Sabtu, 19 Jun 2010

Bercuti di Turki (Luton - Istanbul) Part 1

Di Lapangan Terbang Luton 


      
    Isnin, 7 Jun 2010 jam 2.45 pagi kami bergerak menuju ke stesen Bas Broadmarsh dengan menaiki teksi. Bas kemudiannya bertolak ke Lapangan Terbang Luton pada jam 3.15 pagi. Cuaca pada pagi ini sejuk Kami tiba di Luton pada jam 5.45 pagi. Ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan kilat di tengah hari, kami menemui dugaan pertama, sahabat kita Faiz kehilangan dompetnya, namun kami hadapi dengan tenang. Faiz menghubungi National Express untuk memaklumkan bahawa dia kehilangan dompet yang mengandungi dokumen penting. Tapi apa yang penting passport masih lagi dengan Faiz, kalau tidak berkuranglah ahli Kembara Turki.

    Kami bersarapan terlebih dahulu dengan bekalan yang dibawa, nasi goreng yang dibeli dari restoran semalam, dan kemudiannya pada jam 7.45 pagi kami check in luggage,semua urusan tiket dan bagasi tiada masalah, namun kami menghadapi masalah yang kedua, sahabat kami yang sedang menuntut di Istanbul, Faiz Ali tidak dapat dihubungi, apa-apa pun kami hadapi dengan tenang dan kami sempat menghantar e-mail dari Luton dengan menggunakan kemudahan Internet berbayar, kepada sahabat kami agar dia dapat menghubungi aku di Istanbul dan kami akan cuba menghubungi sahabat kami di Turki setibanya di Lapangan Terbang Sabiha Gokcen. Penerbangan kami berlepas dari Luton pada jam 9.45 pagi atau 11.45 pagi waktu Turki.

Tibanya di Bumi Turki, Istanbul Bahagian Asia


Pemandangan Istanbul dari kapal terbang cuaca mendung dan hujan

    Setelah 3 jam lebih perjalanan kami tiba di Sabiha Gocken pada jam 3.15 petang waktu Turki dengan selamat, tetapi cuaca di luar mendung dan hujan rintik-rintik. Lapangan terbang ini terletak di Istanbul bahagian Asia. Kami bersolat di Masjid di dalam kawasan lapangan terbang dan selepas itu kami cuba menghubungi saudara Faiz Ali, saya mendapat mesej dari Faiz Ali pada jam 4.34 petang, dengan nombor itu saya menghubungi Faiz Ali, alhamdulillah dia dapat dihubungi, aku diberitahu untuk mengambil bas ke Kardikoy dan kemudiannya kami perlu menggunakan perkhdimatan Feri ke Eminonu. Timbul masalah baru, masalah utama ialah masalah bahasa, kerana kebanyakkan orang Turki kurang fasih berbahasa Inggeris dan cara kami menyebut nama "Kardikoy" pun salah, dan ada pula tempat yang namanya hampir serupa dengan "Kardikoy".Kami menaiki bas ke Kardikoy dengan tambang 10 Lira, ada kalanya kami rasa tertipu, tetapi bila difikirkan balik bas yang kami naiki "Fast Coach" iaitu bas yang tidak berhenti di mana-mana perhentian bas.

   Dugaan demi dugaan, dugaan kepada pemandu bas jalan sesak dan dugaan yang kami hadapi ialah, bas menurunkan kami di pembahagi jalan, dengan beg bagasi yang besar dan berat kami mengharungi jalan raya yang penuh sesak dalam cuaca hujan. Alhamdulillah, bas memang menuju ke "Kardikoy" dan bukannya "Kardikoy" yang satu lagi. Setibanya di jeti, kami sempat menaiki feri yang akan ke Eminonu, nasib baiklah, tak perlu tunggu lama-lama. Ramai orang berpusu-pusu naik ke Feri, kami pula berhempas pulas mengangkat bagasi yang berat untuk naik ke atas Feri. Memang memenatkan, kami duduk di tempat duduk yang berdekatan dengan tingkap untuk melihat pemandangan Istanbul dan disitu ada seorang wanita lingkungan 30-an duduk bersendirian disitu sambil merenung ke arah tingkap. 

    Ketika menaiki feri kami dapat menyaksikan pemandangan yang sangat indah, Hagia Sofia kini benar-benar kelihatan. Feri melalui laut Mediterranean dan aku dapat melihat selat Bosphorus yang mempunyai 1001 kisah kegemilangannya. Selat Bosphorus adalah selat yang memisahkan antara benua Asia dan benua Eropah.
Kelihatan Hagia Sofia

     "Kini aku dapat melihat jelas wajahmu
yang sebelum ini menjadi garis-garis rindu
kini kau dan aku sudah terjalin dekat
permaidani laut biru seolah-olah menyambut gembira kedatangan aku
walaupun terpisah dengan lautan
namun lautan itu menjadi tali persahabatan"

