Jumaat, 3 Jun 2016

Perbelanjaan 6 Hari 5 malam Trip Jepun | Tak Mencecah 2K tau!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, ni aku ada nak share dengan kawan-kawan, memandangkan ada yang tanya tentang bajet, Percutian aku di Gunung Fuji dan Tokyo. Semasa di Fuji (Kawaguchiko) aku menginap di Fuji K's House. Dan di Tokyo pula aku menempah penginapan dengan menggunakan perkhidmatan AirBnB. Jadi, di Tokyo aku menginap bersama tuan rumah, ala-ala homestay gitu.

Ni kali kedua dalam hidup aku beraya haji di luar negara. Kat bawah ni aku kongsikan Perbelanjaan aku selama 6 hari 5 malam di Fuji dan Tokyo. 

TOKYO - FUJI


Gunung Fuji
Sumber : Reddit.com
21/9/2015
1.Keisei Train = ¥ 1,030
2.JR Shinjuku = ¥ 200
3.Tiket Bas Kawaguchiko = ¥ 3,500
4.Lunch = ¥ 697
5.Ais Krim &  Air = ¥ 387
6.Hostel = ¥ 5,600
7.Beli Barang Makan Malam = ¥ 604 (Share 3 Orang)
TOTAL : ¥ 12,018 

22/9/2015
1.2Day Pass = ¥ 1,200
2.Tiket Masuk Iyasi No Sato = ¥ 300 (diskaun)
3.Samurai Outfit = ¥ 500
4.Fuji Clay = ¥800
5.Beli Makan = ¥ 1000
6.Sewa Basikal = ¥ 300
TOTAL : ¥ 4,100


FUJI KE TOKYO

23/9/2015
1.Locker = ¥ 200
2.Setem = ¥ 140
3.Lunch = ¥ 1,230
4.Fridge Magnet = ¥ 513
5.Tokyo Subway (Shinjuku-NishiShinjuku) = ¥ 170
6.AisKrim Haagen Dass = ¥ 574
7.Green Tea Lipton = ¥ 147
TOTAL : ¥ 2,974 

24/9/2015
1.One Day Metro Ticket = ¥ 600
2.Poscard Masjid = ¥ 80
3.Kebab = ¥ 500
4.Ear Plug = ¥ 108
5.Payung 2x = ¥ 2,600
6.Fridge Magnet Tanglung = ¥ 640
7.Fridge Magnet Ninja = ¥ 380
8.Fridge Megnet = ¥ 400
9.Makan Malam = ¥ 328
10.Tikam = ¥ 400
11.Jus Buah = ¥ 103
12.Tea Latte = ¥ 135
TOTAL : ¥ 6,274 

25/9/2015
1.One Day Pass = ¥ 600
1.Postcard = ¥80
2.Setem = ¥ 164
3.Beg = ¥ 4,300
3.Bento = ¥ 600
4.Payung UNIQLO = ¥ 1,065
5.StarBucks = ¥ 561 
7.SB Tumblr = ¥ 1,140
8.SB Mug = ¥ 1,330
9.Jus 7E = ¥ 108
TOTAL : ¥ 10,509 

26/9/2015
1.Metro (Nishi-Shinjuku - Ueno) = ¥ 240
2.Skyliner = ¥ 2,470 


JUMLAH KESELURUHAN : ¥ 38, 585 atau bersamaan RM1350.48 (rate September/2015)


5 Perkara Menarik Yang ada di Bario

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Setelah sekian lama tak menulis, baru hari ni dapat idea. Memandangkan ada antara pembaca yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang trip aku ke Bario. InsyaAllah dalam artikel ini aku akan kongsikan 5 Aktiviti Menarik Yang ada di Bario.

Sebelum aku bawak korang tour lebih jauh, korang kena tahu dulu di Bario nih. Aku sendiri pun tak tahu di mana Bario, dulu aku ingat Bario ni di Sabah, jangkaan aku salah, rupanya Bario terletak di pedalaman Baram, tempat aku berkhidmat.

