Rabu, 24 November 2010

Dinar&Dirham (Survey)

 Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Mohon jasa baik pembaca untuk menjawab soalan survey berkenaan Dinar&Dirham. Saya memerlukan maklumat dari anda untuk projek saya. Jumlah soalan ialah 11 soalan dan mengambil masa kurang dari 1 minit untuk menjawab semua soalan. Terima kasih atas kerjasama yang anda berikan.








Muhammad Saffuan Bin Jaffar

Ahad, 21 November 2010








Muhammad Saffuan Bin Jaffar

Jumaat, 12 November 2010

Selamat Tinggal Polaris

 Di sini aku dapat melihat sinaranmu
Di khatulistiwa aku hanya melihat lambaianmu
Di sini kita bersua muka dalam kegelapan malam
Betanyakan Biduk aku tahu engkau di mana
Namun langit malam tak selalunya cerah
Mendung dan hujan bukan pemisah
Namun memori semalam memberi kepuasan
Dapat kita bersua muka bertentang mata
Aku bersamamu dalam dingin musim luruh
Memeluk tubuh memanaskan badan
Bila lagi kita akan bertemu?

Pohon yang dahulunya hijau merimbun
Dengan lambaian mesra menggamit diriku
Kini yang tinggal hanyalah ranting-ranting keras
Memaksa aku lekas pergi
Daun yang luruh menghiasi jalanperpisahan
Ribut memukul hati untung lekas pulang
Bisik rindu makin hari, makin jelas
Dalam kesejukkan kabus musim luruh
Aku akan menghilang di tengah-tengah kesibukan kota
Pulang bersua ubat kerinduan
Membuang benci dalam hati
Menebus kembali kegagalan diri
Bila lagi kita akan bertemu?
Selamat Tinggal Polaris



Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Malam ribut-ribut
5 Dzulhijjah 1431Hijrah
12 November 2010
Nottingham

Ahad, 7 November 2010

Burung

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Burung-burung & juga itik mencari rezeki

   Aku sering melihat burung, mendengar kicauan mereka di pagi hari dan juga di waktu senja, melihat mereka terbang ke sana ke mari mencari rezeki untuk meneruskan hidup, namun aku tidak pernah terfikir apa yang menyebabkan mereka terus dan terus terbang  mencari rezeki untuk secebis kehidupan? Apakah yang ada di dalam diri si makhluk berbulu ini? Mereka tidak pernah merungut, kecewa atau berasa hampa jika tidak mendapat sedikit pengalas perut, malah mereka terbang lagi untuk mencari kehidupan di dunia yang penuh kesukaran. Belum pernah aku melihat burung yang berdiri di tengah-tengah jalan atau terjun dari bangunan seperti yang dilakukan oleh sebilangan manusia yang memilih jalan "mati" sebagai satu penyelesaian yang muktamad.

Wahai si kecil, aku kagum dengan kau, walaupun kecil engkau berjiwa besar.

  Mereka terbang jauh berbatu-batu, meredah lautanDi dalam hati kecil mereka Allah s.w.t telah letakkan satu nilai yang perlu aku teladani iaitu, tidak mudah berputus asa, tidak pernah kecewa, tidak pernah merungut, tidak pernah menyalahkan nasib. Ya walaupun mereka itu haiwan, apa salahnya untuk aku menilai diri aku sebagai manusia yang berakal namun tidak memiliki sifat yang ada pada si kecil itu. Wahai diriku ini, berfikirlah kerana Allah tidak menjadikan segala-galanya dengan sia-sia.







Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Nottingham
Malam yang berasap-asap mulut.
30 Dzulka'edah 1431H

Selasa, 2 November 2010

Mencari Semangat Yang Hilang

 Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Pada kali ini aku ingin berkongsi sesuatu dengan rakan-rakan, sesuatu yang ingin aku luahkan dan sesuatu yang penting bagi diri aku. "Gagal" bukanlah sesuatu yang kita mahu dalam kehidupan tetapi ianya menjadi asam garam yang dapat mematangkan kita. Aku tulis cerita hidup aku bukanlah niat untuk menunjuk-nunjuk tetapi dalam situasi seseorang yang gagal memerlukan luahan yang kena pada tempat, mudah-mudahan ianya menjadi ubat

    Dari dahulu lagi banyak kali aku gagal, dulu di tingkatan 1 aku berada di kelas yang kedua tetapi aku gagal mempertahankan kedudukan aku naik tingkatan 2 jatuh ke kelas yang ke-4. Namun aku bayar kegagalan itu dengan usaha gigih akhirnya aku top 100 kat sekolah, alhamdulillah aku masuk tingkatan 3 di kelas yang kedua. PMR juga telah memberi aku satu ukuran yang sangat penting bagi aku, orang menidakkan kemampuan aku, bukan itu sahaja aku diperbodohkan, aku berusaha kuat untuk PMR dan akhirnya berhasil aku dapat 7A 1B (B subjek bahasa Inggeris), aku bertekad dari hari itu untuk dapatkan A1 untuk subjek bahasa Inggeris di SPM nanti.

