Memaparkan catatan dengan label Istanbul. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Istanbul. Papar semua catatan

Jumaat, 21 Jun 2013

Jalan-jalan Cari Makan TURKI (Part 1)

Malam ni entah duduk tak duduk aku nak tulis story pasai makanan, mungkin aku lapar kot. Tapi tadi aku dah pekena roti naan dua keping kat Kapitan, kena latih nafsu nih sebab tak lama lagi nak masuk Ramadhan, makan tu nak kena kontrol.

OK back to business, setiap kali trip ke mana-mana salah satu benda yang kita takkan missed ialah makanan tempatan, dari makanan juga kita belajar mengenai budaya masyarakat tu. Trip aku di Turki, aku berpeluang merasai pelbagai makanan yang unik dan pelik di sana. Ok jom kita rasa sama-sama. Hehehe

1. AYRAN

Fokuskan kat gelas putih yang nampak macam susu. Tapi bukan susu ye, ia sejenis minuman yang dipanggil Ayran, dihidang secara sejuk. Rasanya macam yogurt masam.

Turki merupakan pengeluar terbesar Ayran di dunia dan Ayran juga boleh didapati di negara-negara lain seperti :

Iran - Doogh
Uzbekistan - Ayron
Di Negara Arab - Laban

2. CAY (Teh)
Teh dihidangkan dalam cawan kecik 

Teh dan orang Turki tak dapat dipisahkan, ibarat irama dan lagu bak kata P.Ramlee. Pegi mana pun teh... teh... teh... pergi la cari kopi di Turki tak ade punye. Cara penyediaanya pulak unik tak seperti di Malaysia, masukkan uncang dan tuang je air panas. Di Turki diorang ada cerek unik untuk masa teh, jom Jalan-jalan Cari Makan TURKI nak tunjuk.

Cerek yang digunakan ada dua tingkat, yang besar (tangan kanan) tu diisi dengan air kosong mana kala yang kecik (tangan kiri) diisi dengan air sejuk dan teh, campuran air sejuk dan teh akan masak secara perlahan. Waktu gambar ni diambil, aku baru sampai di Istanbul dan teh ni dikira macam wajib bagi diorang untuk hidang kat tetamu.

3. BAKLAVA

Ni antara makanan yang aku tak dapat lupakan, perghh... sangat sedap la weyh. Aku pernah rasa baklavah yang kawan aku dari Syria bawak, tapi bila kena Baklava di kedai Karaköy Güllüoğlu, ini yang daebakk!!!

Yang line tengah paling mengancam, baklava perisa coklat 

Kalau datang ke Istanbul, jangan lupa singgak kat kedai yang aku mention kat atas, kata kawan aku yang bawak aku jalan-jalan kat Istanbul, baklava di sini yang terbaik dihasilkan di Turki.

4. PIDE
Pide ni kalau kat Malaysia sekufu la dengan roti canai, benda ni diorang cari masa sarapan, tapi jauh lebih berkhasiat daripada roti canai.

Inilah rupa Pide

Pide ni diperbuat daripada adunan doh roti yang dibuat bentuk seperti perahu atau sampan, kemudian dibahagian tengah tu ditaburkan dengan isi ayam atau kambing dan telur. Kemudian pide ni dibakar dalam ketuhar arang, perghh rasa dia memanglah sangat sedap.Kalau nak dibandingkan bakar dalam oven, pide yang dibakar dalam ketuhar arang ni lebih umph...

Adik beradik pide, aku tak ingat la nama dia 

Pide dimakan dengan salad tomato. Ingat lagi tak nama air yang putih macam susu tu???

5. OK lah cukup kot dulu setakat ni, nanti ada masa aku akan sambung lagi... Jumpa lagi di Jalan jalan cari Makan TURKI tata..




 Muhammad Saffuan Bin Jaffar

Isnin, 5 Julai 2010

Di Sebalik Kisah Pengambaraan


Di Sebalik Kisah Pengembaraan

 
Laut Marmara

Istanbul Suatu Realiti

    Pada hari rabu ini maka genaplah sebulan telah berlalu kembara aku di Bumi Turki, aku telah berkelana ke sana sejauh dua ribu kilometer dengan niat kerana Allah s.w.t dan aku berharap agar aku mendapat sesuatu yang sangat beharga dan sesuatu yang tidak dapat dibeli dengan wang. Tibanya aku di bumi Istanbul disambut dengan hujan yang renyai-renyai kemudian bertukar menjadi lebat. Semasa aku berada di Istanbul di sebelah benua Eropah, aku teringatkan kisah Ibnu Batutta seorang pengembara terkenal, yang pada ketika itu tiba di Istanbul dalam keadaan hujan lebat, beliau juga berasa jengkel dengan bunyi-bunyian loceng gereja. Tetapi kini, laungan azan yang mengisi segenap ruang angkasa bumi Istanbul.