Tahun ni disebabkan bajet untuk melancong ke luar negara telah dipotong (sebab nak jimat) aku bercadang untuk mengembara di negara tercinta. Kadang-kadang tu rasa malu pun ada sebab orang luar lebih tahu tempat menarik di negara kita. Kali ni aku fokus nak jelajah Sarawak, jadi aku mulakan dengan tempat menarik di sekitar Baram.

Aku memilih Bario, sebabnya lokasi ini terletak di pedalaman Sarawak, menjadi tempat tinggal bagi kebanyakkan masyarakat Kelabit serta kedudukannya kira-kira 3000 meter dari paras laut yang menyebabkan suhu sedikit dingin ala-ala Cameron Highland la.


Antara 5 aktiviti menarik yang ada di Bario


1. Twin Otter

Untuk ke Bario, ada 2 cara sama ada menggunakan jalan darat yang mengambil masa kira-kira 12 jam atau menggunakan pesawat ringan yang boleh memuatkan 19 orang penumpang. Kalau naik pesawat ni masa perjalanan hanya 50 minit daripada Lapangan Terbang Miri. Bukan senang nak merasa naik pesawat kecil ni, jadi aku rasa ni antara aktiviti menarik sebelum korang sampai ke Bario.

Bagi yang pertama kali naik, rasakan. Flight ni kecik je, macam bas mini. Bila dia langgar awan, bergoyang-goyang

2. Rumah Panjang

Rumah Panjang boleh aku katakan sebagai satu identiti masyarakat di Sarawak. Mana nak ada rumah panjang di Semenanjung kan? Uniknya rumah panjang di Bario (Rumah Panjang Bario Asal) ni kita boleh menyelami kehidupan etnik Kelabit, dari cara diorang bercakap, pakaian serta kebudayaan diorang.

 Tawa atau verandah

Foto-foto lama tentang budaya dan kehidupan orang Kelabit suatu ketika dahulu

Di rumah panjang Bario Asal, dapur kayu masih lagi digunakan untuk memasak, memanaskan badan.

Kalau korang rajin, jalan-jalan waktu pagi di ruang dapur, mungkin korang boleh tengok penyediaan nasi daun isip

3. Etnik Kelabit

Seperti yang aku cerita tadi, di sini merupakan tempat tinggal bagi kebanyakkan masyarakat Kelabit. Di Bario, aku dapat melihat salah satu keunikan Budayanya iaitu memanjangkan telinga. Cuping telinga di tebuk semasa mereka masih kecik lagi dan kemudian diorang akan pakai subang yang berat. Kesannya, cuping telinga akan memanjang.

Wanita Kelabit

Persembahan kebudayaan

4. Makanan

Kalau bab makanan ni aku tak dapat nak tolak tepi. Dari segi rasa dan cara masakan memang jauh dari orang Melayu. Masakan Kelabit, simple, tapi sedap. Antara  makanan yang menarik ialah nasi yang dibungkus dalam daun isip. Jika korang berkesempatan datang ke Bario pada hujung bulan Julai. Pada masa tu ada pesta Nukunen, masa tu korang dapat tengok pelbagai jenis makanan tradisional Kelabit.


 Nasi ni dimasak lembik dan dibungkus panas-panas. Tapi bila sejuk nasi tu jadi macam pulut dan aroma dari daun isip tu menambahkan kesedapan.


Bekalan kami  

Simple, Nanas Bario, Sayur kacang panjang, terung dan rebung. Sedap!

5. Keindahan Alam Semula Jadi

Bagi pencinta alam, korang boleh meneroka keindahan alam semula jadi di sini. Dari hiking hingga ke jungle trekking semuanya ada. Jika korang menginap di homestay, cuba tanya tuan rumah kot-kot ada diorang buat pakej dengan hiking dan jungle trekking.

 Tengok la, jenih air sungai kat sini.

Bukit Doa, masa perjalanan ke sini, aku dua kali pengsan. Tak pernah terjadi dan aku pun tak tahu pasai apa.

Air Terjun Pa Remapoh 

Fuh, nikmat yang tak ada di bandar.

Untuk pengetahuan pembaca sekalian, cerita tentang Bario ada dimuatkan dalam majalah Backpackerz Vol.4 Keluaran Bulan Mei.

Jom support!

Kalau korang perasan, Iklan Hari Gawai Petronas tu sebenarnya berlatar belakangkan Bario. 


