Sabtu, 19 Jun 2010

Bercuti di Turki (Luton - Istanbul) Part 1

Di Lapangan Terbang Luton 


      
    Isnin, 7 Jun 2010 jam 2.45 pagi kami bergerak menuju ke stesen Bas Broadmarsh dengan menaiki teksi. Bas kemudiannya bertolak ke Lapangan Terbang Luton pada jam 3.15 pagi. Cuaca pada pagi ini sejuk Kami tiba di Luton pada jam 5.45 pagi. Ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan kilat di tengah hari, kami menemui dugaan pertama, sahabat kita Faiz kehilangan dompetnya, namun kami hadapi dengan tenang. Faiz menghubungi National Express untuk memaklumkan bahawa dia kehilangan dompet yang mengandungi dokumen penting. Tapi apa yang penting passport masih lagi dengan Faiz, kalau tidak berkuranglah ahli Kembara Turki.

    Kami bersarapan terlebih dahulu dengan bekalan yang dibawa, nasi goreng yang dibeli dari restoran semalam, dan kemudiannya pada jam 7.45 pagi kami check in luggage,semua urusan tiket dan bagasi tiada masalah, namun kami menghadapi masalah yang kedua, sahabat kami yang sedang menuntut di Istanbul, Faiz Ali tidak dapat dihubungi, apa-apa pun kami hadapi dengan tenang dan kami sempat menghantar e-mail dari Luton dengan menggunakan kemudahan Internet berbayar, kepada sahabat kami agar dia dapat menghubungi aku di Istanbul dan kami akan cuba menghubungi sahabat kami di Turki setibanya di Lapangan Terbang Sabiha Gokcen. Penerbangan kami berlepas dari Luton pada jam 9.45 pagi atau 11.45 pagi waktu Turki.

Tibanya di Bumi Turki, Istanbul Bahagian Asia


Pemandangan Istanbul dari kapal terbang cuaca mendung dan hujan

    Setelah 3 jam lebih perjalanan kami tiba di Sabiha Gocken pada jam 3.15 petang waktu Turki dengan selamat, tetapi cuaca di luar mendung dan hujan rintik-rintik. Lapangan terbang ini terletak di Istanbul bahagian Asia. Kami bersolat di Masjid di dalam kawasan lapangan terbang dan selepas itu kami cuba menghubungi saudara Faiz Ali, saya mendapat mesej dari Faiz Ali pada jam 4.34 petang, dengan nombor itu saya menghubungi Faiz Ali, alhamdulillah dia dapat dihubungi, aku diberitahu untuk mengambil bas ke Kardikoy dan kemudiannya kami perlu menggunakan perkhdimatan Feri ke Eminonu. Timbul masalah baru, masalah utama ialah masalah bahasa, kerana kebanyakkan orang Turki kurang fasih berbahasa Inggeris dan cara kami menyebut nama "Kardikoy" pun salah, dan ada pula tempat yang namanya hampir serupa dengan "Kardikoy".Kami menaiki bas ke Kardikoy dengan tambang 10 Lira, ada kalanya kami rasa tertipu, tetapi bila difikirkan balik bas yang kami naiki "Fast Coach" iaitu bas yang tidak berhenti di mana-mana perhentian bas.

   Dugaan demi dugaan, dugaan kepada pemandu bas jalan sesak dan dugaan yang kami hadapi ialah, bas menurunkan kami di pembahagi jalan, dengan beg bagasi yang besar dan berat kami mengharungi jalan raya yang penuh sesak dalam cuaca hujan. Alhamdulillah, bas memang menuju ke "Kardikoy" dan bukannya "Kardikoy" yang satu lagi. Setibanya di jeti, kami sempat menaiki feri yang akan ke Eminonu, nasib baiklah, tak perlu tunggu lama-lama. Ramai orang berpusu-pusu naik ke Feri, kami pula berhempas pulas mengangkat bagasi yang berat untuk naik ke atas Feri. Memang memenatkan, kami duduk di tempat duduk yang berdekatan dengan tingkap untuk melihat pemandangan Istanbul dan disitu ada seorang wanita lingkungan 30-an duduk bersendirian disitu sambil merenung ke arah tingkap. 

    Ketika menaiki feri kami dapat menyaksikan pemandangan yang sangat indah, Hagia Sofia kini benar-benar kelihatan. Feri melalui laut Mediterranean dan aku dapat melihat selat Bosphorus yang mempunyai 1001 kisah kegemilangannya. Selat Bosphorus adalah selat yang memisahkan antara benua Asia dan benua Eropah.
Kelihatan Hagia Sofia

     "Kini aku dapat melihat jelas wajahmu
yang sebelum ini menjadi garis-garis rindu
kini kau dan aku sudah terjalin dekat
permaidani laut biru seolah-olah menyambut gembira kedatangan aku
walaupun terpisah dengan lautan
namun lautan itu menjadi tali persahabatan"

Aku dan Faiz keluar ke tepian feri untuk melihat pemandangan dari luar feri, dan aku ingin melihat sendiri kebiruan air laut di Selat Bosphorus yang selama ini aku asyik mendengarnya dari mulut Firdaus, iaitu rakan aku yang pernah ke Turki, ternyata benar, sangar biru dan bersih. Bayu angin laut menyapu ke mukaku, angin berbisik di telinga "Inilah Istanbul". Hujan rintik-rintik masih lagi turun, dan feri pun berhenti di satu jeti. Aku dan sahabat-sahabat kurang yakin, "Betul ke yang ni Eminonu?". Ariff pun bertanyakan dengan wanita lewat 30-an yang duduk di tepi tingkap "Eminonu?". Wanita ini memberitahu dengan isyarat tangan, memberitahu kami ini bukan Eminonu dan dia menunjukkan arah seberang laut. Nasib baik kami tak turun di situ.