Aku dan Faiz keluar ke tepian feri untuk melihat pemandangan dari luar feri, dan aku ingin melihat sendiri kebiruan air laut di Selat Bosphorus yang selama ini aku asyik mendengarnya dari mulut Firdaus, iaitu rakan aku yang pernah ke Turki, ternyata benar, sangar biru dan bersih. Bayu angin laut menyapu ke mukaku, angin berbisik di telinga "Inilah Istanbul". Hujan rintik-rintik masih lagi turun, dan feri pun berhenti di satu jeti. Aku dan sahabat-sahabat kurang yakin, "Betul ke yang ni Eminonu?". Ariff pun bertanyakan dengan wanita lewat 30-an yang duduk di tepi tingkap "Eminonu?". Wanita ini memberitahu dengan isyarat tangan, memberitahu kami ini bukan Eminonu dan dia menunjukkan arah seberang laut. Nasib baik kami tak turun di situ.


Tibanya di Istanbul Bahagian Eropah

     Setelah tiba di Eminonu yang terletak di bahagian Eropah Istanbul, hujan bertambah lebat, keadaan di Istanbul pada waktu itu sangat sesak dipenuhi dengan orang ramai ditambah pula dengan hujan. Aku dimaklumkan oleh Faiz Ali bahawa 10 minit lagi dia akan sampai. Setelah 10 minit menunggu di bawah perhentian bas berhampiran jeti, Faiz Ali muncul sambil menutup mukanya di balik payung, aku dapat mengagak bahawa itu Faiz Ali lalu aku memanggil-manggil "Faiz! Faiz!" dialah rakan yang akan membantu kami semasa berada di Turki. Aku dan rakan - rakan meneruskan perjalanan ke tempat yang kami akan menginap nanti. Faiz menarik bagasi dengan penuh sabar, petang itu kami bermandi hujan di Istanbul, apa yang aku risaukan ialah kamera aku, walaupun ia dilindungi beg kalis air. Kami menaiki tram dari Eminonu ke Grand Bazar (kalau tak silap) dalam keadaan yang penuh sesak dan kami terpaksa berhimpit-himpit di dalam tram, dan dengan bagasinya lagi, menyebabkan aku rasa hari ini paling teruk. Kami berjalan sambil meredah hujan, habis basah kuyup, setelah hampir 30 minit berjalan kami singgah untuk makan di sebuah kedai, dalam keadaan basah kuyup, kami menjadi perhatian pemilik kedai, tiga orang pengunjung,dan pekerja di kedai makan tersebut. Faiz memulakan perbualan, dalam bahasa Turki dengan pekerja di kedai makan tersebut, sangat petah, kagum aku mendengarnya.Kami memesan makanan dan minuman, apa yang kami harapkan minuman panas, tetapi habis yang tinggal minuman sejuk dan makanan malam itu sangat istimewa, Adana iaitu roti bakar yang digulung bersama daging dan salad. Setelah berehat dan hujan lebat pun mulai reda, kami bergerak menuju ke tempat penginapan, iaitu sebuah madrasah pertama dan tertua di Istanbul. Kami naik ke tingkat atas dengan membawa bagasi yang berat dengan penuh sabar.



Bersama-sama sahabat dari Turki


Teh yang dihidangkan sahabat kami.

   Kedatangan kami disambut mesra oleh penghuni di madrasah tersebut, mereka merupakan pelajar di Universiti Istanbul. Sebaik tiba kami di bawa oleh Faiz Ali ke tingkat atas yang merupakan tempat bagi tetamu, tempat solat serta tempat pengajian kitab, kemudian, azan maghrib pun berkumandang bersahut-sahutan. Dari Lapangan terbang lagi aku dapat melihat begitu banya masjid, boleh dikatakan hampir setiap 200 meter akan ada masjid. Dari madrasah yang kami menginap, kami dapat melihat Masjid Biru, selepas azan kami pun solat maghrib. Malam itu kami diperkenalkan oleh saudara Faiz Ali dengan penghuni-penghuni madrasah. Kebanyakkan mereka tidak fasih berbahsa Inggeris, dan itulah kali pertama aku mendengar bunyi bahasa Turki. Seorang demi seorang datang bersalaman dengan kami (nisilsiniz?) mereka menyapa, Faiz Ali menjadi penterjemah kami, aku berasa sangat seronok kerana dapat bertemu mereka walaupun dalam keletihan. Malam itu lebih dari sepuluh orang berkenalan bersama-sama kami di ruangan tingkat atas madrasah, dan kami dihidangkan dengan teh Turki panas, dan itulah teh pertama yang aku minum di Turki. Sebelum ini aku mendengar kisah dari Firdaus, "orang Turki suka minum teh, sampai tak larat nak minum" kata-katanya terngiang-ngiang di telinga aku, ini baru hari pertama dah pun dihidangkan teh, bagi aku tiada masalah aku penggemar teh.

