Sabtu, 21 Mei 2011

Dialog


   Pulau Pinang negeri paling membangun di Malaysia. Keluasan tanah untuk dibangunkan semakin berkurangan, harga tanah melonjak tinggi. Kawasan kampung banyak dirobohkan dan rumah mewah didirikan sebagai ganti. Siapa yang akan membeli rumah tersebut? Penduduk tempatan? Orang-orang kampung? 

         Setiap tahun, Pulau Pinang memerlukan 20,000 unit rumah yang mampu dimiliki oleh golongan yang baru bekerja, yang telah berkeluarga. Pembangunan tidak boleh dihalang tetapi perlu seimbang, rumah-rumah kedai banyak didirikan, beratus-ratus unit rumah banglo mewah didirikan. Bagaimana dengan rakyat Pulau Pinang sendiri?

   Rumah kos rendah dan sederhana rendah mampu dimiliki tetapi keadaannya yang kurang selesa. Bagaimana sesetengah projek diluluskan. Cuba fikir yang akan tinggal adalah manusia, anda perlu fikir keselesaan, keselamatan. Perlu diwujudkan satu garis panduan, supaya pemaju tidak main lepas tangan, hanya kejar kekayaan!

   Bina rumah kedai, tetapi tempat parking yang amat terhad. Pengguna hadapi masalah untuk meletakkan kereta. Kenapa sebelum bina premis tidak ambil kira faktor ini? Anda bijak menjadi seorang arkitek, perancang bandar, malah anda lebih bijak. Kenapa tak boleh fikir?

   Sikap sesetengah penduduk yang tidak ada kesedaran sivik. Buang sampah di merata tempat, kemudian salahkan pula Majlis Perbandaran tidak bersihkan tempat pasar malam, kawasan membuang sampah. Cuba fikir, tidak sampai satu jam MPPP/ Syarikat swasta bersihkan sudah ada tangan yang membuang sampah.

[ Sesi dialog diadakan oleh Y.B untuk mengetahui masalah penduduk]



 Muhammad Saffuan Bin Jaffar

Jumaat, 20 Mei 2011

Amin Sayangkan Ayah

  Matahari mula terbenam di ufuk barat. Suara cengkerik mula kedengaran menyambut syahdu malam, burung-burung pulang ke sarang setelah berpenat lelah mencari rezeki. Jarum jam menunjukkan tepat pukul 8 malam, selepas solat Maghrib, Ibu menghidangkan makanan yang dimasak petang tadi untuk makan malam. Amin kelihatan tekun mewarna lukisan yang dilukisnya semasa kelas pendidikan seni di sekolah tadi. Tiba-tiba pintu rumah terpulas tombolnya dan terbuka.

  "Abang dah balik?" Soal Ina, Isteri kepada Kamal.

" Takkan orang lain yang balik! Banyak soal la kau ni, makanan dah siap?" Soal Kamal yang keletihan. Amin ketika itu sibuk mewarna meninggalkan lukisanya, lalu menerpa ke arah ayahnya.

" Ayah dah balik, tengok Amin lukis, ayah! ayah!" panggil Amin penuh manja.

" Amin! Kau tak faham yang aku ni penat?! sudah aku letih" herdik si ayah lalu memadamkan kegembiraan Amin.

    Kamal melabuhkan punggung di atas kerusi. Ina hanya mampu diam daripada melarang suaminya mengherdik Amin. Amin pula diam seribu bahasa, menunjukkan protesnya kepada ayah. Hati kecil itu tersentuh apabila diherdik Kamal. Begitulah keadaan keluarga Kamal yang dahulunya bahagia. Entah kenapa semuanya berubah, ikatan kasih terhadap isterinya Ina semakin renggang, dahulunya kehadiran Amin menggembirakan hati Kamal, namun kejadian hari itu mengubah sikap Kamal.