   Semasa aku menaiki feri untuk ke Eminonu, aku dapat melihat dua bangunan penuh bersejarah iaitu Hagia Sofia dan Masjid Biru. Hamparan permaidani biru Bosphorus seolah-olah meraikan kedatangan aku ke Istanbul. Angin laut yang bertiup seolah-olah mengkhabarkan aku kisah gemilang kota itu. Dahulunya Constantine kemudiannya Islambol, aku terbayang akan kisah ketika Sultan Fatih mengarahkan tenteranya mengangkat kapal-kapal ke atas bukit untuk melepasi rantaian besi yang dipasang merentasi Golden Horn. Perasaan aku ketika itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, sebelum ini aku hanya mendengar kisah-kisah kota Istanbul dari mulut rakan-rakan yang pernah ke sini, tetapi kini aku telah melihatnya dengan mata aku sendiri.


 Teh dihidang pengubat dahaga.


Aku Seorang Musafir

   Sepanjang aku di Turki, aku dan rakan-rakan dilayan dengan baik oleh penduduk tempatan. Setiap kali selesai solat mereka akan datang ke arah aku dan bersalam-salaman di antara kami. Walaupun mereka tidak tahu berbahasa Inggeris, mereka tetap mendekati musafir seperti aku dan mengajak aku dan rakan-rakan untuk minum teh bersama mereka. Teh yang dihidangkan manis rasanya dan manis itu datangnya dari senyuman mereka yang Ikhlas. Begitulah ajaran mulia Muhammad s.a.w yang ditinggalkan yang mereka amalkan dan untuk kita jadikan pedoman. Pada suatu petang, aku dan rakan berjalan menuju ke sebuah kedai menjual barangan kaca akibat keletihan, seluruh badanku terasa lemah sangat, akibatnya terlanggar sebuah cawan, bukan sekali aku memecahkan barang tetapi dua kali, kali kedua aku terlepas beg plastik yang berisi cawan dan piring yang aku beli. Aku memberi wang kepadanya dan aku tidak mahu duit baki, dia menolak dengan senyuman dan berkata kepadaku "mevsafir, mevsafir". Aku berdoa moga Allah merahmati pemilik kedai tersebut.


 Imam di Eyub Sultan menyambut kedatangan kami.

   Tercatit dalam kisah pengembaraan Ibnu Batutta, beliau mendapat layanan baik ketika bermusafir. Panduduk tempatan meraikan kedatangan musafir sepertinya ke tempat mereka. Aku merasai pekara yang sama seperti yang dilalui pengembara terkemuka itu. Pernah di Cappadocia, ketika kami menemui jalan buntu untuk mencari restoran yang tidak menjual arak,kami membuat keputusan untuk bertanya kepada jemaah yang berada di masjid. Selepas selesai solat isyak, kami bertanya kepada imam masjid itu dan bila ditanya beliau tidak boleh berbahasa Inggeris.Aku berkata "Food no Alcohol". Dia membalas dalam bahasa Turki, aku dapat mengagak yang dia faham apa yang aku katakan, lalu dia terus masuk semula ke dalam masjid. Beberapa minit kemudian dia keluar memegang sekeping kad lalu diberikan kepada salah seorang rakanku sambil sebelah tangannya lagi memegang telefon bimbit menelefon seseorang. Kami menunggu tanpa memahami apa yang dikatakan imam tersebut, lebih kurang 10 minit datanglah seorang pemuda yang berambut kerinting menjemput dan membawa kami ke restoran tempat dia bekerja.


Bersama pemilik restoran di Cappadocia

Serupa Walaupun Berbeza


   Sewaktu di Konya aku melihat ada seorang lelaki berusia lewat 50-an sedang menulis sesuatu, tulisanya seperti jawi. Sampuk saudara Hassan yang boleh berbahasa Inggeris " It is Ottoman writing sistem". Ianya sama seperti tulisan jawi, saudara Hassan berkata, tulisan ini sangat penting, jika seseorang atau sesebuah negara menggunakan tulisan ini, kita boleh tahu mereka Islam, tulisan ini penting untuk kesatuan umat Islam, katanya. Aku juga sempat menunjukkan beberapa perkataan bahasa Melayu dalam ejaan jawi kepada mereka dan mereka boleh membaca tulisan jawi. 