   Sambil berbual-bual ada seorang diantara mereka yang agak fasih dalam bahasa Inggeris, iaitu saudara Mehmet kini bergelar doktor (bukan doktor perubatan), aku pula mengambil kesempatan untuk menghafal beberapa frasa dari buku bahasa Turki yang aku beli sebelum ke sini, "Turkchem Chok Kotu" (bahasa Turki saya sangat teruk) inilah ayat pertama yang aku hafal dan membuatkan rakan-rakan Turki aku tertawa. Kami berbual agak lama, jam menunjukkan pukul 1.00 pagi, aku yang keletihan mengharungi dugaan hari pertama tidur dengan nyenyak sekali. Bersambung.


Sinopsis Perjalanan


Nottingham - London : National Express

London (Luton Airport) - Istanbul Asia (Sabiha Gocken Airport): EasyJet

Istanbul Asia (Sabiha Gocken Airport) - Kardikoy : Bus (Fast Coach) TYL 10

Kardikoy - Istanbul Eropah (Eminonu), stesen terakhir : Feri TYL 2

Eminonu - Penginapan : Tram (JETON)










Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Hujan Yang Lebat
Istanbul

Bercuti di Turki (Pagi di Istanbul) Part 2






Pagi Hari Kedua di Istanbul

Universiti Istanbul

     Kami bangun untuk solat subuh pada jam 4 pagi. Aku bersiap-siap untuk ke Masjid berdekatan. Dalam cuaca sejuk aku berjalan dan lebih kurang 10 minit kami tiba di Masjid. Selepas selesai solat masjid kami dijemput oleh seorang pendakwah, Niametullah Khalil IbrahimYurt untuk minum teh, aku kagum dengan beliau kerana dia boleh berbahasa Melayu " Sembahyang bagus, syurga,syurga" katanya kepada aku dan rakan-rakan lain. Kami juga bertemu dengan jemaah yang akan menunaikan umrah, yang ikut kami minum teh hanya tiga orang. Pada pagi itu kami medengar cerita bagaimana dakwah dijalankan di Jepun dan tugas sebagai umat Islam. Kami berbual agak lama, maklumlah pertama kali bertemu dan mungkin itu kali terakhir. Kemudianya jam 7.00 pagi aku, ariff dan Faiz Ali pulang ke Madrasah. Faiz pada pagi itu bersama-sama dengan Mehmet solat di Masjid Fatih*. Pada pagi ini cuaca masih mendung. Kami bersiap-siap untuk keluar makan dan seterusnya melawat ke beberapa tempat di Istanbul. Kami bersarapan di sebuah restoran berdekatan dengan sarapan yang istimewa rasanya seperti roti canai, dikenali sebagai Borek dengan berintikan keju, kentang atau daging. Aku cuma memesan borek berintikan keju dan kentang sahaja, sebabnya aku tak boleh makan daging. Menjadi kebiasaan teh sangat popular di Turki berbanding minuman lain. Setelah makan kami bergerak ke Eminonu.


Borek dan teh




Sekitar Makam Eyub Sultan


Makam Eyub Sultan

      Pada hari itu kami bersama-sama satu keluarga dari Malaysia. Kami melawat ke Makam Abu Ayub al-Ansari atau lebih dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Eyub Sultan Camii. Selepas itu kami solat di Masjid Eyub Sultan, setelah selesai solat kami disapa oleh beberapa penduduk tempatan kedatangan kami amat dialu-alukan. Hari hujan membataskan pergerakan kami, namun itu bukan penghalang. Semasa berada di sekitar Makam ada juga upacara berkhatan dijalankan, anak-anak yang bakal dikhatankan, mereka memakai pakaian yang sangat istimewa.


Bergambar bersama-sama kanak-kanak Turki yang akan dikhatankan


Di sekitar Makan Abu Ayub al-Ansari terdapat kedai-kedai yang menjual makanan ringan, pakaian serta buku-buku agama. Kami singgah disebuah kedai menjual pakaian, aku dihidangkan dengan secawan teh oleh pekerja di kedai tersebut, ternyatalah orang Turki sangat-sangat mengalu-alukan kedatangan pelancong, lebih-lebih lagi dari negara Islam. Semasa kami sedang berjalan-jalan ada beberapa penduduk tempatan bersalaman dengan kami, " Are you Singapore/Malaysia?" soalan lazim yang akan ditanya.


Peniaga di kawasan sekitar makam

       Ada juga sekumpulan kanak-kanak mendekati kami. Aku cuba berbahasa Turki "Ingilizje biliyor musunuz?" yang bermaksud "adakah kamu memahami bahasa Inggeris?" Mereka tertawa dan berkata sesuatu kepada aku, yang aku sendiri tidak faham, tapi aku dapat mengagak maknanya,kelihatan diwajah mereka gembira apabila tempat mereka dikunjungi oleh orang asing. Hujan masih lagi membasahi bumi Istanbul.

MiniAturk




     Setelah menunggu hujan reda, kami bergerak menuju ke MiniAturk dengan menaiki teksi, yang merupakan sebuah taman yang menempatkan model-model bangunan yang mempunyai nilai sejarah dan tarikan yang menarik seperti Hagia Sofia, Masjid Biru, Cappadocia dan lain-lain tempat. Kami meluangkan masa hampir dua jam lebih di sana. Kemudiannya kami pulang dan keluarga dari Malaysia yang bersama-sama kami akan pulang ke UK, keesokkannya.