     Selepas makan malam Kamal keluar, seperti hari-hari sebelumnya. Ina di rumah melayan kerenah amin, dia tidak bekerja kerana dilarang Kamal, walaupun beberapa kali dipujuk, Kamal tetap dengan pendiriannya. Walaupun tindakan Kamal kadang-kadang melukakan hati Ina dan Amin, dia seorang suami yang baik. Ina pula tidak pernah buruk sangka terhadap suaminya, walaupun ada jiran-jiran yang melaporkan sikap buruk suaminya ketika di luar rumah. Ina tetap mempercayai suaminya.

" Ibu, ibu... kenapa ayah selalu marah Amin?" Soal Amin

"Ayah bukannya marah, ayah letih. Amin kena Ingat, ayah penat tau cari rezeki untuk kita." beritahu ibu sambil menggosok kepala amin. Amin pula mengangguk tanda faham. Belaian ibunya melembutkan hati Amin, mengerti tindakan ayahnya tadi bukan tanda benci. Amin tekun menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh gurunya. Ina menaruh harapan tinggi terhadap Amin, dialah satu-satunya harapan keluarga.-Bersambung-

Ditulis oleh
Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Bukan Seorang Penulis Novel atau Cerpen

Kayu

Lokasi : Taman Negara Teluk Bahang. Cari kayu ini jika anda ke sana.

Walaupun lucu & tersirat, mesej yang ingin disampaikan agak SINIS.

Muhammad Saffuan Bin Jaffar

Selasa, 17 Mei 2011

Zaitun

    Sarapan pagi di Malaysia, tak susah nak cari ada saja di mana-mana dan berbagai-bagai jenis. Nasi lemak, nasi kacang, nasi daun lemuni, nasi dagang. Tidak ketinggalan bihun dan mee turut memeriahkan sarapan pagi anda, yang goreng, rebus dan juga berkuah. Kuih muih juga bermacam-macam aneka, yang rebus, berinti, goreng,kukus, lipat, bulat, bujur dan bermacam-macam bentuk yang ada. Itulah Malaysia dilimpahi dengan rezeki di bumi berkat.

   Berbanding pula di negara barat seperti Eropah, orang putih hanya makan makanan yang ringkas, pisang dan susu wajib! Di waktu pagi tidak ada kedai-kedai yang menjual makanan seperti di Malaysia, tambahan lagi jika di Pulau Pinang, Nasi Kandar 24 Jam! Restoran Masakan Ala Thai, Kopi Tiam, di mana-mana sahaja, tetapi bagaimana dengan kesihatan kita? Renung-renung sejenak.

   Aku baru pulang ke rumah, tiba-tiba aku rasa sakit di bahagian dada, sudah banyak kali terjadi, pedih menyucuk-nyucuk. Dahulu aku ada darah tinggi, pernah masuk wad satu hari satu malam. Aku jenis yang suka baca majalah wanita, yang mungkin bagi lelaki sesuatu yang pelik "anda fikir demikian jika minda anda tertutup" tetapi banyak info mengenai kesihatan yang boleh kita jadikan panduan.


    Setelah berceloteh dengan panjang lebar, ingin aku kongsikan petua untuk mengurangkan kadar kolestrol di dalam badan. Selain itu petua ini boleh dijadikan amalan seharian. Bahan-bahan seperti di dalam gambar, minyak zaitun asli, secawan air dan lemon. Masukkan satu sudu minyak zaitun ke dalam cawan berisi air, perahkan sedikit lemon, kacau dan minum. Mudah!


   Fungsi Minyak Zaitun tidak terhad untuk petua sahaja, bahkan ia digunakan dalam masakan. Saya ingin kongsikan resepi Salad Tomato dengan pembaca sekalian. Tomato, timun, daun ketumbar dihiris mengikut kreativiti masing-masing dan dimasukkan ke dalam mangkuk. Tuangkan minyak zaitun 2/3 sudu mengikut kuantiti, perahkan lemon dan gaul sehingga sebati. Akhir sekali taburkan sedikit daun ketumbar, siap! Akhir sekali selamat mencuba.