Tulisan Ottman dalam Bahasa Turki dan Tulisan Jawi dalam Bahasa Melayu menggunakan tulisan Arab, iaitu tulisan yang digunakan dalam al-Quran. Walaupun berbeza budaya dan bangsa, sistem tulisan ini melambangkan perpaduan.

 Rakan aku di Istanbul

   Kiranya musafir menjadi ibadah, terdapat keberkatan sepanjang perjalanan, aku membetulkan niat aku sebelum aku melangkah keluar dari rumah. Kata-kata itu menjadi pedoman bagiku ketika aku hendak bermusafir. Ketika bermusafir, aku ingin melihat diriku di tempat asing, adakah aku masih aku? Aku dapat merasakan betapa utuhnya tali persahabatan sesama Islam dan Islam itulah yang menyatukan umat manusia pelbagai bangsa. 

Aku dapat rasakan bahawa,
manisnya persahabatan lebih dari madu,
 eratnya persahabatan lebih dari simpulan tali,
kukuhnya persahabatan lebih dari dinding-dinding kota,
indahnya persahabatan lebih dari emas dan permata.



Muhammad Safuan Bin Jaffar
Sungai Nibong, Bayan Lepas,
Pulau Pinang



  

Sabtu, 19 Jun 2010

Bercuti di Turki (Luton - Istanbul) Part 1

Di Lapangan Terbang Luton 


      
    Isnin, 7 Jun 2010 jam 2.45 pagi kami bergerak menuju ke stesen Bas Broadmarsh dengan menaiki teksi. Bas kemudiannya bertolak ke Lapangan Terbang Luton pada jam 3.15 pagi. Cuaca pada pagi ini sejuk Kami tiba di Luton pada jam 5.45 pagi. Ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan kilat di tengah hari, kami menemui dugaan pertama, sahabat kita Faiz kehilangan dompetnya, namun kami hadapi dengan tenang. Faiz menghubungi National Express untuk memaklumkan bahawa dia kehilangan dompet yang mengandungi dokumen penting. Tapi apa yang penting passport masih lagi dengan Faiz, kalau tidak berkuranglah ahli Kembara Turki.

    Kami bersarapan terlebih dahulu dengan bekalan yang dibawa, nasi goreng yang dibeli dari restoran semalam, dan kemudiannya pada jam 7.45 pagi kami check in luggage,semua urusan tiket dan bagasi tiada masalah, namun kami menghadapi masalah yang kedua, sahabat kami yang sedang menuntut di Istanbul, Faiz Ali tidak dapat dihubungi, apa-apa pun kami hadapi dengan tenang dan kami sempat menghantar e-mail dari Luton dengan menggunakan kemudahan Internet berbayar, kepada sahabat kami agar dia dapat menghubungi aku di Istanbul dan kami akan cuba menghubungi sahabat kami di Turki setibanya di Lapangan Terbang Sabiha Gokcen. Penerbangan kami berlepas dari Luton pada jam 9.45 pagi atau 11.45 pagi waktu Turki.

Tibanya di Bumi Turki, Istanbul Bahagian Asia


Pemandangan Istanbul dari kapal terbang cuaca mendung dan hujan

    Setelah 3 jam lebih perjalanan kami tiba di Sabiha Gocken pada jam 3.15 petang waktu Turki dengan selamat, tetapi cuaca di luar mendung dan hujan rintik-rintik. Lapangan terbang ini terletak di Istanbul bahagian Asia. Kami bersolat di Masjid di dalam kawasan lapangan terbang dan selepas itu kami cuba menghubungi saudara Faiz Ali, saya mendapat mesej dari Faiz Ali pada jam 4.34 petang, dengan nombor itu saya menghubungi Faiz Ali, alhamdulillah dia dapat dihubungi, aku diberitahu untuk mengambil bas ke Kardikoy dan kemudiannya kami perlu menggunakan perkhdimatan Feri ke Eminonu. Timbul masalah baru, masalah utama ialah masalah bahasa, kerana kebanyakkan orang Turki kurang fasih berbahasa Inggeris dan cara kami menyebut nama "Kardikoy" pun salah, dan ada pula tempat yang namanya hampir serupa dengan "Kardikoy".Kami menaiki bas ke Kardikoy dengan tambang 10 Lira, ada kalanya kami rasa tertipu, tetapi bila difikirkan balik bas yang kami naiki "Fast Coach" iaitu bas yang tidak berhenti di mana-mana perhentian bas.

