Memaparkan catatan dengan label puisi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label puisi. Papar semua catatan

Rabu, 17 Ogos 2011

Pentas Malam


Bulan menerangi Pentas Malam,
cahaya bintang kerdil tenggelam,
Musytari muncul dalam diam,
Bintang Tujuh tak duduk diam,
dari ufuk timur dia datang,
sang cengkerik terus berdendang,
melagukan irama Pentas Malam.

Belantik datang bertali pinggang,
menyusul planet Marikh di belakang,
dia yang merah,
 yang paling terang,
Sirius datang saat pagi menjelang,
kini di langit,
dialah yang paling terang.
Malam pergi pagi menjelma,
terbit mentari terang bederang.
Tamatlah sudah Pentas Malam,
kini bermula wayang siang.


 Muhammad Saffuan Bin Jaffar

Bicara bulan tanpa suara

Bicara bulan tanpa suara,
tetapi ia menyapa,
sungguh indah berkata-kata,
mengingatkan manusia yang sering alpa.

Bicara bulan tanpa suara,
kurniaan tuhan buat manusia,
petandaNya yang Maha Berkuasa,
mengingatkan manusia yang masih leka.


Bulan bicara tanpa suara,
dingin malam membuai aku terus leka,
sedangkan ia petah bercerita,
memuji-muji penciptaNya.


Bulan bicara tanpa suara,
melimpahkan cahaya rahmat pada hamba setia,
tidak pernah ingkar pada arahanNya,
berbakti kepada kita sentiasa.

Wahai Tuhan,
Engkau pencipta segala-galanya,
namun aku masih leka,
sedangkan bulan mengingatkan aku tentang usia.
Dunia ini hanya sementara.




Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Malam Nuzul Quran Lepas Hujan
17 Ramadhan 1432H

Selasa, 16 Ogos 2011

Mendung Subuh

Mendung Subuh,
cahaya bulan tak kesampaian,
alunan tahrim menggemakan,
"Ya Allah Tuhan Yang Maha Mengasihi-"
Segenap ruang terasa aman.



 Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Subuh 16 Ramadhan 1432H

Rabu, 10 Ogos 2011

Bicara Hati

Puas sudah aku mencari,
pencarian tiada henti,
hingga jemu menyapa diri,
timbul di hati rasa benci,
benci pada diri sendiri.

Resah gelisah tak pernah hilang,
hari demi hari membilang,
hingga terasa beban di kepala,
menggelegak gelora
di hati tiada senang,
entah bila semua ini akan hilang.

Tak dapat diungkap dengan kata,
terpapar di wajah tenang dan ceria,
semua itu perasaan dusta,
namun di jiwa penuh gelora,
di wajahku bermain sandiwara.

Senyum aku senyum paslu,
tidak menzahirkan apa yang terbuku,
hati selalu sedih dan pilu,
bila terkenang sedih selalu,
entah bila akan terubat pilu di kalbu?

Hati berkata :
Bicara pada penciptamu,
Dia akan dengar selalu,
"Ya Allah aku mohon padaMu,
tenangkan hati dan jiwaku,
bimbinglah aku ke jalanMu,
ampun segala dosa-dosaku"

Saki baki usia,
diisi penuh sia-sia
adakah aku makin jauh dari Dia?
Maut menunggu dihujung usia,
saat kematian entah bila.
Hati berkata lagi :
"Sudahkah engkau bersedia?"

Naluri kebaikan
sering beri panduan,
namun nafsu tidak hiraukan,
dalam hidup hilang pedoman,
umpama orang yang kurang siuman.

Terbayang sejenak di fikiran,
Andai sedetik lagi datang kematian,
kelam kabut aku dibuatnya,
hidup di dunia mencari bekalan,
namun semua aku tinggalkan.
Hati bersuara:
"Jangan menyesal di hari kemudian!"

Engkau belum terlambat,
selagi maut belum bertandang
selagi nyawa di badan,
teruskan teruskan pencarian,
mencari redha Tuhan,
yang tiada berkesudahan.

Kelak tiada guna harta,
ke dalam kubur gelap gelita,
amalan dibawa menjadi pelita,
menerangi dunia gelap gelita,
bicara pada tuhanmu sentiasa,
agar diri tidak binasa.

Aku makin kusut


 Muhammad Saffuan Bin Jaffar

Selasa, 9 Ogos 2011

Pertemuan


  "Kini aku melihat jelas wajahmu,
yang sebelum ini menjadi garis-garis rindu,
kini kau dan aku sudah terjalin dekat.
Permaidani laut biru terhampar
seolah-olah menyambut gembira kedatanganku,
walaupun terpisah dengan lautan
namun lautan itu menjadi tali persahabatan"


Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Madrasah Istanbul 8 Jun 2010
-Sungai Nibong 9/8/2011-

Bulan

Pada malam yang kelam dan sepi,
di sebalik dedauan, aku mengintaimu,
Sang Bulan melimpahkan cahaya kasih,
segenap ruang seakan-akan terang.
Sejuk cahaya bulan terasa syahdu
mengusik hati yang sedang pilu,
kini aku kembali terhibur.






Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Teratak Kecil
Sungai Nibong, malam 10 Ramadhan 1432H

Hijau

Hijau
warna rampai biru kuning
dalam erti damai hening,
tidak pernah rasa terasing.

Hijau
hadirmu umpama puisi indah
pada dahan kering yang gundah,
lalu hilang segala resah.

Hijau
andai tiada biru kuning,
dalam haluan aku berpaling,
mencari hijau yang kini asing.

Hijau
engkau gugur dalam kekuningan,
umpama gelora hidup yang tiada kesudahan,
akhirnya tinggal dahan sepi keseorangan.





Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Sungai Nibong

Ahad, 7 Ogos 2011

Rumah kecilku

Rumah kecilku
tempat aku melakar
suka duka kehidupan
terpalit kenangan
diingatan tidak pernah lupa

Rumah kecilku
panas hujan aku berteduh
menumpang kasih ayah ibu
menjamah sesuap rezeki

Rumah kecilku
engkau penghibur duka
terasa senang sentiasa
tempat berkumpul saudara mara

Rumah kecilku
engkau bakal pergi
berat terasa di hati
namun ini ketentuan ilahi
aku melangkah pergi

Rumah kecilku
engkau banyak berjasa
engkau tempat aku mengubat rindu
namun kini tinggal kenangan
rumah keciku tidak selamanya di sini
ingatanku kepadamu akan kekal abadi




 Muhammad Saffuan Bin Jaffar

Sabtu, 6 Ogos 2011

Malam Ramadhan


Ramadhan datang membawa berkat
kita hamba  memerah keringat
kuat semangat menambah ibadat
untuk bekalan dunia dan akhirat

Ramadhan bulan yang mulia
mendidik mendisiplinkan manusia
dari perbuatan yang sia-sia
mudahan mendapat rahmat dariNya






 Muhammad Saffuan Bin Jaffar

Sabtu, 30 Julai 2011

Ramadhan tiba lagi

Ramadhan tiba lagi
Sya'ban mengundur diri
bulan yang paling disukai
Para rasul dan nabi-nabi

Ramadhan tiba lagi
laitul qadar dicari-cari
mencari keberkatan ilahi
buat bekal kemudian hari

Ramadhan tiba lagi
kau pasti akan pergi
pasti akan ternanti-nanti
bila kau akan kembali




 Muhammad Saffuan Bin Jaffar

Khamis, 28 Julai 2011

Luka Derita

Resah dan gelisah,
gelora di hati kian parah,
nampak tidak berdarah,
tapi ia mengundang padah.

Penghujung Sya'ban 2011




uhammad Saffuan Bin Jaffar

Malam dibalut suram

Malam dibalut suram,
sepi mula berbisik,
teringat kenangan lalu mengusik,
jiwa tak lagi tenteram,

Hati menjerit,
melahirkan rasa perit,
melepaskan diri tersepit,
agar aku terus bangkit,

Malam aku sentiasa sunyi,
keseorangan aku bersendiri,
terkenangkan kembali,
kisah duka aku sendiri.



 Muhammad Saffuan Bin Jaffar

Isnin, 18 Julai 2011

Kezaliman Akan Tenggelam

Akan tiba suatu masa, 
Keadilan akan muncul,
Kezaliman akan tenggelam,
menanti dengan penuh harapan,
Biarpun kelam membalut
namun tidak pernah kesunyian,
bertemankan bulan dan bintang,
malam tak selamanya kelam,
esok mentari pasti menjelma,
membawa sinar harapan baru.



Ayuh kita warga negara yang tercinta
labuhkan layar perjuangan mu
Lautan penuh gelora menanti mu
Andai kita karam jangan kau mengalah
Kita mati sebagai wira
Kerana keadilan yang kita bawa
Kerana perjuangan murni yang kita pikul
Bukan senjata yang kita angkat
Tetapi kita menjunjung martabat
Martabat perjuangan penuh keramat
Akan kita kumpulkan segala azimat
Di dada pejuang akan disemat


Harapan jauh ke hadapan
kita semakin melangkah 
meredah onar si peludah
membuat caci dan fitnah
semakin jauh melangkah
 luka berdarah semakin parah
kerana harapan ingin rebah 
di hujung jalan perjuangan
Tidak pernah ada kesenangan
 dalam erti perjuangan 








 Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Kenang Kembali Penjuangan Robohkan Kota Konstantine