Muhammad Saffuan Bin Jaffar

Ahad, 15 Mei 2011

Jaulah Mencari Kehijauan

      Jalan raya pagi Ahad di Pulau Pinang lengang. Aku bangun awal pagi bersiap menunaikan kewajipan. Suasana pagi disambut sang Suria, ayam berkokok dan burung bertebangan megah di langit biru. Walaupun aku tinggal di  kampung di dalam kawasan bandar, aku rindukan kehijauan, aku ingin sejukkan mata aku dengan keindahan alam yang tidak terusik.

     Sejak semalam lagi aku sudah memaklumkan kepada kawan baik aku untuk ke Taman Negara Teluk Bahang kira-kira 30km dari tempat tinggal. Walaupun aku kurang sihat, dengan mendekatkan diri dengan kehijauan alam aku dapat menenangkan jiwa. Kira-kira jam 8.30 pagi aku dan kawan aku bergerak menuju ke destinasi "Lubuk Hijau" dengan menyusuri bangunan gergasi di kiri dan kanan. Pulau Pinang pesat membangun, namun masih ada lagi sudut untuk aku melepaskan tekanan.

     Hampir 30 minit dari Bayan Lepas, jalan-jalan yang pada mulanya sibuk dengan kenderaan besar mulai surut.Kiri dan kanan jalan pepohon hijau merimbun, suasana sekeliling mulai berubah. Kami tiba di perkampungan nelayan Teluk Bahang. Kelihatan van yang membawa pelancong juga berada di pintu masuk Taman Negara Teluk Bahang. Orang Putih memang gemarkan keindahan hutan simpan negara kita. Allah s.w.t sudah kurniakan kita tanah yang subur namun kita mengkhianati nikmat tersebut.

Pintu Masuk

   Ini bukanlah kali pertama aku menjejakkan kaki ke sini. Kunjungan aku yang pertama pada tahun 2008, banyak perubahan yang dapat dilihat. Dahulu tempat ini kurang terurus dan kotor tetapi sekarang, denai dibersihkan dan ada pekerja pembersih yang bekerja di sini. Selain itu terdapat pos tentera di sini. Keadaan di kawasan perairan juga bertambah baik dahulunya air laut kotor penuh dengan sampah namun kini bersih. Sambutan orang ramai amat memberansangkan. Kami meninggalkan tempat ini dan terus ke Balik Pulau.

Denai yang bersih

     Jalan yang kecil berliku-liku, kelihatan penjual Durian di tepi-tepi jalan. Kereta yang kami naiki meluncur laju selepas dari selekoh Air Terjun Titi Kerawang, kami tiba di sebuah pekan kecil berhampiran Pantai Acheh. Inilah kawasan Balik Pulau, kawasan yang sedang membangun dan terdapat banyak perkampungan nelayan dan perkampungan tradisional Melayu. Kawasan ini juga menjadi kegemaran kami. Tempat yang kami kunjungi di sana ialah kawasan sawah padi yang sekarang ini subur menghijau. Ada sawah padi di Pulau Pinang?

Lihatlah sawah padi yang terbentang luas. Sungguh mendamaikan

     Kami turut menyusur di kawasan perkampungan Melayu. Di rumah penduduk kampung di sepanjang jalan penuh dengan pokok rambutan yang kini sudah mengeluarkan buahnya. Dua bulan lagi, pasti merah menyala di sepanjang jalan, sungguh lebat buahnya. Kami meneruskan perjalanan ke "Pemandangan Indah" untuk menghirup udara segar Bukit Relau dan melihat pemandangan pekan Balik Pulau. Tempat ini semakin menjadi tarikan pelancong, ramai yang datang berkunjung untuk membeli buah-buahan dan juga bersiar-siar.