   Dugaan demi dugaan, dugaan kepada pemandu bas jalan sesak dan dugaan yang kami hadapi ialah, bas menurunkan kami di pembahagi jalan, dengan beg bagasi yang besar dan berat kami mengharungi jalan raya yang penuh sesak dalam cuaca hujan. Alhamdulillah, bas memang menuju ke "Kardikoy" dan bukannya "Kardikoy" yang satu lagi. Setibanya di jeti, kami sempat menaiki feri yang akan ke Eminonu, nasib baiklah, tak perlu tunggu lama-lama. Ramai orang berpusu-pusu naik ke Feri, kami pula berhempas pulas mengangkat bagasi yang berat untuk naik ke atas Feri. Memang memenatkan, kami duduk di tempat duduk yang berdekatan dengan tingkap untuk melihat pemandangan Istanbul dan disitu ada seorang wanita lingkungan 30-an duduk bersendirian disitu sambil merenung ke arah tingkap. 

    Ketika menaiki feri kami dapat menyaksikan pemandangan yang sangat indah, Hagia Sofia kini benar-benar kelihatan. Feri melalui laut Mediterranean dan aku dapat melihat selat Bosphorus yang mempunyai 1001 kisah kegemilangannya. Selat Bosphorus adalah selat yang memisahkan antara benua Asia dan benua Eropah.
Kelihatan Hagia Sofia

     "Kini aku dapat melihat jelas wajahmu
yang sebelum ini menjadi garis-garis rindu
kini kau dan aku sudah terjalin dekat
permaidani laut biru seolah-olah menyambut gembira kedatangan aku
walaupun terpisah dengan lautan
namun lautan itu menjadi tali persahabatan"

Aku dan Faiz keluar ke tepian feri untuk melihat pemandangan dari luar feri, dan aku ingin melihat sendiri kebiruan air laut di Selat Bosphorus yang selama ini aku asyik mendengarnya dari mulut Firdaus, iaitu rakan aku yang pernah ke Turki, ternyata benar, sangar biru dan bersih. Bayu angin laut menyapu ke mukaku, angin berbisik di telinga "Inilah Istanbul". Hujan rintik-rintik masih lagi turun, dan feri pun berhenti di satu jeti. Aku dan sahabat-sahabat kurang yakin, "Betul ke yang ni Eminonu?". Ariff pun bertanyakan dengan wanita lewat 30-an yang duduk di tepi tingkap "Eminonu?". Wanita ini memberitahu dengan isyarat tangan, memberitahu kami ini bukan Eminonu dan dia menunjukkan arah seberang laut. Nasib baik kami tak turun di situ.


Tibanya di Istanbul Bahagian Eropah

     Setelah tiba di Eminonu yang terletak di bahagian Eropah Istanbul, hujan bertambah lebat, keadaan di Istanbul pada waktu itu sangat sesak dipenuhi dengan orang ramai ditambah pula dengan hujan. Aku dimaklumkan oleh Faiz Ali bahawa 10 minit lagi dia akan sampai. Setelah 10 minit menunggu di bawah perhentian bas berhampiran jeti, Faiz Ali muncul sambil menutup mukanya di balik payung, aku dapat mengagak bahawa itu Faiz Ali lalu aku memanggil-manggil "Faiz! Faiz!" dialah rakan yang akan membantu kami semasa berada di Turki. Aku dan rakan - rakan meneruskan perjalanan ke tempat yang kami akan menginap nanti. Faiz menarik bagasi dengan penuh sabar, petang itu kami bermandi hujan di Istanbul, apa yang aku risaukan ialah kamera aku, walaupun ia dilindungi beg kalis air. Kami menaiki tram dari Eminonu ke Grand Bazar (kalau tak silap) dalam keadaan yang penuh sesak dan kami terpaksa berhimpit-himpit di dalam tram, dan dengan bagasinya lagi, menyebabkan aku rasa hari ini paling teruk. Kami berjalan sambil meredah hujan, habis basah kuyup, setelah hampir 30 minit berjalan kami singgah untuk makan di sebuah kedai, dalam keadaan basah kuyup, kami menjadi perhatian pemilik kedai, tiga orang pengunjung,dan pekerja di kedai makan tersebut. Faiz memulakan perbualan, dalam bahasa Turki dengan pekerja di kedai makan tersebut, sangat petah, kagum aku mendengarnya.Kami memesan makanan dan minuman, apa yang kami harapkan minuman panas, tetapi habis yang tinggal minuman sejuk dan makanan malam itu sangat istimewa, Adana iaitu roti bakar yang digulung bersama daging dan salad. Setelah berehat dan hujan lebat pun mulai reda, kami bergerak menuju ke tempat penginapan, iaitu sebuah madrasah pertama dan tertua di Istanbul. Kami naik ke tingkat atas dengan membawa bagasi yang berat dengan penuh sabar.



