Memaparkan catatan dengan label Malaysia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Malaysia. Papar semua catatan

Ahad, 11 Mei 2014

Tempat Paling Best di Penang | Muka Head Lighthouse

   Pulau Pinang sangat terkenal dengan pelbagai jenis makanan yang enak. Sebut saja, pasembor, cendol, air sarbat atau nasi kandar, pasti anda ingat Penang. Selain daripada makanan, banyak tarikan utama di negeri yang mendapat jolokan "Pulau Mutiara". Antaranya, Bukit Bendera, Batu Feringghi, Taman Tema Escape dan Taman Negara

   Ok, kali ni aku nak share sikit dengan hampa semua pasai Taman Negara Pulau Pinang atau Penang National Park. Lokasi ini sangat terkenal sama ada pelancong tempatan dan juga pelancong dari luar negara. Taman negara ni terkenal dan boleh dikatakan top ten dalam Penang. Selain daripada tu, tempat ni dapat "Ceritificate of Excellent 2013" dari Tripadvisor.

   Di sini banyak tarikan-tarikan yang lain antaranya Pantai Keracut dan juga Pantai Teluk Duyung (Monkey Beach). Pantai Keracut ni terletak di dalam kawasan Taman Negara, jadi aktiviti di sini tertakhluk di bawah undang-undang, so tak leh nak buat sesuka hati. Dari tahun 2007, aku selalu datang ke sini, tapi hari ni aku nak langsaikan misi tertunggak aku, aku nak sampai ke Muka Head Lighthouse.

   Muka Head Lighthouse terletak kira-kira 5.1 km dari pintu masuk Taman Negara. Laluan untuk ke rumah api ni agak mencabar dan korang akan lalu kawasan hutan, pantai dan bukit. Masa yang diambil untuk sampai ke sana kira-kira 2-3 jam. Naik bukit turun bukit semua ada, kalau tak fit memang semput.

 Kedudukan Rumah Api Muka Head atau Mukah Head Lighthouse. Anggaran jarak dengan menggunakan Wikimapia kira-kira 4.27km.

Laluan ke Muka Head korang akan lalu Pasir Pandak (A), Sungai Tukun (B), USM-CEMAC (C), Teluk Duyung atau Monkey Beach (D) kawasan ni boleh camping dan Muka Head (E)

 Papan Tanda " Take nothing but Photograph, leave nothing but footprints" nak tambah satu lagi "keep nothing but memories"

Papan tanda. Bila masuk ke sini korang kena mendaftar di Kaunter. Bukan apa, kalau jadi apa-apa perkara yang tak diingin so diorang ada rekod.

Jambatan gantung Sungai Tukun. Aku nampak macam gengster nak pi pukul orang. Hehe...

Papan tanda arah di Taman Negara Pulau Pinang. Dari papan tanda ni Rumah Api Muka Head terletak lebih kurang 4220m. So lebih kurang 1-2 jam untuk sampai ke sana.

 Pasir Pandak. Waktu ni hujan tak hujan je. Kalau hujan lebat memang basah lencun la jawabnya.

 Sungai apa nama aku pun tak tau

 Antara kemudahan yang disediakan, papan tanda jarak. Masa aku datang kat sini tahun 2010, belum ada papan tanda jarak dari Monkey Beach ke Rumah Api Muka Head, jadi susah la nak anggarkan waktu. Jalan kat sini pulak, mula-mula bersimen elok, lepas tu bertangga dah masuk ke dalam sikit laluan semula jadi.

Gunung Jerai, kalau cuaca elok korang boleh nampak Gunung Jerai dari sini.


   Setelah hampir 3 jam meredah hutan dan pantai, selepas berhempas pulas mendaki bukit akhirnya aku dan kawan-kawan sampai la ke Rumah Api Muka Head atau Muka Head Lighthouse. Sangat mencabar, alhamdulillah kalau nak dibandingkan dengan trip aku masa 4 tahun sudah lagi teruk, aku time tu asyik semput, kejap-kejap berhenti. Alhamdulillah lagi sebab tak hujan lebat. Jom nak explore kawasan rumah api pulak.

