Sabtu, 22 Mei 2010

Duhai Anak


         
Duhai Anak

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada saudara Khairul Izham Musa dan pasangan kerana baru menyambut kelahiran cahaya mata yang pertama. Teringat akan kisah mak saya suatu ketika dahulu, kata mak saya lahir awal seminggu dari tarikh yang sebenar, mungkin saya tidak sabar untuk melihat dunia. Pada hari ini saya mendengar berita kelahiran, kemudianya mendapat email mengenai buang anak dan kebetulan al-Kuliyyah di TV3 pada minggu ini membincangkan tajuk berkisar mengenai "Anak Siapa?" Baru-baru ini Buletin Utama pada 18 Mei lalu melaporkan kes remaja perempuan berusia 15 tahun dan pasangannya berusia 19 tahun dituduh bersalah kerana menyembunyikan kelahiran bayi lelaki dengan cara mengebumikannya. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 12 mei lalu di tepi sungai Taman Melaka Baru, Batu Berendam.


       Sepanjang saya tinggal di bumi asing ini, belum lagi saya mendengar kes buang bayi. Kadang-kadang saya sangat sedih melihat keadaan bayi yang dibuang di dalam tong sampah, ditanam di tepi sungai, kadang-kadang yang cedera akibat digigit semut atau serangga dan ada yang dimakan anjing, dibakar, dilempar di tepi jalan. Ya Allah dimanakah sifat kemanusiaan? Kita sering samakan mereka yang melakukan pekara keji dengan sifat kebinatangan, sedangkan binatang mempunyai sifat kasih sayang yang lebih bahkan mereka sanggup melakukan apa saja untuk menyelamatkan zuriat mereka.


 Duhai anak kecil, senyuman yang terukir diwajah kalian pengubat hati, tapi terasa sangat pedih dan betapa hancurnya perasaan saya bila melihatkan bayi-bayi yang tidak berdosa ini diperlakukan dengan sedemikan rupa. Senyuman yang bakal menghiasi kegembiraan di muka Bumi ini terhapus, mereka lahir dari noda cinta yang terjalin, tetapi mereka suci tanpa dosa. Mengapa diperlakukan dengan sedemikian rupa? Melalui perbincangan di al-Kuliyyah "Anak Siapa" kunci utama ialah melalui firman Allah s.w.t dalam surah al-Isra' ayat ke-32 


  
وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓ‌ۖ إِنَّهُ ۥ كَانَ فَـٰحِشَةً۬ وَسَآءَ سَبِيلاً۬
 "Dan janganlah kamu mendekati zina; (zina) itu sungguh suatu perbuatan yang keji, dan satu jalan yang buruk"


Kita semua sudah sedia maklum dengan ayat ini, tanyalah kepada sesiapa pun, mesti mereka tahu akan firman Allah ini. Tetapi jika kita lihat apit (ayat sebelum dan aya selepas) ayat 32 dalam surah al-Isra' iaitu ayat 31 dan 33, pekara yang disebut (pekara terlarang) ialah membunuh. 


Firman Allah pada ayat 31 Surah al-Isra'


وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَوۡلَـٰدَكُمۡ خَشۡيَةَ إِمۡلَـٰقٍ۬‌ۖ نَّحۡنُ نَرۡزُقُهُمۡ وَإِيَّاكُمۡ‌ۚ إِنَّ قَتۡلَهُمۡ ڪَانَ خِطۡـًٔ۬ا كَبِيرً۬ا (٣١
 Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.


Dan Firman Allah pada ayat 33 Surah al-Isra'


وَلَا تَقۡتُلُواْ ٱلنَّفۡسَ ٱلَّتِى حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلۡحَقِّ‌ۗ وَمَن قُتِلَ مَظۡلُومً۬ا فَقَدۡ جَعَلۡنَا لِوَلِيِّهِۦ سُلۡطَـٰنً۬ا فَلَا يُسۡرِف فِّى ٱلۡقَتۡلِ‌ۖ إِنَّهُ ۥ كَانَ مَنصُورً۬ا (٣٣

Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah dia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya dia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).


Jika dikaitkan dengan larangan Allah ke atas kita dari menghampiri zina dengan ayat sebelum dan selepas larangan menghampiri zina, dosa zina boleh menjurus kepada dosa yang besar iaitu membunuh, iaitu membunuh anak hasil penzinaan yang tidak berdosa. Untuk menyelesaikan masalah zina dalam kalangan masyarakat, haruslah dimulakan dengan akarnya iaitu punca kepada permasalahan tersebut. Jika hendak matikan rumput, harus dicabut dengan akarnya, begitulah untuk mencegah zina, harus dari akarnya iaitu perbuatan menghampiri zina seperti berdua-duaan antara lelaki dan perempuan.