    Bila masuk menengah rendah, suasana amatlah berbeza, apatah lagi bila aku masuk ke asrama MRSM Balik Pulau, aku berasa sangat tertekan. Add Math aku selalu gagal, aku tak pernah dapat markah 20 keatas, yang lagi tertekan nama aku seolah-olah disenarai hitam, asyik-asyik aku kena "mark" dengan cikgu dalam kelas, aku merasakan diri aku ini sangat bodoh, tak banyak kawan-kawan yang sanggup menolong aku kerana kelembapan aku berfikir. Kata-kata meruntuhkan semangat selalu ada dalam fikiran, tetapi keaadan aku seperti itu aku tidak mampu untuk mengubahnya menjadi suatu kata-kata yang Positif. SPM aku hanya dapat 5A (dan aku berjaya dapat A1 dalam bahasa Inggeris) lain-lain subjek Hancur sehinggakan aku tidak mampu memohon kursus yang aku minat di Universiti kerana Merit aku sangat rendah. Aku dapat bahasa Inggeris A1 bukannya suatu yang mudah, mula-mula exam pun aku gagal (E) tetapi kata-kata semangat oleh seoarng cikgu yang memuji karangan aku sangat menarik, membuatkan aku begitu bersemangat untuk buat yang terbaik.

   Selepas SPM aku ke Program Latihan Khidmat Negara yang pada mulanya bagi aku sesuatu yang buang masa. Jiwa aku memberontak, di Kem PLKN aku pertama kali diherdik dengan kata-kata yang amat menyakitkan hati, malah ianya membuatkan aku bertambah benci kepada PLKN, namun kata-kata seorang guru "Pembinaan Karakter" telah mengubah segala-galanya. " Anda berada di sini untuk menimba ilmu, jika kamu tak berikan 100% KOMITMEN kepada Program ini, kamu akan pulang sebagai seorang yang biasa, tiada apa-apa yang kamu dapat di sini" Saat itu aku mengubah pendirian aku, walaupun aku diherdik aku menjadikannya kata-kata yang positif. Akhirnya aku berjaya menamatkan program latihan khidmat negara dengan baik. Di PLKN aku diberi kepercayaan oleh rakan-rakan untuk mempertahankan Bendera Kumpulan, aku rasa amat dihargai dan aku memberikan komitmen yang terbaik dengan sokongan serta pandangan dari rakan-rakan.

   Selepas tamat PLKN aku belajar memandu dan berjaya dapat lesen, seronoknya tapi aku lagi diduga, aku menghidapi satu penyakit yang agak serius sehingga aku dimasukkan ke hospital, tapi dengan sokongan dari keluarga yang menziarahi aku sewaktu aku sakit, aku menjadi orang yang sangat kuat, termasuk keluarga jiran       di katil sebelah banyak menolong aku sewaktu di wad, moga Allah merahmati mereka semua. Selepas beberapa minggu berat aku turun mendadak dari 70 kilogram ke 53 kilogram seterunya memberi perubahan fizikal kepada aku, tapi semangat di PLKN masih lagi aku bawa. Walaupun aku tidak mendapat tawaran ke Universiti aku tidak bersedih sehinggakan suatu hari aku mendapat tawaran ke Matrikulasi, di sanalah aku banyak belajar dengan bekalan ilmu yang aku pelajari di PLKN aku jadikan senjata untuk medan perjuangan.

   Ternyata kejayaan bukanlah semudah yang dijangka, sebanyak manapun usaha, jika Allah ingin menguji hambaNya dia akan lakukan, kerana ada kebaikan yang pada waktu itu aku tidak nampak. Aku gagal dalam ujian semester pertama gagal yang sangat teruk, aku masih mencari kekuatan, kata-kata dari ibu dan juga dorongan dari rakan-rakan aku memulakan pelayaran baru. Layar yang carik aku gantikan yang baru, bahkan aku belayar dengan bahtera yang lebih besar untuk ke destinasi kejayaan. Namun dalam pelayaran itu ada saja masalah, namun semua itu memberi makna kepada aku, iaitu walau susah sekali pun aku mesti sampai ke destinasi. Alhamdulillah aku berjaya ke tahun kedua, dan dari itu aku sudah mengetahui selok belok dalam pelayaran yang penuh cabaran. Kesusahan banyak mendidik aku menjadi seorang yang sangat berusaha keras, serta kemahiran yang aku ada aku kongsikan dengan rakan yang lain dengan harapan agar mereka tidak seperti aku yang bodoh dan dipinggirkan.