Di Pulau Pinang ada 3 buah Rumah api. 1. Di Padang Kota, 2. di Muka Head, 3. di Pulau Rimau.

   Aku nak share sikit dengan korang mengenai Rumah Api, memandangkan kat sini tak de pemandu pelancong, so aku cerita kat sini. Nanti korang pergi sana boleh la jadi pemandu pelancong, boleh cerita macam-macam pasal Rumah Api Muka Head.

   Apa fungsi Rumah Api? Ok, rumah api ni sebenarnya sebuah menara yang mempunyai cahaya lampu yang sangat terang pada bahagian atasnya. Kebiasaannya rumah api terletak di kawasan yang penting atau kawasan yang bahaya. Rumah api dibina sebagai alat navigasi untuk kapal-kapal atau apa-apa objek yang bergerak atas air. Rumah api ni kiranya macam lampu isyarat di lautan. Rumah api ni bertugas menyampaikan mesej kepada kapal dan antara mesej yang disampaikan mungkin seperti berikut, PERGI JAUH DARI SINI, AWAS, BERHATI-HATI atau IKUT JALAN INI.

   Rumah api ni dan sebati dalam dunia pelayaran sejak beribu-ribu tahun dahulu. Dan ada rekod yang menyatakan bahawa rumah api pertama telah dibina sejak zaman Mesir kira-kira 1500 tahun yang lalu. Rumah Api Muka Head ni tak de la usianya sampai ribu-ribu tahun, kalau tarikh, rumah api ni dah berusia hampir 200 tahun. Walaupun dah lama, struktur rumah api ni masih lagi kukuh dan aku sangat suka tengok design dia, bagi aku cantik dan bangunan ni perlu dijaga dengan baik.


 Rumah api di Semenanjung Malaysia

Rumah api di Pulau Pinang. Rumah api Muka Head @Muka Head Lighthouse ni merupakan rumah api di daratan yang paling sukar untuk dilawati. Memang sukar pun! Aku tak dapat bayang macam mana la orang dulu-dulu angkut segala batu bata nak buat rumah api ni.

Kat kawasan sekitar ni tak dak apa-apa pun melainkan sebuah pondok. Tapi ada benda yang menarik perhatian aku, "pitcher pump" yang digunakan untuk mengepam air. Masa zaman atuk nenek dulu femes menatang ni.

   Selepas duduk berehat, aku dengan kawan-kawan pun naik la ke atas rumah api Muka Head. Ada sorang pak cik ni dari tadi duk panggil-panggil naik. Waktu melawat kat sini terhad sampai jam 3.00 petang saja. So kalau nak ke sini, kena la datang awal-awal.

 Buku Pendaftaran 

 Tangga untuk naik ke atas, agak sempit. Bahan yang digunakan untuk buat Rumah Api Muka Head ni jenis batuan granit.

Lagi sikit nak sampai dah. Rumah Api Muka Head / Muka Head Lighthouse ni tak de la tinggi mana pun, lebih kurang 100 meter saja.

Yeah, dah sampai. Untuk informasi korang, kawasan atau bilik yang mula korang sampai ni dikenali sebagai Watch Room atau Bilik Pemerhati. Bilik permerhati ni terletak di bawah Lantern Room atau Bilik Tanglung. Kat rumah api Muka head ni aku tengok Bilik Pemerhati atau Watch Room ni dah macam 2 in 1. Bilik ni juga berfungsi sebagai service room.

 Dinding di Bilik Pemerhati

Lubang yang digunakan untuk pemerhati di Rumah api menjalankan tugas suatu ketika dahulu.