Bersama-sama sahabat dari Turki


Teh yang dihidangkan sahabat kami.

   Kedatangan kami disambut mesra oleh penghuni di madrasah tersebut, mereka merupakan pelajar di Universiti Istanbul. Sebaik tiba kami di bawa oleh Faiz Ali ke tingkat atas yang merupakan tempat bagi tetamu, tempat solat serta tempat pengajian kitab, kemudian, azan maghrib pun berkumandang bersahut-sahutan. Dari Lapangan terbang lagi aku dapat melihat begitu banya masjid, boleh dikatakan hampir setiap 200 meter akan ada masjid. Dari madrasah yang kami menginap, kami dapat melihat Masjid Biru, selepas azan kami pun solat maghrib. Malam itu kami diperkenalkan oleh saudara Faiz Ali dengan penghuni-penghuni madrasah. Kebanyakkan mereka tidak fasih berbahsa Inggeris, dan itulah kali pertama aku mendengar bunyi bahasa Turki. Seorang demi seorang datang bersalaman dengan kami (nisilsiniz?) mereka menyapa, Faiz Ali menjadi penterjemah kami, aku berasa sangat seronok kerana dapat bertemu mereka walaupun dalam keletihan. Malam itu lebih dari sepuluh orang berkenalan bersama-sama kami di ruangan tingkat atas madrasah, dan kami dihidangkan dengan teh Turki panas, dan itulah teh pertama yang aku minum di Turki. Sebelum ini aku mendengar kisah dari Firdaus, "orang Turki suka minum teh, sampai tak larat nak minum" kata-katanya terngiang-ngiang di telinga aku, ini baru hari pertama dah pun dihidangkan teh, bagi aku tiada masalah aku penggemar teh.

   Sambil berbual-bual ada seorang diantara mereka yang agak fasih dalam bahasa Inggeris, iaitu saudara Mehmet kini bergelar doktor (bukan doktor perubatan), aku pula mengambil kesempatan untuk menghafal beberapa frasa dari buku bahasa Turki yang aku beli sebelum ke sini, "Turkchem Chok Kotu" (bahasa Turki saya sangat teruk) inilah ayat pertama yang aku hafal dan membuatkan rakan-rakan Turki aku tertawa. Kami berbual agak lama, jam menunjukkan pukul 1.00 pagi, aku yang keletihan mengharungi dugaan hari pertama tidur dengan nyenyak sekali. Bersambung.


Sinopsis Perjalanan


Nottingham - London : National Express

London (Luton Airport) - Istanbul Asia (Sabiha Gocken Airport): EasyJet

Istanbul Asia (Sabiha Gocken Airport) - Kardikoy : Bus (Fast Coach) TYL 10

Kardikoy - Istanbul Eropah (Eminonu), stesen terakhir : Feri TYL 2

Eminonu - Penginapan : Tram (JETON)










Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Hujan Yang Lebat
Istanbul

Bercuti di Turki (Pagi di Istanbul) Part 2






Pagi Hari Kedua di Istanbul

Universiti Istanbul

     Kami bangun untuk solat subuh pada jam 4 pagi. Aku bersiap-siap untuk ke Masjid berdekatan. Dalam cuaca sejuk aku berjalan dan lebih kurang 10 minit kami tiba di Masjid. Selepas selesai solat masjid kami dijemput oleh seorang pendakwah, Niametullah Khalil IbrahimYurt untuk minum teh, aku kagum dengan beliau kerana dia boleh berbahasa Melayu " Sembahyang bagus, syurga,syurga" katanya kepada aku dan rakan-rakan lain. Kami juga bertemu dengan jemaah yang akan menunaikan umrah, yang ikut kami minum teh hanya tiga orang. Pada pagi itu kami medengar cerita bagaimana dakwah dijalankan di Jepun dan tugas sebagai umat Islam. Kami berbual agak lama, maklumlah pertama kali bertemu dan mungkin itu kali terakhir. Kemudianya jam 7.00 pagi aku, ariff dan Faiz Ali pulang ke Madrasah. Faiz pada pagi itu bersama-sama dengan Mehmet solat di Masjid Fatih*. Pada pagi ini cuaca masih mendung. Kami bersiap-siap untuk keluar makan dan seterusnya melawat ke beberapa tempat di Istanbul. Kami bersarapan di sebuah restoran berdekatan dengan sarapan yang istimewa rasanya seperti roti canai, dikenali sebagai Borek dengan berintikan keju, kentang atau daging. Aku cuma memesan borek berintikan keju dan kentang sahaja, sebabnya aku tak boleh makan daging. Menjadi kebiasaan teh sangat popular di Turki berbanding minuman lain. Setelah makan kami bergerak ke Eminonu.


Borek dan teh




Sekitar Makam Eyub Sultan


Makam Eyub Sultan

      Pada hari itu kami bersama-sama satu keluarga dari Malaysia. Kami melawat ke Makam Abu Ayub al-Ansari atau lebih dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Eyub Sultan Camii. Selepas itu kami solat di Masjid Eyub Sultan, setelah selesai solat kami disapa oleh beberapa penduduk tempatan kedatangan kami amat dialu-alukan. Hari hujan membataskan pergerakan kami, namun itu bukan penghalang. Semasa berada di sekitar Makam ada juga upacara berkhatan dijalankan, anak-anak yang bakal dikhatankan, mereka memakai pakaian yang sangat istimewa.


Bergambar bersama-sama kanak-kanak Turki yang akan dikhatankan


Di sekitar Makan Abu Ayub al-Ansari terdapat kedai-kedai yang menjual makanan ringan, pakaian serta buku-buku agama. Kami singgah disebuah kedai menjual pakaian, aku dihidangkan dengan secawan teh oleh pekerja di kedai tersebut, ternyatalah orang Turki sangat-sangat mengalu-alukan kedatangan pelancong, lebih-lebih lagi dari negara Islam. Semasa kami sedang berjalan-jalan ada beberapa penduduk tempatan bersalaman dengan kami, " Are you Singapore/Malaysia?" soalan lazim yang akan ditanya.


Peniaga di kawasan sekitar makam

       Ada juga sekumpulan kanak-kanak mendekati kami. Aku cuba berbahasa Turki "Ingilizje biliyor musunuz?" yang bermaksud "adakah kamu memahami bahasa Inggeris?" Mereka tertawa dan berkata sesuatu kepada aku, yang aku sendiri tidak faham, tapi aku dapat mengagak maknanya,kelihatan diwajah mereka gembira apabila tempat mereka dikunjungi oleh orang asing. Hujan masih lagi membasahi bumi Istanbul.

MiniAturk




     Setelah menunggu hujan reda, kami bergerak menuju ke MiniAturk dengan menaiki teksi, yang merupakan sebuah taman yang menempatkan model-model bangunan yang mempunyai nilai sejarah dan tarikan yang menarik seperti Hagia Sofia, Masjid Biru, Cappadocia dan lain-lain tempat. Kami meluangkan masa hampir dua jam lebih di sana. Kemudiannya kami pulang dan keluarga dari Malaysia yang bersama-sama kami akan pulang ke UK, keesokkannya.

MiniAturk


    Hujan masih lagi turun, kalau orang Turki sebut hujan "Yagmur", ramalan kaji cuaca pada keesokkan hari masih memberi tanda-tanda hujan akan turun lagi. Setelah mengatur perjalanan, keesokkanya kami akan membeli tiket untuk ke Cappadocia dan kami bersepakat untuk ke Bazar Besar dan melawat tempat-tempat tertutup sahaja. Aku melelapkan mata dan dengan harapan cuaca esok tidak hujan.Bersambung.