   Tahun kedua aku di Matrikulasi aku banyak melakarkan kejayaan, satu satu memberi aku kekuatan dan semangat tambahan pula dengan kepercayaan yang diberikan oleh ibu aku sendiri, pensyarah, dan juga rakan-rakan. Waktu itu aku mempunyai satu perasaan yang sangat kuat, aku memerlukan jiwa yang memberontak supaya aku memaksa diri aku untuk melakukan yang terbaik, namun memberontak bukan dengan cara yang tidak sihat. Waktu itu aku lahir dengan idea yang imaginasi tetapi aku jadikan sesuatu yang realiti, kerana aku waktu itu seorang yang sangat berani bersuara serta aku seorang yang berani bertindak, tidak seperti sekarang semuanya telah hilang. Boleh aku katakan tahun 2009 merupakan tahun yang paling menyenangkan aku.

   Tapi sekarang aku sekali lagi dilanda musibah, aku gagal lagi. Ianya membuatkan aku patah semangat, aku lupa kejayaan aku di PLKN aku lupa yang aku dahulu pernah mengharumkan nama Maktab aku lupa yang aku pernah menawan puncak Gunung Kinabalu, aku lupa yang aku pernah menyumbangkan pingat emas kepada Rumah Blok aku, aku lupa kesemuanya sehingga aku membenci diri aku, aku sangat-sangat membenci diri aku. Namun apakah kejayaan yang selama ini aku dapat sesuatu yang aku rancang? Semuanya aku tidak rancang Tetapi ianya lahir dengan kata-kata dan imaginasi aku, tetapi aku tidak bertindak untuk merealisasikannya. Kejayaan yang aku capai pada awalnya adalah imaginasi tetapi aku percaya pada diri aku. Aku memenangi pertandingan Fotografi tempat pertama dan ketiga di Matrikulasi dahulu walaupun aku hanya menggunakan kamera biasa bukannya SLR? Kepercayaan aku sangat kuat serta aku berusaha untuk mendapatkan yang terbaik dengan hanya menggunakan apa yang ada pada diri aku. Kekurangan aku jadikan satu kelebihan.

  Jadi perlukah aku berpatah semangat sebagaimana sebentar tadi? Hanya kerana aku seorang yang gagal? Apa yang penting aku perlu percaya kepada diri aku sebagaimana ibu aku mempercayai aku. Bukannya aku tidak pernah gagal sebelum ini, bukannya aku tidak pernah dihina sebelum ini, semuanya pernah aku lalui dan sekali lagi aku melaluinya. Tetapi kenapa kali ini aku lemah semangat? Di mana ilmu-ilmu aku aku timba di PLKN dahulu? Ya, dahulu ada seroang kanak-kanak yang menulis pekara yang ingin dia capai, sekarang ini hampir kesemuanya tercapai walaupun nyawanya hampir terkorban, ya...Imaginasi serta dorongan yang begitu kuat membawanya kepada kejayaan. Aku sepatunya bersikap seperti itu, wahai Saffuan bangunlah dari
kegagalan bangunlah bangunlah, Engkau pernah baca buku tulisan Syed Abdullah Qarni "La Tahzan" berapa banyak imam-imam yang menghasilkan kitab-kitab sewaktu mereka dalam kesusahan? Ingat kembali, pulihkanlah ingatanmu. Lupakah engkau kepada kejayaan Sultan Fateh yang membuka Islambul, yang engkau sendiri melihat kota itu di depan matamu? Engkau lagi beruntung dari Ibnu Battuta kerana engkau berjaya masuk kedalam kota itu tidak sepertinya. Bangunlah wahai jiwa yang lemah, kuatkanlah semangat, engkau bukanya gagal, engkau bukanya lemah. Bacalah selalu penulisan ini supaya engkau tidak lupa, jatuh sekali bukan jatuh selama-lamanya, tawanlah kota kejayaan. Dahulu engkau pernah melakar kejayaan yang mungkin kecil bagi orang lain tetapi sangat besar, jangan lupa semua itu dan jangan lupa juga kenapa engkau gagal, fikirkanlah jalan kebaikan untuk bangun dari kegagalan, kesat air matamu bangun dan teruskan pelayanmu.





Dari Hati Saffuan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...