Tibanya di Istanbul Bahagian Eropah

     Setelah tiba di Eminonu yang terletak di bahagian Eropah Istanbul, hujan bertambah lebat, keadaan di Istanbul pada waktu itu sangat sesak dipenuhi dengan orang ramai ditambah pula dengan hujan. Aku dimaklumkan oleh Faiz Ali bahawa 10 minit lagi dia akan sampai. Setelah 10 minit menunggu di bawah perhentian bas berhampiran jeti, Faiz Ali muncul sambil menutup mukanya di balik payung, aku dapat mengagak bahawa itu Faiz Ali lalu aku memanggil-manggil "Faiz! Faiz!" dialah rakan yang akan membantu kami semasa berada di Turki. Aku dan rakan - rakan meneruskan perjalanan ke tempat yang kami akan menginap nanti. Faiz menarik bagasi dengan penuh sabar, petang itu kami bermandi hujan di Istanbul, apa yang aku risaukan ialah kamera aku, walaupun ia dilindungi beg kalis air. Kami menaiki tram dari Eminonu ke Grand Bazar (kalau tak silap) dalam keadaan yang penuh sesak dan kami terpaksa berhimpit-himpit di dalam tram, dan dengan bagasinya lagi, menyebabkan aku rasa hari ini paling teruk. Kami berjalan sambil meredah hujan, habis basah kuyup, setelah hampir 30 minit berjalan kami singgah untuk makan di sebuah kedai, dalam keadaan basah kuyup, kami menjadi perhatian pemilik kedai, tiga orang pengunjung,dan pekerja di kedai makan tersebut. Faiz memulakan perbualan, dalam bahasa Turki dengan pekerja di kedai makan tersebut, sangat petah, kagum aku mendengarnya.Kami memesan makanan dan minuman, apa yang kami harapkan minuman panas, tetapi habis yang tinggal minuman sejuk dan makanan malam itu sangat istimewa, Adana iaitu roti bakar yang digulung bersama daging dan salad. Setelah berehat dan hujan lebat pun mulai reda, kami bergerak menuju ke tempat penginapan, iaitu sebuah madrasah pertama dan tertua di Istanbul. Kami naik ke tingkat atas dengan membawa bagasi yang berat dengan penuh sabar.



Bersama-sama sahabat dari Turki


Teh yang dihidangkan sahabat kami.

   Kedatangan kami disambut mesra oleh penghuni di madrasah tersebut, mereka merupakan pelajar di Universiti Istanbul. Sebaik tiba kami di bawa oleh Faiz Ali ke tingkat atas yang merupakan tempat bagi tetamu, tempat solat serta tempat pengajian kitab, kemudian, azan maghrib pun berkumandang bersahut-sahutan. Dari Lapangan terbang lagi aku dapat melihat begitu banya masjid, boleh dikatakan hampir setiap 200 meter akan ada masjid. Dari madrasah yang kami menginap, kami dapat melihat Masjid Biru, selepas azan kami pun solat maghrib. Malam itu kami diperkenalkan oleh saudara Faiz Ali dengan penghuni-penghuni madrasah. Kebanyakkan mereka tidak fasih berbahsa Inggeris, dan itulah kali pertama aku mendengar bunyi bahasa Turki. Seorang demi seorang datang bersalaman dengan kami (nisilsiniz?) mereka menyapa, Faiz Ali menjadi penterjemah kami, aku berasa sangat seronok kerana dapat bertemu mereka walaupun dalam keletihan. Malam itu lebih dari sepuluh orang berkenalan bersama-sama kami di ruangan tingkat atas madrasah, dan kami dihidangkan dengan teh Turki panas, dan itulah teh pertama yang aku minum di Turki. Sebelum ini aku mendengar kisah dari Firdaus, "orang Turki suka minum teh, sampai tak larat nak minum" kata-katanya terngiang-ngiang di telinga aku, ini baru hari pertama dah pun dihidangkan teh, bagi aku tiada masalah aku penggemar teh.

   Sambil berbual-bual ada seorang diantara mereka yang agak fasih dalam bahasa Inggeris, iaitu saudara Mehmet kini bergelar doktor (bukan doktor perubatan), aku pula mengambil kesempatan untuk menghafal beberapa frasa dari buku bahasa Turki yang aku beli sebelum ke sini, "Turkchem Chok Kotu" (bahasa Turki saya sangat teruk) inilah ayat pertama yang aku hafal dan membuatkan rakan-rakan Turki aku tertawa. Kami berbual agak lama, jam menunjukkan pukul 1.00 pagi, aku yang keletihan mengharungi dugaan hari pertama tidur dengan nyenyak sekali. Bersambung.


Sinopsis Perjalanan


Nottingham - London : National Express

London (Luton Airport) - Istanbul Asia (Sabiha Gocken Airport): EasyJet

Istanbul Asia (Sabiha Gocken Airport) - Kardikoy : Bus (Fast Coach) TYL 10

Kardikoy - Istanbul Eropah (Eminonu), stesen terakhir : Feri TYL 2

Eminonu - Penginapan : Tram (JETON)










Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Hujan Yang Lebat
Istanbul

3 ulasan:

Tolong letak nama, ok??

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...