Muhammad Saffuan Bin Jaffar 
Istanbul

Bercuti di Turki (Dari Istanbul Ke Nevsehir) Part 3


Pagi Hari ke Tiga di Istanbul

     Pada hari ini, kami sangat berharap agar dengan Izin Allah s.w.t hujan akan berhenti. Melihat melalui tingkap dari Madrasah pertama dan tertua di Istanbul, masih lagi diselebungi kekelabuan awan hujan. Dan selepas beberapa ketika langit yang dahulunya berawan, tiba-tiba beransur menampakkan kejernihan langit biru. Alhamdulillah cuaca amat baik dan panas serta berangin. Setelah bersarapan kami dan saudara Faiz Ali menuju ke sebuah tempat untuk membeli tiket bas. Metro menjadi pilihan kerana perkhidmatan yang baik dan bas yang selesa.

Metro menyediakan perkhidmatan baik

Jalan-jalan di Grand Bazar

   Setelah membeli tiket bas ke Nevshehir, Kappadokia kami bergerak ke grand Bazar yangusianya ratusan tahun dan menempatkan beribu-ribu kedai yang menjual barang-barang cendermata seperti t-shirt, lampu kaca, permaidani dan lain-lain lagi. Kami singgah di kedai menjual lampu-lampu kaca, bila pemilik kedai mengetahui kami orang Islam, "For Faith special price" dan kami dihidangkan teh, yang sememangnya menjadi adat dan kegemaran orang Turki.

 Teh yang dihidangkan kepada kami.

    Setelah melawat kedai menjual lampu kaca kami melawat ke kedai - kedai yang lain, memang seronok bila pemilik kedai tahu yang kami ini orang Islam dan datang dari Malaysia dan hampir kesemua kedai menyediakan teh kepada tetamu.

    Apa yang menarik di Bazar ialah ada sesetengah peniaga yang boleh berbahasa Melayu seronok saya mendengar, dan ada seorang peniaga sempat saya rakam ketika dia bercakap dalam bahasa Melayu dalam malu-malu kucing. Selain menjual baju terdapat kedai-kedai emas di laluan utama di dalam bazar dan untuk pengetahuan pembaca sekalian sewa kedai di laluan utama mencecah ribuan dolar.
(Gambar sebelah kiri) Bergambar bersama pemilik kedai t-shirt yang boleh berbahasa Melayu

   Selain itu jika anda berminat dengan tasbih kayu kokka, mungkin Istanbul menjadi tempat yang banyak pilihan dari sekecil-kecil tasbih sehinggalah yang sebesar-besarnya. Kami kemuadiannya bergerak ke madrasah tempat penginapan untuk menyimpan barang-barang yang di beli di Grand Bazar dan seterusnya kami pergi ke Spice Bazar terletak berhampiran hentian Tram Eminonu yang banyak menjual rempah-rempah dan juga manisan. Saya amat menyukai manisan Turki kerana rasanya yang unik tetapi harganya sangatlah mahal.

(Gambar sebelah kanan) Beginilah keadaan di dalam bazar yang dibina semasa zaman Turki Uthmniyyah pada tahun 1461.


Pak cik ini menjual tasbih buah kokka. 

Dari sekecil-kecil tasbih, sehinggalah yang sebesar ini dijual di sini.

Kedai menjual manisan
Pelbagai jenis manisan yang boleh didapati di Spice Bazar

Banyaknya manisan...


Warna-warni rempah di Spice Bazar


Semoga Berjumpa lagi "Istanbul!"

   Setelah selesai membeli - belah kami pulang ke rumah dan bersiap-siap untuk ke stesen bas dan kami bergerak ke Nevshehir pada jam 10.00 malam dan perjalanan dari Istanbul ke Nevshehir mengambil masa 11 jam. Sebaik saja masuk ke dalam bas, memang sangat selesa dan siap dengan pelayan lagi (ala-ala pramugara) yang akan menghidangkan ari dan makanan ringan.

Bas Metro bagi saya amat selesa untuk perjalanan jauh

Jumpa esok di Cappadocia, Nevsehir

Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Istanbul

Bercuti di Turki (Kembali ke Istanbul) Part 9

Selamat Tiba di Istanbul

  Kami Tiba di Istanbul pada 15 Jun 2010 jam 7.00 pagi 10 jam perjalanan dari Selcuk. Sekali lagi kami menghadapi masalah untuk menghubungi Faiz Ali. Akhirnya kami dapat menghubungi Faiz Ali dengan bantuan Brother Hassan di Konya. Kami terpaksa bergerak sendiri ke Madrasah tempat kami menginap kerana Faiz Ali berada di Gebze. Pagi ini aku bersarapan dengan harga yang sangat mahal dengan harga 35 Lira untuk 2 pinggan nasi, semangkuk sup, 2 pinggan lauk 3 cawan teh dan sebotol air kosong.Dari stesen bas kami menaiki train ke Aksaray dan kemudian menaiki Tram ke Beyazid*. Setelah tiba di madrasah aku mandi dan terus tidur untuk menghilangkan kepenatan dan aku rasa macam nak demam, mungkin terlalu minum banyak air sejuk di Ephesus.