Khamis, 14 Julai 2011

Malam

Malam hadirnya
membawa kelam
Datangnya tidak
membawa suram
terbit bulan
keseorangan
menambah rasa
ketenangan




 Muhammad Saffuan Bin Jaffar

Ahad, 30 Januari 2011

Jalanan Sejarah

Melalui jalanan sejarah
Aku dipersinggahan
menghirup segelas air pahit
kerana tiada manisnya gula

Sebuah perjalan yang jauh
Meniti setiap masa
menjenguk jendela-jendela lama
Pintu-pintunya ditutup rapat

Penduduk kota lama
Yang takutkan kegelapan
tetapi mereka itulah
yang rindukan kerdipan bintang

Ayuh penduduk kota
di jalanan sejarah
keluarlah kalian, keluarlah kalian
Nyalakan obor membara
Kita susuri jalan ini bersama

Ingat suatu ketika dahulu
Kita yang memakmurkan dunia
Kita yang menghancurkan kota-kota kemegahan
Di atas runtuhan itu kita bina kota ketaqwaan


Ayuh penduduk kota
di jalanan sejarah
bukakan pintu dan jendela
biarkan cahaya menerangi
segenap kegelapan penipuan







Muhammad Saffuan Bin Jaffar

Khamis, 20 Januari 2011

Aku Rindu Wahai Sahabat


Aku Rindu wahai sahabat
Puisi ini aku zahirkan
Seperti kuntum-kuntum 
Yang akan terbit menjadi bunga
Menghiasi Aya Sofia
Menghiasi taman-taman Masjid Biru

Aku rindu wahai sahabat
Secebis pertemuan lalu
Dari seurat benang halus
Menjadi sehampar kain indah
Penuh corak pelbagai warna

Aku rindu wahai sahabat
Senyuman manis kalian yang ikhlas
Membirukan warna Bosphorus
Meracuni teh hitam yang kelat
Menambah rasa kemanisan baklava

Aku rindu wahai sahabat
Kita ditambat dengan ukhwah
Sehinggakan kekuatan persaudaraan ini
Lebih kukuh dari benteng Konstantinopel

Aku rindu wahai sahabat
Andai matahari pergi meninggalkan siang
Adakah engkau akan muncul sebagai bulan?
Entah bila kita akan bertemu?
Di kota kegemilangan

Al-Ilham 










Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Pagi Sabtu Air Perlahan

Selasa, 18 Januari 2011

Bosan

Aku sepi
mengenangkan kisah lalu
di meja tulis
menyingkap kenangan

Di luar bulan purnama mengambang
malam makin sepi
aku sendirian
masih di meja tulis
di alam kenangan

Ditemani lampu meja
dan sebuah buku
aku cuba mengimbas
kenangan lalu
mencari kekuatan

Biarpun tak dapat aku menahan
Langkah harus aku teruskan
Bulan tak sentiasa penuh
Malam tak selalunya sunyi

Resah hati ini
memikirkan masa depan
yang belum pasti terjadi
kata akal yang waras
teruslah berjalan
tanpa melihat kebelakang
bersedia untuk ke terus ke hadapan
kerana esok munculnya suria







 Muhammad Saffuan Bin Jaffar

Ahad, 16 Januari 2011

Aku letih

Angau yang tak berkesudahan
Kadang kala menjadi racun
Usah aku mimpi lagi
Lalu aku tersedar
Entah berapa lama lamunan
Tak mungkin berkesudahan
Ingatlah wahai diri
Hanya ini jalanmu                  
                  






Muhammad Saffuan Bin Jaffar

Isnin, 10 Januari 2011

Sakit



Sakit...
Apakah engkau membawa duka?
Kedatangan engkau meresahkan aku
Ingat sesekali rasanya derita
Tak mungkin bahagia

Kesakitan membalut kemelut diri
Entah bila akan hilang?
Pergi pergi pergi
Aku hanya mampu bertahan
Lalu aku teringat
Allah sahaja yang menyembuhkan






Muhammad Saffuan Bin Jaffar

Khamis, 6 Januari 2011

Fatamorgana Persahabatan

Keikhlasan dalam persahabatan seperti air, namun, andai tiada keikhlasan ia seperti fatamorgana, igauan musafir haus.


Dalam terik panas,
fatamorgana persahabatan,
menjadi igauan ngeri
musafir yang kehausan.

Musafir terus melangkah-,
tercari-cari di mana
lembah ukhwah yang subur,
untuk menghirup nikmat keikhlasan,
dari setitis erti persahabatan.

Lalu ditemukan
lembah ukhwah yang subur.
Dihirupnya air  sepuas-puasnya
Sehingga hilang dahaga kerinduan

Musafir lalu pergi-,
melangkah jauh-,
namun, tidak dilupakan,
kedinginan air pengubat dahaga.





Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Sungai Nibong
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...