Apa macam korang ada rasa nak explore Bario?


Sabtu, 2 April 2016

Bario Permata Bumi Kenyalang

Dah lama sangat tak update blog


Sarawak Bumi Kenyalang dengan keluasan 124 450 kilometer persegi  menjadi tempat tinggal bagi lebih daripada 40 etnik antaranya Iban, Melanau, Bidayuh dan Orang Ulu. Sarawak kaya dengan budaya dan adat resam bahkan turut menyimpan khazanah alam semula jadinya yang tersendiri. Jauh daripada Bandaraya Miri terletak satu lokasi unik yang mendapat gelaran sebagai Permata Bayu Bumi Kenyalang. Terletak pada ketinggian 3 500 kaki dari paras laut dikelilingi belantara, kembara kali ini bakal menjanjikan kembara backpacker yang lebih eksotik. 


Menaiki pesawat kecil untuk ke Bario




Bertugas sebagai seorang guru di Sarawak membuatkan aku cuba untuk mendekati budaya tempatan serta meneroka keindahan alam semula jadinya. Jauh di pedalaman Baram terletak sebuah pekan kecil yang menjadi tempat tinggal bagi hampir 2000 orang etnik Kelabit. Kehidupan etnik ini yang dekat dengan alam semula jadi serta mengekalkan tradisi nenek moyang menjadikan Bario tempat yang wajib untuk aku lawati.

RUMAH PANJANG BARIO ASAL

Aku menginap di Homestay Sina Rang Lemulun yang terletak di Rumah Panjang Bario Asal, tempat ini menjadi pilihan  kerana di sini merupakan rumah panjang yang terawal dibina di Bario. Kehidupan penghuninya sangat sederhana tetapi mereka kaya dengan budi Bahasa. Senyuman diiringi dengan ucapan selamat datang membuatkan setiap tetamu datang dengan hati yang terbuka. Rumah Panjang yang berusia lebih dari 50 tahun ini menyimpan 1001 kisah kenangan buat penghuninya serta pengunjung yang datang.


Rumah Panjang Bario Asal


Untuk pengetahuan geng kembara sekalian, kemudahan di Homestay tidak sama dengan hostel lain yang pernah aku tinggal. Tiada kemudahan air panas, tiada jaminan bekalan elektrik yang berterusan. Bekalan elektrik di rumah panjang berhantung kepada tenaga hidro, apabila musim kemarau bekalan elektrik tidak stabil dan alternatifnya generator digunakan. Begini la kehidupan yang mereka lalui memandangkan Bario terletak jauh di pedalaman. Bagi aku, aku sudah biasa memandangkan tempat aku bertugas juga bergantung pada generator.

Line telefon jangan risau, cuma line internet yang menjadi masalah. Lupakan seketika instagram dan Facebook, tolong ketepikan, gunakan masa yang terluang untuk "chitchat"  dengan penghuni rumah panjang, banyak perkara yang mereka ingin berkongsi cerita dengan anda dan orang Bario ni boleh aku katakan peramah. Sebelum aku datang ke sini aku dah prepare power bank dengan lampu suluh, memang sangat berguna ketika berada di Bario.

Aku bersama 4 orang geng dibawa oleh Encik Panai untuk mendekati cerita-cerita disebalik Rumah Panjang Bario Asal. Perkataan Asal diambil dari perkataan Bahasa Melayu yang membawa maksud “original” Rumah ini dibina pada tahun 1963 dan sehingga kini ia masih kukuh dan menjadi tarikan utama pelancong ke Bario. Ruang legar atau verandah “Ruai” atau dikenali sebagai tawa dalam Bahasa Kelabit menarik perhatian aku, dengan panjang lebih dari 100 meter ruang ini menjadi lambang perpaduan penguhinya.


Verandah atau dikenali sebagai tawa ruma kadang

Diantara ratusan foto yang terdapat di tawa

Kunjungan aku bersama 4 lagi orang rakan guru daripada Sekolah Kebangsaan Long Sepiling turut berpeluang menyaksikan peristiwa bersejarah apabila Jack Tredrea berkunjung ke Rumah Panjang Bario Asal. Beliau merupakan bekas komando yang terselamat ketika melakukan operasi menetang tentera Jepun di Bario 71 tahun yang lalu. Kunjungan beliau turut diraikan bersama beberapa wanita Kelabit yang pernah menjadi porter semasa operasi menentang Jepun.


