Ahad, 23 Mei 2010

Respon Kepada Nottingham Semakin Panas - WOW

Cerita Cuaca Panas

  Dahulu panas sekarang sejuk, dahulu sejuk sekarang panas, Alhamdulillah cuaca pada hari ni sangat-sangat cantik dan ceria seolah-olah sedang menghiburkan hati mereka yang mengambil peperiksaan. Tempat saya mengambil peperiksaan adalah di Sport Centre agak jauh dari rumah, saya mula bergerak dalam 8.10 pagi. Paginya sangat panas, saya cuma pakai t-shirt dan berselipar saja, tak macam musim sejuk dahulu, bungkus sana bungkus sini, tutup sana tutup sini. Di sepanjang perjalanan saya melalui kawasan Highfield Park dan Portland Hill, sambil berjalan mata terpandang ke arah itik-itik yang meragut rumput, suasana agak sunyi di awal pagi.


Cuaca panas dan tidak berawan, terpaksa buka tingkap untuk sejukkan bilik.

  Setibanya di Sport Centre, saya nampak ramai orang yang berjemur di bawah terik mentari pagi sambil mengulang kaji pelajaran. Di Malaysia, kalau mengulang kaji, atau membaca buku di bawah mentari terik, itu namanya kena DENDA. Macam di Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), pelatih akan didenda makan di tengah panas terik, tengah padang kawad kalau makan tidak menggunakan sudu dan garfu. Setelah selesai ujian, saya pun pulang ke Rumah (Rumah Daus), dalam perjalanan pulang, ada saya ternampak orang tempatan (mat salleh) dengan tanpa rasa apa-apa dia buka baju (mungkin budaya mereka). Bukan di situ saja, malah di tempat-tempat lain pun ada, mungkin nak merasakan nikmat panas.


    Suhu maksimum pada hari ini ialah 24 Darjah Selsius, kalau di Malaysia, suhu ini seakan-akan waktu hari hujan lebat. Dan panas di tempat kita tidaklah seperti panas di sini, terbakar kulit kalau ada yang studi di bawah panas terik macam di Malaysia. Sekarang ini musim bunga telah memasuki peringkat terakhir sebelum tibanya musim panas. Bila tibanya tarikh 21 Jun 2010 jam 11.28 pagi atau dikenali sebagai Solstis Jun, maka musim bunga akan berakhir maka bergantilah dengan musim panas. Pada waktu itu titik Hemisfera Utara Bumi berada dekat dengan Matahari dan titik Hemisfera Selatan Bumi pula menjauhi Matahari. Siang akan lebih panjang dan di kawasan Kutub Utara, anda akan dapat melihat Matahari pada aras atas horizon selama 24 jam. Oleh itu, apabila masa kemunculan Matahari adalah panjang, maka kawsan hemisfera Utara akan panas, sebab itu namanya musim panas.

 Gambar ini diambil pada jam 5.44pagi di Nottingham. Jika nak dibandingkan dengan jam 5.44pagi di Malaysia, ternyata masih lagi gelap.


    Waktu subuh di Nottingham pada 23 Mei 2010 ialah pada jam 2.55pagi dan waktu syuruk pada jam 4.53pagi. Subhanallah 4.53 pagi dah cerah. Jika di Malaysia, definisi saintifik waktu subuh ialah "kedudukan Matahari pada 18 darjah di bawah garis ufuk (horizon bumi) sama juga dengan definisi saintifik waktu Isyak. Oleh kerana kita tinggal di Hemisfera Utara iaitu (40 darjah garis lintang utara ke atas) maka definisi ini tidak boleh diguna pakai. Apakah kaitannya dengan musim panas? Jawapannya ialah, di UK apabila hendak memasuki musim panas, waktu isyak sudah tidak menampakan sifatnya (dari apa yang saya dengar). Jika dikaitkan dengan musim panas iaitu Matahari berada di langit dalam tempoh yang lama.
(RUJUK GAMBAR RAJAH)

Semakin panjang laluan Matahari, semakin lama tempoh Matahari berada di langit, semakin lama masa yang diambil untuk terbenam. Kesimpulan "siang lebih panjang"