   Sebelum solat Jumaat saya sempat berbual dengan seorang teman dari Iraq yang kagum dengan negara kita, katanya Orang Malaysia orang baik-baik, orang Malaysia amat ramah, tapi jika berita-berita buang bayi yang selalu ke udara di berita, maka malulah kita dengan orang luar, sangat memalukan. Akhir kalam marilah kita sama-sama memanjatkan doa kepada Allah s.w.t agar kita diberi petunjuk dan hidayahnya. Sebagaimana doa pemuda-pemuda beriman yang diceritakan Allah dalam surah al-Kahfi:


رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةً۬ وَهَيِّئۡ لَنَا مِنۡ أَمۡرِنَا رَشَدً۬ا (١٠
Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami. (10) 

Marilah kita mengamalkan doa tersebut, mudah-mudahan Allah jadikan kita seperti pemuda-pemuda al-Kahfi dan kita sebagai golongan muda belia yang dihindarkan, dijauhkan dari pekara yang mengampiri pintu-pintu zina. Amin.













Khamis, 29 April 2010

Puisi Rindu Kampung









   Sambutlah salam manis dari saya, yang ketika ini menulis bentuk puisi bebas, yang pertama kali aku tulis dan aku bukanlah penulis yang gah, biarpun kail panjang sejengkal namun ku tetap menduga laut yang dalam, biarpun ombak datang mengganas, tetap aku berumah di tepi pantai. Aku menulis puisi ini ketika aku mendengar lagu nyanyian Alleycats, "Sampaikanlah Salam Cintaku Kepadanya", mulalah timbul di lubuk hati jernih ini kerinduan terhadap kampung halaman.

   Aku dibesarkan dalam suasana kampung di Perlis, kenangan sewaktu aku kecil dahulu masih lagi segar dalam ingatan. Aku tinggal di sebuah rumah bumbung lima yang dihadapannya ada pohon bunga jarum dan dibelakangnya ada sebuah pokok asam yang sangat besar. Dari dapur aku boleh melihat sawah yang luas terbentang. Sungguh mengusik hati. Di waktu malam aku suka mendengar bunyi pepohon buluh ditiup angin, sayup-sayup kedengaran bunyi burung Segan dan nyayian cengkerik sangat menghiburkan aku.

  Waktu pagi di kampung sungguh terasa tenang. Pagi-pagi lagi aku bersarapan nasi goreng dengan ikan kembong dan terhidang pula dengan kopi hitam. Lepas itu aku keluar bermain, waktu itu embun pagi masih lagi kelihatan di pepohon yang hijau, yang paling aku suka adalah, bau tanah sawah.


Terbit mentari di pagi hari
Terpancar  wajah senyum riang
Intai wajah di balik tangan
Ingin berteduh di balik awan


Di bawah cahaya Ku lihat daun
Di bawah daun  Adanya embun
Bunga Melur kembang tak sekutum
Di petik satu buat  kenangan

Ku pandang ke atas ku lihat langit 
Langit  yang biru awan yang putih
Andai  tiba Si Kelabu mendung
Tidak bermakna berkhabar duka

Dinginnya malam tidak kesunyian
Riang-riang cengkerik menyanyi
Gelap malam kian terang
Hendap Sang Bulan balik awan
Di waktu malam ku lihat bintang 
Di balik Bintang Bulan tersenyum
Andai  pungguk tidak  berlagu
Bulan yang senyum jadi muram


Di rumpun buluh aku menghitung
Daun yang gugur di tapak tangan
 kemarau baru hendak berlayar
Menghitung hari bila nak hujan


Angin timur menyapu muka
Sambil membisik khabar berita
Tidak lama kita bersama
Datang  tengkujuh  menyiram duka

Terik mentari membakar keringat
Peluh menitis di tanah sawah
Hati sedih rasa kecewa
Padi  rebah sebelum tuai


Hujan yang turun Lebat sekali
Jatuh menimpa di atas bunga
Hilang seri tiada rupa
Lima kelopak tinggal satu

Ikan puyu   berenang-renang
Cuba menangkap si anak belalang
Rezeki tak dapat nasib malang
Jatuh pula di atas darat

Burung tempua membuat sarang
Jauh meninggi di pohon nyiur
Takkan jatuh ditiup angin
Tetap goyang dipukul ribut




Yang Benar,
Muhammad Saffuan Bin Jaffar
Nottingham, UK



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...