MiniAturk


    Hujan masih lagi turun, kalau orang Turki sebut hujan "Yagmur", ramalan kaji cuaca pada keesokkan hari masih memberi tanda-tanda hujan akan turun lagi. Setelah mengatur perjalanan, keesokkanya kami akan membeli tiket untuk ke Cappadocia dan kami bersepakat untuk ke Bazar Besar dan melawat tempat-tempat tertutup sahaja. Aku melelapkan mata dan dengan harapan cuaca esok tidak hujan.Bersambung.

Muhammad Saffuan Bin Jaffar 
Istanbul

Bercuti di Turki (Dari Istanbul Ke Nevsehir) Part 3


Pagi Hari ke Tiga di Istanbul

     Pada hari ini, kami sangat berharap agar dengan Izin Allah s.w.t hujan akan berhenti. Melihat melalui tingkap dari Madrasah pertama dan tertua di Istanbul, masih lagi diselebungi kekelabuan awan hujan. Dan selepas beberapa ketika langit yang dahulunya berawan, tiba-tiba beransur menampakkan kejernihan langit biru. Alhamdulillah cuaca amat baik dan panas serta berangin. Setelah bersarapan kami dan saudara Faiz Ali menuju ke sebuah tempat untuk membeli tiket bas. Metro menjadi pilihan kerana perkhidmatan yang baik dan bas yang selesa.

Metro menyediakan perkhidmatan baik

Jalan-jalan di Grand Bazar

   Setelah membeli tiket bas ke Nevshehir, Kappadokia kami bergerak ke grand Bazar yangusianya ratusan tahun dan menempatkan beribu-ribu kedai yang menjual barang-barang cendermata seperti t-shirt, lampu kaca, permaidani dan lain-lain lagi. Kami singgah di kedai menjual lampu-lampu kaca, bila pemilik kedai mengetahui kami orang Islam, "For Faith special price" dan kami dihidangkan teh, yang sememangnya menjadi adat dan kegemaran orang Turki.

 Teh yang dihidangkan kepada kami.

    Setelah melawat kedai menjual lampu kaca kami melawat ke kedai - kedai yang lain, memang seronok bila pemilik kedai tahu yang kami ini orang Islam dan datang dari Malaysia dan hampir kesemua kedai menyediakan teh kepada tetamu.

    Apa yang menarik di Bazar ialah ada sesetengah peniaga yang boleh berbahasa Melayu seronok saya mendengar, dan ada seorang peniaga sempat saya rakam ketika dia bercakap dalam bahasa Melayu dalam malu-malu kucing. Selain menjual baju terdapat kedai-kedai emas di laluan utama di dalam bazar dan untuk pengetahuan pembaca sekalian sewa kedai di laluan utama mencecah ribuan dolar.
(Gambar sebelah kiri) Bergambar bersama pemilik kedai t-shirt yang boleh berbahasa Melayu

   Selain itu jika anda berminat dengan tasbih kayu kokka, mungkin Istanbul menjadi tempat yang banyak pilihan dari sekecil-kecil tasbih sehinggalah yang sebesar-besarnya. Kami kemuadiannya bergerak ke madrasah tempat penginapan untuk menyimpan barang-barang yang di beli di Grand Bazar dan seterusnya kami pergi ke Spice Bazar terletak berhampiran hentian Tram Eminonu yang banyak menjual rempah-rempah dan juga manisan. Saya amat menyukai manisan Turki kerana rasanya yang unik tetapi harganya sangatlah mahal.

(Gambar sebelah kanan) Beginilah keadaan di dalam bazar yang dibina semasa zaman Turki Uthmniyyah pada tahun 1461.


Pak cik ini menjual tasbih buah kokka. 

Dari sekecil-kecil tasbih, sehinggalah yang sebesar ini dijual di sini.

Kedai menjual manisan
Pelbagai jenis manisan yang boleh didapati di Spice Bazar

Banyaknya manisan...


Warna-warni rempah di Spice Bazar


Semoga Berjumpa lagi "Istanbul!"

   Setelah selesai membeli - belah kami pulang ke rumah dan bersiap-siap untuk ke stesen bas dan kami bergerak ke Nevshehir pada jam 10.00 malam dan perjalanan dari Istanbul ke Nevshehir mengambil masa 11 jam. Sebaik saja masuk ke dalam bas, memang sangat selesa dan siap dengan pelayan lagi (ala-ala pramugara) yang akan menghidangkan ari dan makanan ringan.

Bas Metro bagi saya amat selesa untuk perjalanan jauh

Jumpa esok di Cappadocia, Nevsehir

Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Istanbul

Bercuti di Turki (Keunikan Bumi Nevşehir) Part 4

Perjalanan Ke Nevşehir


   Perjalanan dari Istanbul ke Nevsehir mengambil masa yang sangat panjang iaitu 11 jam dan bermulalah perjalanan kami tanpa bantuan Faiz Ali. Aku dan rakan-rakan menaiki bas jam 10.00 malam dan cuaca pada malam itu sangat baik. Apa yang menariknya, perkhidmatan bas menyediakan pelayan untuk penumpang dan makanan ringan dan jus disediakan. Aku perlu rehat kerana setibanya di Cappadocia kami tidak boleh buang masa kerana kami menginap di sana cuma satu malam sahaja dan dalam masa yang singkat kami perlu meneroka keunikan bumi Cappadocia.