Hagia Sophia 

 Masjid Hagia Sophia kini menjadi muzium

   Setelah berehat hampir 4 jam, kami bersiap-siap untuk ke Hagia Sophia serta tempat-tempat lain yang mungkin sempat kami lawati. Dari jauh aku dapat melihat Hagia Sophia, yang sebelum ini aku dengar kisahnya dari rakan-rakan yang pernah melawat Istanbul, namun kini langkah demi langkah aku menghampirinya. Aku terfikir bagaimana keadaan di dalam sebuah bangunan bersejarah itu. Hagia Sophia merupakan simbol keagungan Empayar Byzantine semasa Istanbul dikenali sebagai Kontantinople dahulu.


Tinggalan semasa Hagia Sofia belum menjadi masjid dapat dilihat.

 Tinggalan lama sebelum Hagia Sofia menjadi masjid


Mihrab masjid yang dibina selepas kedatangan Islam di Constantine

   Aku dan rakan-rakan melangkah masuk ke dalam Hagia Sophia, di dalamnya tersimpan 1001 kisah agung yang menggamit memori aku, aku teringat akan kisah semasa solat jumaat pertama didirikan di sini. Sultan Fatih merupakan penggerak utama untuk menawan kota Constantine dan akhirnya diizinkan Allah s.w.t, bagindalah merupakan orang yang disebut oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dalam hadis, yang bermaksud:

   Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……” 

 Hadis nabi yang mashur terpahat di tiang Masjid Hagia Sophia

Pintu Keluar Hagia Sofia. Benar, kata-kata Rasulullah menjadi realiti.
   Aku juga teringatkan kisah Ibn Batutta yang pada ketika itu cuba memasuki kota Constantine, Ibnu Batutta bercerita " Penduduk kota ini membunyikan loceng gereja dengan begitu kuat hingga seluruh cerok rantau bergegar, ketika sampai di pintu pertama istana raja, kami mendapati 100 orang lelaki berada di situ, seorang pemimpin yang berada di atas sebuah pelantar ada bersama-sama dengan mereka, aku mendengar mereka berkata, "Sarikunu! Sarikunu!" yang bermaksud orang Islam, mereka melarang kami daripada masuk".
Melihat akan keindahan Hagia Sophia, perasaan aku bercampur suka mengenangkan kisah gemilangnya ketika Sultan Fatih memasuki kota ini dan perasaan sedih menyedarkan aku bahawa Hagia Sophia yang sekarang ini aku berpijak hanya sebuah Muzium. 
"Oh Hagia Sophia, Indahmu dengan Islam"


Selamat Tinggal Hagia Sofia
    Aku meninggalkan Hagia Sophia dengan harapan Islam kembali gemilang seperti kata-kata sahabat aku yang aku temui sebelum ini, amin. Kami kemudiannya bergerak menuju ke Masjid Sulaiman atau dikenali sebagai Blue Mosque. 

 Masjid Biru berhadapan dengan Hagia Sofia

Tenang. Beginilah keadaan di dalam Masjid Biru

Besar. Salah satu dari tiang utama masjid.


Seorang lelaki sedang berdoa di dalam Masjid Biru

   Kami bercadang untuk ke TopkapI SarayI, tetapi kami agak lewat, keputusan dibuat untuk mengikut laluan tram dengan berjalan kaki ke Stesen Keretapi Sikerci. 

Stesen Keretapi ini menjadi saksi kisah sedih kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah.

   Stesen keretapi ini menyimpan kisah sedih, stesen ini menjadi saksi keberangkatan Sultan Abdul Hamid II ke negeri buangan Saloneka yang kini adalah Greece. Hari semakin gelap, tidak berapa lama kemudian terdengar azan berkumandang bersahut-sahutan, waktu itu kami berada di Eminonu, kami bersolat di Masjid Yeni ( Masjid Baru), dan selepas itu kami pulang ke madrasah. Perjalanan kami keesokan hari akan diketuai oleh Faiz Ali.


Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Nottingham
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...