Pekan Kecil Balik Pulau dari Pemandangan Indah

    Sepanjang perjalanan aku belajar untuk menghargai keindahan alam yang Allah berikan, jangan sesekali mengkhianatinya. Aku kesal dengan sikap manusia yang petingkan diri sendiri, buang sampah merata-rata. Pulau Pinang kalau dijaga dengan baik seperti Singapura mungkin menjadi negeri tercantik di Dunia : P

 
 Muhammad Saffuan Bin Jaffar

Sabtu, 14 Mei 2011

Situasi Yang Perlu Diubah

Pekara yang mungkin kita berhadapan hampir setiap hari, ada kalanya pekara tersebut membuatkan kita kurang selesa atau marah. Namun cuba kita selami adakah kita turut menyumbang kepada situasi tersebut? Tahukah, betapa rendahnya kesedaran sivik dalam kalangan rakyat Malaysia? "ambil yang jernih, buang yang keroh"


Situasi 1 : Seringkali pemandu melanggar lampu isyarat, pemboceng/pemandu kereta sibuk membalas mesej telefon ketika memandu. Bawa kereta/kenderaan melebihi had laju yang ditetapkan, parking kereta sesuka hati-semuanya kita nampak hampir tiap-tiap hari.


Situasi 2 : Pergi tepi pantai mesti ada sampah tinggalan orang yang datang buat BBQ. Kulit durian, kulit kerang, tulang ayam - kesedaran sangat rendah, kalau buat kempen hari-hari tanpa plastik pun aku rasa tak berkesan jika tidak tegas mendidik rakyat berjiwa bersih! Segala-galanya bermula pada diri sendiri.

Situasi 3 : Tandas kotor! Inilah sikap yang perlu tinggalkan, pekara yang sangat mudah pun tidak mampu dilakukan. Jika pandai buang pandai-pandai hilangkan dari pandangan mata. Jangan jadi pengotor

Situasi 4 : Jika anda melihat orang jendak melintas jalan,adakah anda beri peluang untuk "pedestrian melintas"? Bayangkan berpuluh-puluh kereta yang lalu, tidak ada sebuah kereta pun yang memberikan laluan untuk pejalan kali melintas?

Situasi 5 : Semasa di ATM ada seseorang "A" kelihatan teragak-agak untuk ke mesin ATM sambil membuka dompet untuk mengambil kad ATM. Tiba-tiba ada orang "B" datang memintas  "walaupun dia "B" tahu orang "A"itu hendak menggunakan mesin ATM" Apa perasaan "A" terhadap "B"? Jika pekara yang sama berlaku kepada "B" apa pula yang dia rasa? Kesedaran sivik sangat rendah!

Situasi 6 : Sebuah kereta memberikan isyarat untuk masuk simpang, jalan masuk ke simpang terhalang, dan kelihatan seseorang sedang mengalihkan kerusi di simpang tersebut. Kereta dibelakang membunyikan hon "marah!" selepas "seseorang itu mengalihkan kerusi yang menghalan kereta dihadapan untuk masuk, kereta yang membunyikan hon tadi menekan pedal minyak seolah-olah melepaskan kegeraman. Dimanakan sifat sabar di dalam diri?

Situasi 7 : "Hei tak ada mata ke?" marah lelaki berbaju merah, lelaki B. " You yang langgar I dengan troli" balas lelaki A. Kenapa tidak lafazkan kata "saya minta maaf" Mungkin Lelaki A yang salah, mungkin Lelaki B yang salah, JIKA masing-masing membuang sifat ego, pertelagahan tadi boleh menjadi "persahabat" Buang sifat EGO!

Situasi 8 : Seorang lelaki tua sedang  berjalan menuju ke pejabat pos, seorang lelaki muda memintas lelaki tua tersebut, dia membuka pintu pejabat pos, lelaki tua itu hampir dengan pintu pejabat pos tetapi dibiarkan pintu tersebut tertutup tanpa menghiraukan lelaki tua tadi. Jangan terlalu mementingkan diri sendiri, latih diri kita untuk memberi laluan "pegang pintu" jika anda melihat orang hampir mengekori masuk * saya harap anda faham *

Situasi 9 : Pemandu bas membawa penumpang dari suatu perhentian ke perhentian bas yang lain. Sepuluh orang naik sepuluh orang turun tidak seorang pun mengucapkan "TERIMA KASIH". Tidak kira pemandu bas, peniaga nasi lemak, penjual roti, jika mereka tidak memulakannya, mengapa tidak KITA yang memulakannya. Cara mudah didik masyarakat! Ucapakan TERIMA KASIH!