   Ketika dalam perjalanan, aku terjaga bas mula dipandu perlahan dan menyusur masuk ke suatu tempat, dari tingkap aku melihat dan aku dapat jangkakan yang sekarang ini bas memasuki kawasan rehat, R&R istilah yang digunakan di Malaysia. Uniknya bas yang kami naiki mempunyai kawasan rehatnya sendiri tidak seperti di Malaysia dan kawasan rehat (Metro Bus) menyediakan kemudahan yang terbaik, kawasan rehatnya yang besar dan tandas yang banyak. Kami tidak berhenti lama di perhentian bas.




Jendela Nevşehir

   Hari makin terang di tingkap aku dapat melihat ladang gandum kiri dan kanan, Akashah dan Ariff masih lagi tidur, aku dan Faiz masing-masing terpesona melihat ladang gandum yang luas. Kegembiraan aku sedikit terusik kerana aku mengharapkan cuaca yang elok tetapi suasana mendung yang menyelubungi pagi di Nevshehir, namun Allah sudah mengatur apa yang baik bagi makhluknya. Sebaik saja tiba di stesen bas, kami kemudiannya bergerak menuju ke Goreme National Park dengan menaiki bas kecil dan di sanalah terletaknya Cappadocia iaitu sebuah penempatan purba yang sangat unik keadaan bentuk muka buminya. 

 Replika. Replika Cappadocia ini membuatkan aku tertanya-tanya tentang gambaran sebenar yang aku akan lihat, gambar ini aku ambil dari dalam bas.

Meneroka Keunikan Nevşehir

   Cuaca yang mendung kini mula bertukar menjadi cerah langit kelihatan biru ditemani awan putih menggantikan awan kelabu. Dari stesen bas kecil Goreme, kami berjalan kaki untuk ke hostel, perasaan teruja mengubati keletihan yang aku rasai. Kami tiba di Hostel, sungguh unik, rumah di dalam gua. Kami meletakkan beg di ruang legar dan menikmati sarapan yang disediakan kepada kami, sarapan pagi yang sungguh berkhasiat, baik untuk kesihatan.


Roti


Memang berkhasiat. Telur, timun, tomato dan buah zaitun, sarapan yang mudah tetapi enak!

Setelah bersarapan kami ke hostel untuk menyimpan beg, dan apa yang paling penting adalah untuk berehat walaupun sekejap. Kami memulakan perjalanan selepas solat zuhur. Di Cappadocia tidak susah untuk mencari masjid, di sana terdapat dua buah masjid. Kami bersolat di masjid besar. Selepas kami selesai solat, kami di sapa oleh seorang lelaki tua, dia boleh berbahasa Inggeris, katanya "Can I help you? I can help you..." Dia membawa seorang lagi kawannya yang merupakan bekas ketua Bandar Nevsehir. 

Kami dijemput untuk minum teh, kami bertukar-tukar cerita. Banyak juga cerita mengenai sejarah negara Turki yang kami dapat daripada mereka. Masa kami yang singkat di Cappadocia, menyebabkan kami tidak dapat nak berbual panjang dengan mereka. Kami bergerak ke Open Museum.

   Kami tiba di Open Musem untuk melihat lebih dekat lagi rumah-rumah dan gereja-gereja yang diukir daripada batu. Cuaca cerah kemudiannya betukar mendung yang akhirnya membawa kepada hujan yang sangat lebat dan pergerakkan kami amat terbatas. Keutusan di ambil untuk bergerak ke sebuah Gereja di luar Open Museum. Kami berlari di dalam hujan dan akhirnya tiba di gereja tersebut. Di dalam gereja tersebut aku dapat lihat lukisan Jesus (Nabi Isa a.s) yang wajahnya dipadam setelah kedatangan Islam sebagai tanda hormat kepada Nabi Isa.

   Kami berbual-bual dengan penjaga Gereja tersebut sambil menunggu hujan reda kami turut dihidangkan dengan teh panas, sangatlah sesuai ketika dalam kesejukkan hujan. Sempat juga pengawal gereja bercerita kepada kami mengenai kisah bagaimana gereja tersebut dibina, katanya gereja tersebut dibina dangan mememahat batu-batu, sangat menakjubkan. Hujan masih lagi lebat, dan tempat penginapan kami agak jauh, akhirnya semua mengambil keputusan untuk menaiki teksi. Setelah tiba di tempat penginapan aku yang kesejukkan terus tertidur.

