada masa yang sama, tentera Rusia sedang mengatur stratergi untuk menawan kembali Bandar tersebut. Peperangan ini dikenali sebagai Perang Oletniza. Rusia tidak berdiam diri, pada malam itu perjumpaan diadakan. Kedinginan malam tidak dihiraukan, sebuah khemah diterangi dengan lampu minyak, perbincangan sedang berlansung.
“Strategi kita mudah, dengan kekuatan seramai 15 000 orang, aku yakin kita boleh menang jika kita menambah bilangan tentera yang ada” cadangan Nikolas kepada pegawai yang ada.
“Bolehkah kita mendapatkan bantuan secepat mungkin?” Soal Vladizia meminta kepastian.
“Semestinya, kita akan mendapatkan sebahagian bantuan ketenteraan dari Moldavia dan Wallacia. Sebahagian lagi mereka akan mengawal di tempat masing-masing. Matlamat sekarang untuk mematahkan serangan musuh, biar kawasan yang kita kuasai berada di dalam zon selamat. Aku fikir tentera Uthmaniyyah tidak akan berada lama di situ. Peperangan ini tidak memberikan faedah kepada mereka, mereka hanya tunduk kepada kemahuan Perancis.” Balas Nikolas dengan penuh yakin.
“Kami semua setuju” balas mereka sambil tertawa yakin akan menang dalam peperangan Oletniza.
Seperti yang mereka aturkan, bantuan terdekat dari Moldavia dan Wallacia tiba di suatu kawasan rahsia tentera Rusia. Mereka tiba dengan pantas dan ia meyakinkan Nikolas bahawa pasukan Rusia akan menang. Mereka tidak mahu menunggu terlalu lama kerana ia akan merugikan mereka memandangkan musim sejuk bakal tiba tidak lama lagi.
Omar Pasha juga merasakan kemenangan mereka tidak membawa apa-apa faedah. Beliau merasakan tentera Rusia akan meminta bantuan dari kawasan yang terdekat untuk mengalahkan tentera Uthmaniyyah. Selain itu, beliau telah mendapat berita bahawa bantuan ketenteraan Rusia telah tiba dengan pantas. Kedinginan musim sejuk seolah-olah memaksa mereka untuk berundur.
Pada 4 November tentera Rusia menyerang Bandar Oletniza. Tentangan kedua-dua belah pihak amat sengit, namun tentera Uthmaniyyah mengambil keputusan untuk berundur untuk mengelakkan ramai tenteranya terkorban. Akhirnya tentera Rusia berjaya menawan keseluruhan Bandar Oletniza. Tentera Turki berundur ke Bucharest.
~*~
“Kita berjaya mengusir tentera Uthmaniyyah dari Bandar Oleniza, semuanya seperti yang dirancang tuan.” Lapor Nikolas kepada Jeneral Dannenberg.
“Aku tahu kita menang, tetapi aku mahu tentera Turki berambus dari sini sepenuhnya. Halau mereka sehingga ke sempadan Sungai Danube dan aku tidak akan berdiam diri” kata Jeneral Dannenberg dengan penuh tegas.
“ Apa maksud tuan ‘aku tidak akan berdiam diri’?” Soal Nikolas, seolah-olah ada maksud tersembunyi dari mulut Jeneral Dannenberg.
“Itu aku akan beritahu engkau kemudian” balas jeneral diiringi dengan ketawa besar, dia merancang sesuatu yang tidak dapat diduga Nikolas.
Akibat daripada konflik ini Empayar Rusia dan tentera bersekutu yang terdiri daripada Perancis, British, Kerajaan Sardinia dan Kerajaan Turki Uthmaniyyah terlibat dalam peperangan. Perang Krimea memberi kesan buruk kepada Kerajaan Uthmaniyyah yang pada ketika itu semakin merosot.
Tentera Rusia berusaha menghalau tentera Uthmaniyyah sehingga ke sempadan. Mereka mengesan kedudukan tentera Uthmaniyyah yang kini berada di Bucharest sebuah Bandar yang terletak di Romania berhampiran dengan sungai Danubes. Dalam dingin musim luruh yang bakal berakhir tentera Uthmaniyyah berundur ke sempadan.
“Aku merancang sesuatu Nikolas dan aku rasa inilah masa yang sesuai untuk aku memberitahu rangcangan aku” kata Jeneral kepada Nikolas.
“Saya sudi mendengarnya tuan” balas Nikolas dengan rasa ingin tahu yang mebuak-buak.
“ Aku yakin dengan kemampuan tentera kita, dan engkau pun sudah berjaya mengusir tentera Uthmaniyyah. Engkau nampak apa yang aku fikirkan?” kata Jeneral sambil memperlahankan suaranya.
“Saya belum faham maksud tuan” balas Nikolas sambil mengerut dahinya.
“Aku inginkan Bulgaria” balas Jeneral dengan ayat yang ringkas.
Pada awal musim bunga 20 Mac 1854 tentera Rusia menyeberangi Sungai Danube untuk menawan wilayah Bulgaria. Namun Austria pantas menangkis serangan dari Rusia setelah mendapat kebenaran dari Turki Uthmaniyyah untuk memasuki wilayah Balkan Uthmaniyyah. Tentera Rusia berundur semula melepasi Sungai Danube.Perang ini berlanjutan sehingga bertahun-tahun lamanya. Akhirnya perang ini tamat pada 1 Februari 1856. Perang ini telah menyebabkan kerugian yang besar kepada Kerajaan Uthmaniyyah.
Muhammad Saffuan Bin Jaffar