Suasana kat bilik pemerhati di Rumah Api Muka Head / Muka Head Lighthouse. Ada rumah api yang asingkan antara bilik pemerhati dan bilik servis. Kat sini biasanya pekerja rumah api menyimpan peralatan. spare part lampu dan peralatan lain.

Sebelah kiri tu frensel lens yang jenis berpusing-pusing. Lampu yang berpusing-pusing akan menghasilkan light flash, setiap light flash yang dipancarkan bergantung pada mesej yang ditentukan pada rumah api. Biasanya pelaut akan memerhati bilangan flash dan juga warna, daripada tu diorang dapat la mesej dengan rujuk pada carta maritim.

 Kawasan sekitar Bilik Pemerhati. Ada sebuah pintu yang menghubungkan Bilik Pemerhati dengan Gallery Deck.


 Pintu yang menghubungkan Bilik Pemerhati dan kawasan Gallery Deck

 Pemandangan dari Gallery deck. Nun jauh di sana korang dapat tengok kawasan Balik Pulau.

 Gallery Deck ni agak sempit.

Gallery deck ni merupakan kawasan yang mengelilingi Bilik Pemerhati. Pada masa dulu, kawasan ni digunakan oleh penjaga rumah api untuk melihat cuaca dan juga pergerakan kapal-kapal.

Aku cuba berkomunikasi dengan menggunakan Repeater/Pancar Ulang 9M4RHP di Perlis, memandangkan aku duk kat tempat yang tinggi dan menghadap betul-betul ke arah utara. Nak guna walkie talkie/ radio tranceiver ni kena ada lesen. Alhamdulillah aku dapat berkomunikasi dengan Encik Manan  (9M2PZ) yang pada ketika itu berada di Arau, Perlis dengan suara yang jelas dan signal bar yang penuh.

Lepas aku dah puas lepak kat Gallery deck, aku pun explore ke kawasan atas Bilik Pemerhati. Kawasan atas bilik peperhati atau service room ni dikenali sebagai Lantern Room.

Nak naik ke kawasan Lantern Room.

   Kawasan tengah lantern Room, dikelilingi pelantar. Kat luar sama aras dengan Lantern Room ni pun ada pelantar jugak (Cuba perati gambar kat atas). Diorang panggil sebagai Widow's Walk. Gelaran ni diberikan sebab isteri pelaut pada suatu ketika dahulu menanti kepulangan suami mereka di situ. Dari situ mereka akan memerhati kapal yang dinaiki suami mereka, wahh romatiknya kau.... tak gayat ke ko tunggu laki ko kat situ? Ada jugak yang menggelarkannya sebagai kawasan cat walk.

   Lampu di Lantern Room : Benda ni pulak bukan speaker dum dum dum tau, ni la nadi utama rumah api. Zaman dulu sebelum adanya elektrik diorang gunakan lampu api yang menggunakan minyak khas. Zaman la ni tak pakai dah minyak, sekarang lampu ni dibekalkan dengan kuasa elektik. Biasanya 500watt atau 1000watt. Lantern room ni dikelilingi oleh tingkap kaca atau storm pane. Tingkap kaca ni dipasang pada bingkai besi. Tingkap kaca yang dipasang pada binkai besi secara vertical ni pulak dikenali sebagai Astragals.


   Flashing Beacon. Kalau ikut undang-undang yang dah ditetapkan, lampu akan dinyalakan sebaik saja matahari tenggelam dan akan dipadamkan bila matahari naik. Kenapa tak nyalakan sepanjang hari, sebabnya nak jimatkan kos minyak. Semasa sekitar tahun 1850-an, orang Eropah menggunakan sejenis minyak yang diperbuat daripada Colza, waktu tu harga minyak naik disebabkan revolusi perindustrian. So minyak daripada tumbuhan dapat mengurangkan kos. Era tu Thomas Edison pun belum cipta lampu eletrik lagi.