Malam di Cappadocia



   Malam pun telah tiba, cuaca pada malam itu sejuk dan tidaklah hujan. Kami bersolat di masjid berdekatan, selepas solat aku dan rakan-rakan memulakan perjalanan untuk mengisi perut, sedihnya hampir kesemua kedai menjual makanan turut menjual arak, kalau boleh kami nak cari kedai yang tidak menjual arak. Ke hulu hilir kami berjalan namun menemui jalan buntu. Kami bergerak ke masjid untuk solat Isyak dan dengan harapan ada jemaah yang boleh berbahasa Inggeris dan tahu di mana restoran yang menjual makanan dan tidak menjual arak.

   Selepas selesai solat kami mencari-cari jemaah yang tahu berbahasa Inggeris, tapi tak juga jumpa. Aku dan rakan keluar dari masjid dan menunggu orang yang terakhir yang akan keluar dari masjid tersebut. Setelah selang beberapa minit, imam masjid keluar dan dia orang terakhir, bila ditanya dia tidak tahu berbahasa inggeris. Kamu cuba memberitahu " Food, no alcohol," Alhamdulillah dia dapat menangkap apa yang kami cuba sampaikan. Dia memanggil pekerja restoran tersebut untuk menjemput kami. Kami menuju ke restoran tersebut dengan rasa senang hati. Setelah beberapa minit berjalan, tibalah kami di Royal Cappi Restaurant, kedudukannya agak jauh sedikit namun harga yang ditawarkan berpatutan.


Bersama pemilik kedai Restoran Cappi

   Selepas menikmati juadah makan malam, kami pulang untuk tidur dan esok kami akan bergerak ke Konya iaitu sebuah bandar yang terkenal dengan seorang tokoh sufi iaitu Maulana Jalalluddin ar-Rumi.

Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Cappadocia

Bercuti di Turki (Pelayaran Ukhwah Ke Konya) Part 5

Bermulanya Perjalanan ke Konya


   Pagi ini cuaca mendung di Goreme, kami bersiap-siap menuju ke stesen bas. Jam 8.10 Pagi bas tiba dan bergerak menuju ke stesen bas Nevsehir, kami kemudiannya bertukar bas dan bergerak ke Konya. Sepanjang perjalanan aku dapat saksikan ladang gandum yang luas dan apa yang menggembirakan aku ialah cuaca yang sangat baik tidak hujan dan aku berharap cuaca seperti ini apabila berada di Konya dan juga bandar-bandar lain nanti. Aku pun terlelap kerana keletihan.

Jalan raya ke Konya 
Jejak Bumi Konya


   Jam menunjukkan pukul 11.30 pagi, dari dalam bas aku dapat melihat keadaan sekeliling yang lapang dan ada kelompok bangunan-bangunan, masjid-masjid yang kubahnya berkilau-kilau serta rumah-rumah yang sangat cantik, hati aku berbisik " dah sampai di Konya". Bas yang kami naiki mula memasuki bandar Konya dan bandar ini sangat cantik, bunga ros pelbagai warna kelihatan di merata-rata tempat. Hari ini hari Jumaat, 11 Jun 2010, kami merancang untuk bersolat Jumaat di Konya, ketika bas berhenti di stesen bas aku dapat mendengar bacaan al-quran dari sebuah masjid berdekatan dan kubahnya berkilau-kilau, sangat cantik.


Mevlana şekeri

    Alhamdulillah aku dan rakan-rakan selamat tiba di stesen bas dan sebaik saja kami turun dari bas, kami di sambut oleh Brother Hassan dan rakanya, mereka merupakan penggerak madrasah di Konya. Semasa aku sedang berjalan ke van, aku dapat lihat banyak kuih yang bewarna putih di dalam paket-paket kecil dijual di sini, ianya dikenali sebagai, Mevlana Sheker yang bermaksud Gula Maulana. Kami menaiki van ke Madrasah yang terletak agak jauh dari stesen bas.

   Selepas beberapa minit kami pun tiba di Madrasah tersebut, dan kami disambut oleh beberapa penuntut di madrasah tersebut di dalam tingkat bawah madrasah tersebut kelihatan seperti sebuah pejabat, kami masuk menyimpan barang di sebuah bilik di sebelah kiri dari pintu masuk, kemudiannya kami ke ruangan sebelah kanan disitu terdapat meja komputer dan sebuah meja panjang enam* kerusi dan di situ seorang lelaki berusia lewat 50 tahun sedang duduk dan menulis sesuatu dalam tulisan arab di atas sehelai kertas kuning, wajah mukanya agak serius. Sebaik sahaja diperkenalkan dengan beliau, wajahnya terus betukar manis, membuatkan aku rasa gembira melihat wajah lelaki tua itu beliau ialah Kamal Bardandi. 

Kamal sedang menyalin kitab Risalah an-Nur dengan tekun.

Tulisan Ottoman, seperti tulisan Jawi yang kini dilupakan. Ianya penting sebagai simbol kesatuan Umat Islam

     Kami diberitahu oleh Brother Hassan bahawa dia sedang menyalin kitab risalah an-nur yang dikarang dalam bahasa Turki dalam tulisan Ottoman (seperti tulisan jawi). Brother Hassan berhasrat untuk membawa kami bersolat Jumaat di Masjid Sultan Selim* tetapi kami agak lewat dan kawasan masjid telah penuh, kami solat di masjid berdekatan sahaja dan solat jumaat disini sangat pendek, tidak sampai 20 minit kami selesai mendengar khutbah dan solat Jumaat.


