Ahad, 15 Mei 2011

Jaulah Mencari Kehijauan

      Jalan raya pagi Ahad di Pulau Pinang lengang. Aku bangun awal pagi bersiap menunaikan kewajipan. Suasana pagi disambut sang Suria, ayam berkokok dan burung bertebangan megah di langit biru. Walaupun aku tinggal di  kampung di dalam kawasan bandar, aku rindukan kehijauan, aku ingin sejukkan mata aku dengan keindahan alam yang tidak terusik.

     Sejak semalam lagi aku sudah memaklumkan kepada kawan baik aku untuk ke Taman Negara Teluk Bahang kira-kira 30km dari tempat tinggal. Walaupun aku kurang sihat, dengan mendekatkan diri dengan kehijauan alam aku dapat menenangkan jiwa. Kira-kira jam 8.30 pagi aku dan kawan aku bergerak menuju ke destinasi "Lubuk Hijau" dengan menyusuri bangunan gergasi di kiri dan kanan. Pulau Pinang pesat membangun, namun masih ada lagi sudut untuk aku melepaskan tekanan.

     Hampir 30 minit dari Bayan Lepas, jalan-jalan yang pada mulanya sibuk dengan kenderaan besar mulai surut.Kiri dan kanan jalan pepohon hijau merimbun, suasana sekeliling mulai berubah. Kami tiba di perkampungan nelayan Teluk Bahang. Kelihatan van yang membawa pelancong juga berada di pintu masuk Taman Negara Teluk Bahang. Orang Putih memang gemarkan keindahan hutan simpan negara kita. Allah s.w.t sudah kurniakan kita tanah yang subur namun kita mengkhianati nikmat tersebut.

Pintu Masuk

   Ini bukanlah kali pertama aku menjejakkan kaki ke sini. Kunjungan aku yang pertama pada tahun 2008, banyak perubahan yang dapat dilihat. Dahulu tempat ini kurang terurus dan kotor tetapi sekarang, denai dibersihkan dan ada pekerja pembersih yang bekerja di sini. Selain itu terdapat pos tentera di sini. Keadaan di kawasan perairan juga bertambah baik dahulunya air laut kotor penuh dengan sampah namun kini bersih. Sambutan orang ramai amat memberansangkan. Kami meninggalkan tempat ini dan terus ke Balik Pulau.

Denai yang bersih

     Jalan yang kecil berliku-liku, kelihatan penjual Durian di tepi-tepi jalan. Kereta yang kami naiki meluncur laju selepas dari selekoh Air Terjun Titi Kerawang, kami tiba di sebuah pekan kecil berhampiran Pantai Acheh. Inilah kawasan Balik Pulau, kawasan yang sedang membangun dan terdapat banyak perkampungan nelayan dan perkampungan tradisional Melayu. Kawasan ini juga menjadi kegemaran kami. Tempat yang kami kunjungi di sana ialah kawasan sawah padi yang sekarang ini subur menghijau. Ada sawah padi di Pulau Pinang?

Lihatlah sawah padi yang terbentang luas. Sungguh mendamaikan

     Kami turut menyusur di kawasan perkampungan Melayu. Di rumah penduduk kampung di sepanjang jalan penuh dengan pokok rambutan yang kini sudah mengeluarkan buahnya. Dua bulan lagi, pasti merah menyala di sepanjang jalan, sungguh lebat buahnya. Kami meneruskan perjalanan ke "Pemandangan Indah" untuk menghirup udara segar Bukit Relau dan melihat pemandangan pekan Balik Pulau. Tempat ini semakin menjadi tarikan pelancong, ramai yang datang berkunjung untuk membeli buah-buahan dan juga bersiar-siar.

Pekan Kecil Balik Pulau dari Pemandangan Indah

    Sepanjang perjalanan aku belajar untuk menghargai keindahan alam yang Allah berikan, jangan sesekali mengkhianatinya. Aku kesal dengan sikap manusia yang petingkan diri sendiri, buang sampah merata-rata. Pulau Pinang kalau dijaga dengan baik seperti Singapura mungkin menjadi negeri tercantik di Dunia : P

 
 Muhammad Saffuan Bin Jaffar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tolong letak nama, ok??

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...