Lampu ni dipasang pada gear yang panjangnya sampai ke aras bawah. Lepas tu pulak nak pusingkan lampu tu diorang menggunakan tenaga haiwan. Sekarang ni pakai enjin motor la.

Tangga di Rumah Api Muka Head



   Aku spend masa kat rumah api Muka Head lebih kurang 1 jam. Nak duk lama-lama cuaca pun makin buruk. Lebih kurang jam 12.15 tengah hari aku pun bergerak turun ke Pantai Teluk Duyung atau Monkey Beach. Dari situ aku dan kawan-kawan naik bot ke Jeti Pukat Rimau yang terletak di Pintu Masuk Taman Negara Pulau Pinang. So entry kali ni cerita banyak pasal rumah api je. Ala cara-cara nak trekking tak perlu  la kot, cuma nak ingatkan bawak air dan pakai kasut yang sesuai tu je. 

   Lepas ni aku harap ramai yang akan datang kat sini, bagi aku memang best walaupun penat tapi aku sangat puas bila dapat sampai kat rumah api Muka Head, sebab dari situ aku dapat tengok lautan yang terbentang luas dengan kapal-kapal lalu lalang kat situ. Subhanallah. Lepas ni, mai Penang hampa kena jalan tang ni tau~



   
 Muhammad Saffuan Bin Jaffar

Jumaat, 9 Mei 2014

Terima Kasih LCCT

9 MEI : Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) menutup perkhidmatannya setelah lapan tahun beroperasi di Sepang, dengan pelepasan pesawat AirAsiaX D7 170, ke Jeddah, Arab Saudi pada pukul 2.35 pagi Jumaat.

   Mengimbas kembali kenangan 8 tahun yang lalu, cewah. Itulah pengalaman pertama aku naik kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu. Flight malam tu pulak delay. Lepas beberapa jam, ada pengumunan, pintu gate dah dibuka. Masa tu, aku dengan kawan-kawan aku beratur untuk pemeriksaan tiket. Nak dijadikan cerita, hidung aku berdarah, banyak. Badan aku panas, tapi tak de la demam. 

   Lepas tu pegawai yang jaga tu bawak aku ke bilik air, dan diorang bagi rawatan. Masa tu aku ingat dah kena tinggal la, diorang tunggu sampai hidung aku berhenti berdarah baru aku boleh naik kapal terbang. Lama tau. Lepas tu aku dibawa naik ke kapal terbang, wah~ exited. Segala-galanya berlaku di LCCT. Banyak kenangan manis aku kat sana. Mungkin korang pun share pengalaman yang sama dengan aku.

LCCT bagi aku memang b*r*k, sesak lepas tu pulak tersenarai sebagai airport ke 7 paling teruk di dunia.

"Meanwhile, the LCCT climbed two places to seventh under the "Worst Airports in Asia" list this year." (The Star Online 13 October 2013)

Tetapi.... Bagi aku...

Di sini mulanya sebuah perjalanan
Bermulanya aku mengenal dunia luar (Kuala Lumpur - Kota Kinabalu 2006)

Di sini aku mula kenal rapat, walaupun satu sekolah, tapi jarang sembang.

Di sini juga tempat pengalaman pertama aku naik belon. (Kuala Lumpur-Sarawak 2012)

Di sini tempat yang aku selalu rasa risau, berdebar, kadang-kadang tu terlebih exited 
(Kuala Lumpur - Busan 2013)

Di sini juga berakhir sebuah perjalanan (Kuala Lumpur - Pulau Pinang 2012-2013)

TERIMA KASIH LCCT

23 March 2006 - 9 Mei 2014


 Muhammad Saffuan Bin Jaffar

Ahad, 15 Mei 2011

Jaulah Mencari Kehijauan

      Jalan raya pagi Ahad di Pulau Pinang lengang. Aku bangun awal pagi bersiap menunaikan kewajipan. Suasana pagi disambut sang Suria, ayam berkokok dan burung bertebangan megah di langit biru. Walaupun aku tinggal di  kampung di dalam kawasan bandar, aku rindukan kehijauan, aku ingin sejukkan mata aku dengan keindahan alam yang tidak terusik.