Puan Sina Rang bergambar bersama Jack Tredrea

Disebalik kisah sejarah perjuangan masyarakat dahulu, Rumah Panjang Bario Asal turut menyimpan khazanah budaya yang dikenali sebagai Lalik Kadang. Lalik Kadang merupakan tradisi memanjangkan telinga dengan tujuan untuk kecantikan. Bayi berusia seawal 6 bulan akan ditebuk cuping telinga serta digantung dengan subang yang berat sehingga mereka dewasa dan cuping telinga tersebut semakin panjang. Namun tradisi ini semakin dilupakan hanya ada segelintir warga emas yang masih lagi menyimpan cuping telinga panjang.

Wanita Kelabit lengkap berpakaian tradisional, peta bao tawir iaitu topi dan banir bao alai rantai yang dipakai

Do Illah yang kini berusia 80 tahun masih lagi mengekalkan cuping telinga yang panjang

Kesempatan tinggal di Rumah Panjang Bario Asal membolehkan aku mendekati cara hidup etnik Kelabit dan antara yang menarik perhatian aku ialah Senape iaitu nasi yang dibungkus di dalam daun Isip. Ia nampak ringkas tetapi dengan aroma daun Isip menambah keenakannya. Aku berpeluang untuk belajar cara-cara membungkus nasi tersebut ternyata ia nampak mudah tetapi sukar buat aku. Selain itu pengunjung dapat melihat dapur kayu yang terletak di kawasan verandah yang luas, ia masih lagi digunakan untuk memasak dan memanaskan badan memandangkan cuaca di Bario sejuk pada awal pagi dan waktu malam.

Melihat cara membungkus nasi di dalam daun Isip

Rasa nasi yang dibungkus di dalam daun Isip lebih enak kerana sebati  dengan aroma daun Isip


verandah dengan ruang dapur bagi setiap keluarga penghuni rumah panjang

Etnik Kelabit sangat meraikan tetamu, tetamu perlu diraikan kerana mereka menganggap tetamu membawa tuah dan rezeki. Kebetulan semasa kunjungan aku bersama-sama  rakan, hujan turun membasahi bumi Bario. Kami dipersembahkan dengan tarian Aran Kadang dan diiringi dengan lagu tutu udan na perah yang membawa maksud “turun hujan dengan lebat mencurah”. Selain itu tetamu juga dijemput untuk menari, wajib tak boleh nak lari. Teringat masa di rumah panjang Long Sepiling, habis berterabur nyivan atau tarian. Aku belajar menari dengan orang kampung, kali ni kalau orang suruh menari tak de la rasa  nak lari.

Setiap tetamu akan dihidangkan dengan arak kata tuan rumah  Whiskey. Apuuuu aku dah nampak ada seorang perempuan bawak dulang yang penuh dengan cawan berisi air, mungkin whiskey. Aku berpura-pura mengambil gambar untuk mengelak dari kena minum Whiskey. Tapi ada seorang lagi perempuan yang menunding jari ke arah aku "itu orang belum ambil lagi" Alamak! Kena ambik juga , ada yang menghidu bau air dalam cawan "Sebaik sahaja lagu tutu udan na perah dinyanyikan tuan rumah cakap "minum" aku pun minum.


Persembahan untuk menyambut tetamu

Air yang aku minum rasa  macam teh o, ketawa ja tuan rumah. Dahulu ya, mereka menghidangkan whiskey tetapi sekarang mereka sendiri tidak minum dan apa tah lagi nak hidang kat tetamu. Acara diteruskan dengan tarian makasar dan poco-poco. Ia pengalaman yang sangat unik dan berharga buat aku kerana ini kali pertama aku mendekati budaya dan kehidupan etnik di Sarawak. Aku sering merantau jauh menghargai budaya luar sedangkan ada cantiknya budaya pelbagai kaum dan etnik di Malaysia yang aku sendiri tak tahu.


Selepas selesai malam kebudayaan, bergambar dengan cara duduk Kelabit Style

BERSAMBUNG

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...