      
        Berdasarkan gambar rajah diatas, laluan Matahari di United Kingdom sangat panjang dan laluan Matahari di Malaysia sangat pendek, oleh sebab itu kalau di Malaysia kita dapat perhatikan , Matahari terpacak di atas kepala kita bila waktu tengah hari. Dan di UK kita dapat lihat, bahawa Matahari tidaklah terbit betul-betul di ufuk timur dan Matahari juga tidak tenggelam betul-betul di ufuk barat. Pada gambar rajah juga dapat menjelaskan bahawa tempoh Matahari tenggelam (malam) di UK sangat pendek. Berbalik kepada soal waktu isyak, saya berpendapat bahawa pada waktu isyak kedudukan Matahari mungkin tidak berada pada kedudukan definisi saintifik iaitu pada 18 darjah di bawah garis ufuk (horizontal), lebih tepat lagi kedudukan Matahari KURANG dari 18 darjah di bawah garis ufuk (horizontal), sebab itu keadaan gelap malam adalah samar-samar (nak kata gelap tak, nak kata cerah pun tidak). Kalau nak tahu lebih lanjut, saya sedia untuk berkongsi dan berbincang dengan rakan-rakan mengenai falak.


     Di Malaysia musim panas atau kemarau dan di bahagian utara semenanjung (angin timoq dah mai) lazimnya yang menjadi pengubat kehausan ialah minuman sejuk, seperti air sirap, laichi kang, air lengkong dan macam-macam lagilah. Kalau di sini saya tidak pasti, namun yang memberi jawapan tepat kepada saya ialah Mr Whipp (ais krim lori) di Highfield Park.


Aiskrim lori meriah pada waktu cuaca panas.




Pada musim luruh hampir-hampir masuk bulan Disember, ais krim lori sepi tiada pelanggan.

***Penutup***

 Bunga-bunga sakura

     Pada musim bunga, sudah tentu bunga yang keluar, maka di sepajang jalan ada bunga, di pokok - pokok besar pun ada bunga. Musim bunga jugalah berlaku perubahan suhu, suhu semakin panas, ini menyebabkan serangga yang dahulunya pada musim sejuk tidak kelihatan, mereka ini keluar menjalankan tugas, mencari pasangan dan melakukan proses pendebungaan, hebat perancangan Allah s.w.t. Pada waktu ini serangga seperti lebah keluar untuk mencari madu dalam masa yang sama berlaku pendebungaan, pekara ini dikhabarkan di dalam al-Quran dalam surah an-Nahl ayat ke 68 hingga ke ayat 69:

وَأَوۡحَىٰ رَبُّكَ إِلَى ٱلنَّحۡلِ أَنِ ٱتَّخِذِى مِنَ ٱلۡجِبَالِ بُيُوتً۬ا وَمِنَ ٱلشَّجَرِ وَمِمَّا يَعۡرِشُونَ (٦٨


ثُمَّ كُلِى مِن كُلِّ ٱلثَّمَرَٲتِ فَٱسۡلُكِى سُبُلَ رَبِّكِ ذُلُلاً۬‌ۚ يَخۡرُجُ مِنۢ بُطُونِهَا شَرَابٌ۬ مُّخۡتَلِفٌ أَلۡوَٲنُهُ ۥ فِيهِ شِفَآءٌ۬ لِّلنَّاسِ‌ۗ إِنَّ فِى ذَٲلِكَ لَأَيَةً۬ لِّقَوۡمٍ۬ يَتَفَكَّرُونَ (٦٩

Maksudnya : Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. (68) Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir. (69)

      Maka selepas berlakunya pendebungaan maka wujudlah buah-buahan yang lazimnya dipetik dalam musim panas atau musim luruh. Betapa hebatnya ciptaan Allah s.w.t dan bertapa eratnya hubungan manusia dengan alam.Akhir kata buat penutup coretan saya, jangan banyak minum minuman sejuk (berais) ketika cuaca panas. Bawa bekal minuman kosong, dan jangan bawa saja, minum air masak banyak-banyak supaya badan kita tidak kehilangan banyak air. Selamat menikmati musim panas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tolong letak nama, ok??

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...