Ubah pemikiran tingkatkan kesedaran sivik dalam diri kita. Pekara yang nampak KECIL memberikan kesan besar kepada masyarakat. Nilai murni hilang lesap sedangkan negara kita halus pekertinya, BUKTIKAN! [BERSAMBUNG]


 Muhammad Saffuan Bin Jaffar

Selasa, 10 Mei 2011

Kisah Meriam


Meriam yang digunakan oleh Sultan Muhammad al-fateh ketika hendak membebaskan kota Konstantinople.

   Pada 29 Mei 1453 maka apa yang diperkatakan dalam hadis baginda Rasulullah s.a.w menjadi suatu kenyataan, kota ini dibebaskan oleh seorang pemimpin yang baik dan tenteranya yang baik. Pada usia muda seawal 21 tahun beliau telah mengubah segala-galanya, namun artikel kali ini saya hendak berkongsi mengenai meriam yang digunakan ketika hendak meruntuhkan dinding kota tersebut.

   Urban adalah seorang tahan Maharaja Konstantine, beliau ditangkap kerana tidak mahu bekerjasama dengan maharaja. Namun dengan izin Allah s.w.t beliau dilarikan dari penjara dan dibawa menghadap Sultan Muhammad al-fateh. Urban memberitahu yang beliau mahir membuat senjata yang dikenali sebagai meriam dan mampu merobohkan dinding kota Konstantine yang kukuh itu. Ada yang berpendapat Urban gagal memujuk Maharaja Konstantine untuk membeli teknologi meriamnya. Namun ianya mustahil maharaja menolak tawaran Urban, kerana Konstantine dalam keadaan terdesak, saya fikir ini adalah pendapat yang tak boleh diterima.

Peluru daripada meriam ini boleh merentasi selat Bosphorus

Meriam Lada Sicupak


Meriam Lada Sicupak Kecamatan Peureulak Kota, Aceh Timur

Pada tahun 1558 seramai 400 tentera Turki telah bergabung dengan tentera Acheh serta 300 armada kapal untuk menentang pendudukan Portugis di Melaka.Sultan Alauddin dari Acheh telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan Kerajaan Uthmaniyyah di Turki. Rombongan Aceh tiba di Istanbul dengan kapal bermuatan lada, komoditi paling berharga zaman itu ditugaskan oleh Sultan Alauddin untuk  mempersembahkan lada yang dibawa kepada Sultan Sulaiman.

Lada yang dibawa itu juga menjadi sumber perbelanjaan selama rombongan itu di Istanbul menanti dibenarkan menghadap Sultan Sulaiman yang sedang memimpin tenteranya di Hungary. Akhirnya, Sultan Sulaiman mangkat pada 1566 di Szigetvár, Hungary dan jasadnya dibawa pulang untuk dimakamkan di Masjid Sulaimaniye.

Cubaan rombongan Aceh untuk menghadap khalifah yang baru juga tidak pernah berjaya, sedangkan mereka sudah terlalu lama di Turki dan bekalan lada yang dibawa semakin hari semakin susut dijual di pasar.Suatu hari khalifah melawat pasar dan kesempatan  itu dimanfaatkan utusan Aceh untuk menyampaikan salam sultan mereka serta mempersembahkan hadiah kepada khalifah iaitu secupak lada, baki terakhir bekalan mereka. 

Ancaman Portugis di Nusantara turut diceritakan kepada sultan, maka baginda mengerahkan armadanya bersama meriam Turki, tukang mahir membuat meriam dan senjata api pulang bersama rombongan Aceh.Sempena peristiwa bersejarah itu, meriam Turki yang dihantar ke Aceh dan meriam itu diberi nama MERIAM LADA SICUPAK







Muhammad Saffuan Bin Jaffar

Siapakah Wira Turki Sebenarnya?