   Kami pulang untuk makan tengah hari, makanan yang dihidangakan ialah roti yang merupakan makanan asasi orang Turki, sejenis lauk * mengandungi bawang yang ditumis dimasak bersama tomato dan telur, madu, keju, buah Zaitun dan juga sup.

 Hidangan makan tengah hari kami, sungguh menyelerakan.

   Sungguh menyelerakan walaupun aku mula merindui nasi. Selepas makan kami dihidangkan dengan buah tembikai, yang sangat jarang aku lihat di Nottingham, dan tembikai di sini saiznya besar-besar, malah lebih besar dari saiz bola keranjang. Dalam cuaca panas berangin memang enak kalau dapat menikmati keenakan buah tembikai. Sudah menjadi adat orang Turki, tanpa teh memang tidak sah. Kami dihidangkan dengan teh, dari Istanbul sehinggalah ke Konya belum pernah ada orang Turki menghidangkan minuman selain teh. Sambil menikmati teh kami berkenal-kenalan di antara satu sama lain, kali ini Brother Hassan menjadi perantara.

Menjejak Sejarah

   Perut kenyang hati pun suka, Brother Hassan memaklumkan kepada kami yang selepas ini kami akan melawat Masjid Sultan Selim*, Muzium Mulana, dan ladang Ceri jika sempat. Kami bersiap-siap dan kami ditemani oleh Kamal Bardandi seorang bekas tentera berpangkat sarjan dan beliau sangat arif mengenai selok belok sejarah di Konya, dia tidak boleh berbahasa Inggeris dan Brother Hassan akan menjadi penterjemah kami semasa melawat ke tempat-tempat yang akan kami lawati nanti.


Makam Maulana Jalalluddin ar-Rumi yang terletak betul-betul di bawah kubah hijau.

   Kami tiba di Masjid Sultan Selim* dan kemudiannya kami bergerak ke Muzium Maulana yang tidak jauh dari masjid tersebut. Hari ini sangat panas dan kering, kelihatan orang tidak putus-putus mengunjungi Muzium Maulana dan disitu juga menempatkan makam tokoh sufi terkenal iaitu Maulana Jalalludin ar-Rumi. Kami diterangkan oleh Kamal Bardandi dengan terperinci, hampir setiap tempat dan barang-barang pameran di dalam muzium tersebut diceritakan kepada kami sejarah serta keunikkanya. 

 Menara Hijau dan dibawahnya terletak makam Maulana.


  
    Setelah melawat Muzium Maulana kami melawat ke sebuah memorial perang dunia pertama dan di situ kami diterangkan mengenai kehidupan orang Turki semasa perang san selepas perang, masuk adalah percuma. Selepas itu kami ke Masjid Sultan Selim untuk menunaikan solat asar. Kami tidak sempat untuk melawat ladang ceri pada hari itu kerana hari sudah pun lewat petang. Kami pun pulang ke Madrasah.

Banguan bewarna hijau, madrasah tempat kami menginap.


Taaruf Konya

    Pada malamnya kami bersolat jemaat di madrasah tempat kami menginap, dan pada malam itu Brother Hassan akan mengajar kitab terkenal karangan Badiul Zaman Syed Nursi. Lebih kurang 40 orang yang hadir pada malam itu, dan ada diantara mereka orang-orang profesional. Aku dan rakan-rakan sempat berkenalan dengan mereka. Mereka banyak bertanya kepada kami beberapa soalan mengenai Islam di UK dan Islam di Malaysia. Banyak juga mereka tidak tahu tentang Malaysia. Selepas mendengar ceramah kami dijemput untuk makan malam bersama beberapa pelajar madrasah tersebut.


 Sahabat dari Konya

Manisan seperti kapas yang diberikan saudara Said

    Selepas makan kami berbual-bual dengan mereka dan mereka tidak fasih berbahasa Inggeris. Aku dan rakan-rakan menggunakan buku bahasa Turki yang aku beli sebelum aku ke sini.Ada masa kami terdiam, kerana tak faham apa yang dikatakan, ibarat itik cakap dengan ayam, kami berbahasa Inggeris mereka berbahasa Turki.Walaupun berlainan bangsa dan bahasa serta sukar untuk berkomunikasi, aku dapat rasakan bahawa sesuatu yang mengikat kami dengan erat, iaitu Islam dan walaupun sukar untuk berkomunikasi kami berbual panjang dengan masing-masing cuba memahami apa yang dituturkan antara satu sama lain. Aku mula rasa mengantuk dan hari ini merupakan hari yang paling letih mungkin kerana cuaca yang sangat panas. Malam itu aku tidur dengan nyenak sekali.

Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Nottingham

Bercuti di Turki (Selamat Tinggal Konya) Part 6

Hati Terpaut 

   Tidak seperti yang dirancang, kami sepatutnya sudah berada di Denizli, kami dipujuk oleh Brother Hassan untuk tinggal lebih sehari di Konya.Hati aku juga berat untuk meninggalkan Konya, kerana layanan istimewa yang diberikan kepada kami. Pagi itu aku bangun dan menunaikan solat subuh di Madrasah, Aku sangat letih dan aku rasa seperti nak demam Kemudian sambung balik tidur dengan harapan dapat rehat yang cukup untuk meneruskan perjalanan kami. Brother Hassan memaklumkan kepada kami bahawa kami akan dibawa ke Kebun Ceri dan melawat sekitar Konya.


Mercimek Corbasi,(Lentil Soup) yang dimakan dengan roti


  Roti, dalam bahasa Turki dipanggil "Ekmek"

Keju di Konya sangat sedap, tidak terlalu masam dan masin.

Menemen, Telur yang dimasak bersama tomato dicicah dengan Ekmek.

     Jam menunjukkan 8.00 pagi, aku bangun dan bersiap-siap dan selepas itu kami dibawa ke ruangan makan untuk bersarapan. Aku dan rakan duduk bersila, sambil makan kami didendangkan dengan lagu Perang Empayar Uthamniyyah. Semasa makan kami sempat belajar beberapa nama makanan dalam bahasa Turki seperti Roti (Ekmek), Madu (Bald), Gula (Shekker) dan banyak lagi. Selepas makan kami ke ruangan tingkat bawah sambil berkenalan dengan rakan-rakan yang berkunjung ke Mardrasah tersebut.

Melawat ke Kebun Ceri

   Setelah lama menunggu, akhirnya seorang rakan kami menjemput kami untuk ke Kebun Ceri, yang mustahil untuk kita lawati di Malaysia. Ladang tersebut terletak tidak beberapa jauh dari tempat kami menginap. Selepas melalui kawasan perumahan mewah, tibalah kami di ladang ceri. 

 Buah ceri yang tumbuh subur di bumi Konya.

 
Bersama-sama dengan pemilik kebun Ceri

     Aku berasa kagum kerana dapat melihat buah ceri yang lebat dan bergantuungan di atas pokok dengan warna merah kehitaman. Di ladang tersebut terdapat dua jenis buah ceri, masam dan manis, buah ceri yang warnanya sedikit hitam, itulah yang paling manis. Selain itu terdapat pokok-pokok lain yang ditanam sebagai sumber keewangan madrasah tersebut*.

   Selepas itu kami ke sebuah tempat perkelahan di atas bukit untuk menikmati hidangan teh Turki, semasa disana masuk waktu zuhur dan aku dapat mendengan azan berkumandang bersahut-sahutan amat mengasyikkan. 


    Setelah menikmati teh ,kami kemudiannya ke bandar untuk membeli tiket dan sempat juga kami melawat Masjid Alaeddin Keykubad yang terletak di atas bukit buatan manusia, semasa lawatan kami, masjid tersebut telah pun siap dibaik pulih.


Masjid Alaeddin Keykubad yang dibina di atas bukit buatan manusia.


   Kami pulang ke  Madrasah dan mengambil barang kami untuk ke sebuah madrasah lain yang berdekatan dengan stesen bas. Selepas beberapa minit perjalanan, kami tiba di Madrasah tersebut yang bangunannya berwarna merah menyala. Dari tingkap madrasah tersebut kelihatan wajah mereka yang menetap disitu sambil mereka mengucapkan selamat datang kepada kami. Kami di bawa ke sebuah tempat terbuka yang terletak ditingkat paling atas, dari situ aku dapat saksikan bukit-bukit dan disekelilingnya masih lagi lapang. Di situ Kami berkenalan dengan beberapa penuntut di Mardrasah tersebut, masalah bahasa bukan penghalang bagi kami untuk berkomunikasi dan mengeratkan hubungan persaudaraan.

 Berkenalan dengan pelajar madrasah, inilah kali pertama dan mungkin kali terakhir untuk bertemu.


Selamat Tinggal Konya


   Malam itu sungguh meriah, dengan kehadiran penuntut yang ramai ada diantara mereka doktor dan ada diantara mereka yang berusia 10 tahun. Seperti di madrasah yang kami menginap sebelum ini, selepas maghrib akan diadakan kuliah. Setelah selesai kuliah aku dan rakan-rakan berkenal-kenalan dengan mereka yang hadir. Masa tidak menizinkan untuk kami tinggal lama di Konya, kami perlu bergerak ke Denizli pada malam ini juga. Aku dan rakan-rakan dihantar oleh sahabat kami ke stesen bas. Perasaan aku bercampur aduk, ada gembira ada sedih, entah bila lagi aku akan bertemu dengan sahabat-sahabat aku di sini. Bas mula bergerak pada jam 10.30 malam, dari tingkap aku dapat melihat lambaian mesra mereka, aku berharap dapat bertemu dengan mereka lagi.  Perjalanan dari Konya ke Denizli mengambil masa 6 jam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...