     Sejak semalam lagi aku sudah memaklumkan kepada kawan baik aku untuk ke Taman Negara Teluk Bahang kira-kira 30km dari tempat tinggal. Walaupun aku kurang sihat, dengan mendekatkan diri dengan kehijauan alam aku dapat menenangkan jiwa. Kira-kira jam 8.30 pagi aku dan kawan aku bergerak menuju ke destinasi "Lubuk Hijau" dengan menyusuri bangunan gergasi di kiri dan kanan. Pulau Pinang pesat membangun, namun masih ada lagi sudut untuk aku melepaskan tekanan.

     Hampir 30 minit dari Bayan Lepas, jalan-jalan yang pada mulanya sibuk dengan kenderaan besar mulai surut.Kiri dan kanan jalan pepohon hijau merimbun, suasana sekeliling mulai berubah. Kami tiba di perkampungan nelayan Teluk Bahang. Kelihatan van yang membawa pelancong juga berada di pintu masuk Taman Negara Teluk Bahang. Orang Putih memang gemarkan keindahan hutan simpan negara kita. Allah s.w.t sudah kurniakan kita tanah yang subur namun kita mengkhianati nikmat tersebut.

Pintu Masuk

   Ini bukanlah kali pertama aku menjejakkan kaki ke sini. Kunjungan aku yang pertama pada tahun 2008, banyak perubahan yang dapat dilihat. Dahulu tempat ini kurang terurus dan kotor tetapi sekarang, denai dibersihkan dan ada pekerja pembersih yang bekerja di sini. Selain itu terdapat pos tentera di sini. Keadaan di kawasan perairan juga bertambah baik dahulunya air laut kotor penuh dengan sampah namun kini bersih. Sambutan orang ramai amat memberansangkan. Kami meninggalkan tempat ini dan terus ke Balik Pulau.

Denai yang bersih

     Jalan yang kecil berliku-liku, kelihatan penjual Durian di tepi-tepi jalan. Kereta yang kami naiki meluncur laju selepas dari selekoh Air Terjun Titi Kerawang, kami tiba di sebuah pekan kecil berhampiran Pantai Acheh. Inilah kawasan Balik Pulau, kawasan yang sedang membangun dan terdapat banyak perkampungan nelayan dan perkampungan tradisional Melayu. Kawasan ini juga menjadi kegemaran kami. Tempat yang kami kunjungi di sana ialah kawasan sawah padi yang sekarang ini subur menghijau. Ada sawah padi di Pulau Pinang?

Lihatlah sawah padi yang terbentang luas. Sungguh mendamaikan

     Kami turut menyusur di kawasan perkampungan Melayu. Di rumah penduduk kampung di sepanjang jalan penuh dengan pokok rambutan yang kini sudah mengeluarkan buahnya. Dua bulan lagi, pasti merah menyala di sepanjang jalan, sungguh lebat buahnya. Kami meneruskan perjalanan ke "Pemandangan Indah" untuk menghirup udara segar Bukit Relau dan melihat pemandangan pekan Balik Pulau. Tempat ini semakin menjadi tarikan pelancong, ramai yang datang berkunjung untuk membeli buah-buahan dan juga bersiar-siar.

Pekan Kecil Balik Pulau dari Pemandangan Indah

    Sepanjang perjalanan aku belajar untuk menghargai keindahan alam yang Allah berikan, jangan sesekali mengkhianatinya. Aku kesal dengan sikap manusia yang petingkan diri sendiri, buang sampah merata-rata. Pulau Pinang kalau dijaga dengan baik seperti Singapura mungkin menjadi negeri tercantik di Dunia : P

 
 Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...