Pendahuluan

Nama Mustafa Kamal Ataturk tidak asing lagi di Turki. Malah beliau dianggapsebagai seorang pejuang hak wanita, tertulis di dalam sebuah akhbar tempatan. Bukan akhbar sahaja, buku teks matapelajaran sejarah di sekolah turut meletakkan beliau sebagai tokoh perjuangan yang disanjung tinggi. Beliau dikatakan sebagai wira dan bapa kepada Negara Turki namun beliaulah yang telah menghancurkan kegemilangan Islam yang dibina sejak sekian lama. Azan dialungkan di dalam bahasa Turki, sistem tulisan Ottoman dihapuskan dan larangan bertudung dikuatkuasakan kepada kaum wanita. Adakah aku  buta sejarah?

Sebelum Kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah ada seorang Khalifah yang memerintah dengan kuasa mutlak, namun kisah beliau tidak diceritakan di dalam buku teks sejarah, sedangkan beliaulah yang berusaha menyelamatkan Kerajaan Turki Uthmaniyyah yang menjadi naungan negara-negara Islam termasuklah Tanah Melayu.

Sultan Abdul Hamid II

Sultan Murad menaiki takhta selama 93 hari selepas Sultan Abdul Aziz, bapa saudara kepada Sultan Abdul Hamid II mangkat dipercayai dibunuh oleh musuh politik. Sultan Murad dikatakan tidak cekap mentadbir dan mengurus hal ehwal negara. Maka Sultan Abdul Hamid II diangkat menjadi Khalifah Kerajaan Turki Uthmaniyyah yang ke-34.

Pada masa itu Kerajaan Turki Uthmaniyyah berada dalam keadaan yang tidak stabil. Baginda amanah dan cekap dalam menjalankan tugasnya dan memegang tampuk pemerintahan selama 33 tahun, suatu tempoh yang sangat lama. Sepanjang pemerintahan baginda, banyak usaha yang dilakukan untuk menyelamatkan Kerajaan Uthmaniyyah dan juga umat Islam.

Baginda telah menjayakan projek keretapi Hijaz yang bermula dari Damsyik hingga ke Madinah. Usaha ini dilakukan untuk menyatupadukan wilayah dibawah naungan Kerajaan Uthmaniyyah. Selain itu jaringan telegram juga dibina untuk memudahkan komunikasi. Semasa pemerintahan baginda, hutang Kerajaan Uthmaniyyah Berjaya dikurangkan hasil daripada projek-projek industri.

Theodor Herzl berbangsa Yahudi Zionis merupakan Presiden Kongres Zionis yang pertama. Peristiwa Dreyfus di Perancis yang menyebabkan seorang Kapten Tentera Perancis berbangsa Yahudi dihukum bunuh kerana dipercayai menjadi perisik kepada Jerman telah mengheret Herzl untuk meninggalkan Eropah dan ingin menubuhkan sebuah negara khusus untuk bangsa Yahudi.

Kebencian baginda terhadap campur tangan Eropah di Balkan dan tindakan Inggeris yang mahukan Palestin telah menyebabkan tercetusnya revolusi Pemuda Turki pada tahun 1908. Akibaynya, Sultan Abdul Hamid II dibuang negara ke Salonika, sebuah Bandar yang terletak di Yunani. Kemudian baginda berpindah ke Istana Beylerbeyi di Istanbul setelah mendapat berita bahawa Bandar Salonika akan diserang.

Baginda hidup di dalam serba kedaifan di negara sendiri. Pintu dan tingkap Istana Beylerbeyi ditutup rapat. Keluarga baginda disekat daripada sebarang dedahan informasi, mereka dilarang menggunakan radio. Baginda minat kepada seni dan mahir mengukir dan menghabiskan masa lapang dengan membuat ukiran kayu. Sayu hati mengenangkan seorang wira yang dibenci, sedangkan orang yang melakukan kehancuran diangkat sebagai wira.

Pada 10 Februari 1918 pada usia 74 tahun, baginda menghembuskan nafas terakhir dan dimakamkan bersebelahan dengan makam bapa saudaranya Sultan Abdul Aziz dan nendanya Sultan Mahmud II. Baginda seorang pemerintah yang taat kepada perintah agama dan sering melakukan solat sunat sebelum memulakan sesuatu tugasan. Baginda mempunyai 9 putera dan 7 puteri.



 Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...